Pada tahun 1993 saya mengikuti ibu bapa mencari sesuap nasi di Sekolah Kebangsaan Orang Asli, Sg Sampo, Jempol, Negeri Sembilan. Dari Bandar terbesar Bahau, jaraknya lebih kurang 70km, dan dari Bandar Serting jaraknya lebih kurang 40km. Di situ, saya berkawan dengan ramai anak Orang Asli suku Semai@Semelai dan mengenali mereka dengan lebih dekat.
Saya berkawan dengan anak Penyelia sekolah tersebut Puan Ani, dan kami pergi memancing bersama, mandi sungai bersama anak orang Asli lain(yang perempuan berbogel, tapi tidak apabila saya ada-sedihnya), pergi menyumpit bersama(sampai hari ini saya tidak pandai), bermain bola bersama(mereka berkaki ayam walaupun memijak duri semalu dan keting mereka amat keras), berbasikal seluruh kampung dan sebagainya. Nama mereka juga amat unik, seperti sudu, garpu, tali, dan ada juga yang bernama orang Islam tetapi bukan Islam(nama mereka juga menggunakan bin dan binti). Yang pasti, mereka amat mesra dan mudah didekati.
Jauh didalam kampung tersebut, masih ada rumah atas pokok yang mereka bina bagi mengekalkan identiti mereka. Malah, rumah Tok Batin bersidang juga dibina di atas pokok. Tok Batin adalah orang yang paling dihormati dan berilmu malah ramai orang Melayu dan Cina dari KL yang datang berubat atau mengena dengan Tok Batin. Bagi Orang Asli, apabila Tok Batin mereka mati adalah dilarang mereka melintas atau mendekati perkuburan Tok Batin mereka melainkan ada upacara yang disertai Tok Batin sedia ada. Uniknya mereka, tetapi sering mendapat tempias pengaruh budaya dan aktiviti tidak sihat terutama dari Pusat Latihan Polis Ayer Hitam yang terletak bersempadan dengan Kampung tersebut.
Sepanjang 2 tahun saya berdiam di situ, pelbagai peristiwa terjadi dan terpahat dalam diri. Antaranya, ialah penyebaran Islam oleh Perkim. Entah kenapa, dakwah yang dijalankan oleh Perkim amat agresif. Pada masa itu, setiap Keluarga yang memeluk agama Islam dijanjikan bantuan RM setiap tahun disamping anak-anak mendapat bantuan RM, persiapan sekolah dan lain-lain. Imbuhan ini ternyata amat menggoda Orang Asli sehingga ramai yang memeluk agama Islam bukan kerana kerelaan tetapi kerana kebendaan. Akibatnya amat mudah, usaha Perkim dan Jabatan Agama menempatkan Ustaz dan Guru bukan sahaja mendapat tentangan masyarakat Orang Asli tetapi juga langsung tidak mendapat sambutan dari Saudara Baru Islam. Madrasah 2 tingkat lengkap bersama Kelas Agama menjadi tempat kambing dan ayam melepas dan pernah juga dipenuhi dengan najis manusia. Lebih teruk lagi, Islam yang diamalkan oleh mereka ialah Islam yang mendapat kemurkaaan ALLAH SWT.
Selepas 20 tahun, bayi keluarga Orang Asli yang memeluk agama Islam kerana kebendaan ini sudahpun dewasa. Mereka masih lagi beragama Islam. Tetapi, nilai Islam yang ada dalam diri mereka boleh dipersoalkan, apatah lagi penglibatan ramai anak muda mereka dalam muzik metal, punk , dan lain-lain yang berbentuk pemujaan. Acap kali, mereka meruntuhkan imej orang Islam dengan kelakuan mereka, memaki Allah, menghina Nabi Muhammad, mempersoalkan Rukun Islam, minuman dan makanan mereka dan banyak lagi. Mereka Islam tetapi, hati mereka Islam atau tidak hanya Allah sahaja yang tahu. Oleh itu, adalah amat wajar Perkim, Jabatan Agama Islam mengkaji semula dakwah yang menjanjikan kebendaan sebagai imbuhan ini. Adalah lebih baik berdakwah di kalangan orang Islam yang sedia sesat atau beri penumpuan kepada mengisi jiwa remaja Islam. Wallahhualam.
Seperkara lagi yang boleh dikongsi bersama mengenai Orang Asli ini ialah jasmani mereka. Mereka mempunyai tubuh badan yang kuat, tulang yang kuat, stamina yang tinggi serta kental semangat. Jika Kerajaan Malaysia, Kementerian Belia dan Persatuan Sukan mahukan atlit bertaraf dunia mereka boleh memulakan pembangunan sukan dikalangan Orang Asli. Saya pasti Malaysia mampu mencabar dunia baik bola sepak, balapan, renang, berbasikal, trialthon,takra, bola tampar dan lain-lain jika memberi penumpuan kepada Orang Asli. Mereka dilahirkan semulajadi dengan fizikal dan jasmani sukan, cuma memerlukan latihan dan bimbingan.
Kesimpulannya, Orang Asli selaku penduduk asal Bumi Semenanjung Allah ini adalah baik dan tulus hati. Mendekati mereka, menyelami dan menyulami kehidupan bersama mereka adalah perkara yang saya banggakan dalam hidup. Semoga Orang Asli diberi hidayah dan rahmat oleh Allah dan hak mereka selaku peneroka asal Malaysia dihormati. Amin.
Thursday, September 30, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment