ALLANA HIJAB

ALLANA HIJAB
Whatsapp 012-6144924 NOW For Guaranteed Special Free Gift

Thursday, March 10, 2011

NYAWA BAHASA MELAYU DITANGAN UMNO

Jika diperhatikan dengan teliti, kita akan mendapati dalam lokasi filem lama terutama P.Ramle di Singapura masih ada papan tanda, nama jalan dan lain-lain yang menggunakan Bahasa Melayu. Malahan, pada masa itu masih ramai Cina yang boleh bertutur Bahasa Melayu di Singapura. Selepas Singapura keluar dari Gagasan Persekutuan Malaysia, PAP yang diterajui Lee Kuan Yew hanya memerlukan kurang 30 tahun untuk benar-benar melakukan “Language Cleansing” di Negara Temasek itu. Penghapusan Bahasa Melayu di Singapura bukan sekadar melibatkan tulisan sahaja, malah pertuturan. Percaya atau tidak, selepas 45 tahun, tiada seorang Cina di Singapura yang faham apatah lagi bertutur waima sebutir pendek Bahasa Melayu sekalipun.

Yang tersurat sudah terlihat, yang tersirat sudah melarat. Penghapusan Bahasa Melayu sebenarnya adalah agenda lebih besar iaitu menghapuskan identiti Melayu di kalangan Warga Singapura. Amat sukar untuk menemui seorang remaja Melayu di Singapura yang masih Melayu dari sudut Bahasa, keakuan, kekauman, adab dan adat. Kini, nasib yang serupa bakal menimpa Malaysia.

Orang Melayu kini berpecah kepada tiga golongan utama. Perbalahan demi perbalahan menjadikan orang Melayu amat lemah untuk menongkah arus tsunami Politik. Sedangkan dalam soal Bahasa, soal Sekolah Jenis Kebangsaan dan soal agama, orang Cina dan India tidak pernah sekalipun berbalah sesama mereka mahupun mempunyai pandangan yang berbeza. Lebih utama lagi Cina, apabila ia melibatkan Sekolah Cina, DAP, MCA, Dong Jiong, NGO Cina semuanya bersatu hati mempertahankan Sekolah Cina. Pada pandangan mereka, jika anak mereka tidak bertutur Bahasa Cina di Sekolah hilanglah identiti Cina mereka.

Nasib Bahasa Melayu berterusan terumbang-ambing. Yang terbaru, Universiti Malaya mengenepikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Pengantar. Perlu diakui banyak Nota dan Buku diterbitkan dalam Bahasa Inggeris dan bukan Bahasa Melayu. Tetapi, jika bukan kita yang memartabatkan Bahasa Melayu, siapa? Bukan rahsia dimana para Graduan dibenarkan menggunakan Bahasa Inggeris dalam tugasan mereka, jadi tidak perlulah kita orang Melayu melanyak dan merendahkan maruah Bahasa kita. Biarlah Bahasa Melayu didaulatkan sebagai Bahasa Rasmi dan Pengantar, dan Bahasa Inggeris digunakan secara meluas. Walaupun kita memakai Baju barat sebagai pakaian harian, tetapi kita tetap Melayu dan terus menggunakan Baju Melayu.

Untuk rekod , Negara Jepun, Perancis, Indonesia, Thailand, Korea dan banyak lagi menjunjung Bahasa Ibunda mereka dan tiada satu pun dari Negara tersebut yang mundur kerana Bahasa.

Sejelas kristal, Bahasa Inggeris dan kini Bahasa Mandarin adalah Bahasa yang paling banyak pengguna di dunia dan ia merupakan Bahasa Ekonomi. Kegagalan menguasai salah satu Bahasa tersebut terutamanya Inggeris akan menjadikan Melayu mundur dan tidak berupaya. Umpama lima jari yang berbeza fungsi, setiap jari mempunyai peranan masing-masing. Kelima jari ini saling memerlukan dan yang paling diperlukan oleh jari adalah ibu jari, kerana tanpa ibu jari siapalah kita.

Memetik skrip dalam filem P.Ramlee, Alif Min Nun Wau. Kini Alif Min Nun Wau sajalah harapan Bahasa Melayu. Sekalipun dihina Sarkis, Alif Min Nun Wau tidak pernah sekalipun gagal memperjuangkan nasib dan mempertahankan hak orang Melayu termasuk Bahasa Melayu. Jika Tulisan Jawi yang dijadikan pertikaian, siapa tulisan Jawi tanpa Bahasa Melayu.

Jika mahu diharapkan pada sebuah lagi Parti Dokongan Melayu, ketuanya secara terbuka mengatakan tidak bangga dilahirkan Melayu apatah lagi mahu mendengar beliau bertutur Bahasa Melayu asli. Di peringkat Pakatan pula, Pulau Pinang secara halus menggantikan nama Jalan Melayu dengan nama Jalan Inggeris. Teruslah Bahasa Melayu dirundung malang, malah ramai anak muda kini malu bertutur Bahasa Melayu dengan rakan bukan Melayu. Akhirnya, terhapuslah Bahasa Melayu di Malaysia seperti di Singapura kini. Bukan Bahasa sahaja, tetapi bangsa. Bahasa menunjukkan Bangsa.

Jika Melayu terus berbalah, langkah Universiti Malaya pasti akan disambut dan digarapkan oleh Universiti lain atas nama persaingan. Pantas, remaja dan Pelajar Melayu akan menghadapi satu krisis yang dipanggil krisis keliru identiti. Remaja ini apabila bekerja kelak akan malu bertutur dalam Bahasa Melayu yang jatuh taraf menjadi Bahasa murahan. Pada masa itu, bolehlah setiap Sekolah dan Universiti membina sebuah keranda yang diukir dengan Bahasa Melayu.

Akhir sekali, tanyalah diri kita, siapa yang benar-benar mampu memperjuangkan Bahasa Melayu. PAS dalam Pakatan Rakyat atau UMNO dalam Barisan Nasional. Renungkan, mahukah kita melihat nasib Bahasa Melayu seperti di Singapura yang kurang seratus tahun dahulu, bukan sahaja Pemimpin Cina, Residen Inggeris turut berbahasa Melayu?!

No comments: