ALLANA HIJAB

ALLANA HIJAB
Whatsapp 012-6144924 NOW For Guaranteed Special Free Gift

Sunday, June 13, 2010

SELARIKAN PENDEDAHAN MAHKAMAH DENGAN HUKUMAN

Acap kali apabila ada kes jenayah yang mendapat perhatian umum dan media, kes tersebut akan diikuti dari mula sehingga akhir. Pendek kata, segala pendedahan berserta bukti dan saksi dalam mahkamah semuanya dibogelkan dan dipaparkan oleh media setiap hari. Kes di Mahkamah yang mendapat liputan media perlu mendapat liputan media secara menyeluruh termasuk hukuman, wawancara selepas hukuman dijalankan, kesan perlakuan jenayah tersebut pada pelaku dan keluarga, penyesalan, kesan trauma pada mangsa dan keluarga, keperitan dan kesedihan yang ditanggun waris dan sebagainya.

Dalam drama filem, setiap perbuatan jahat pasti akan mendapat balasan. Lain pula jalan cerita kes Mahkamah yang mendapat liputan media. Kes yang berjalan di Mahkamah bagai sebuah cerita drama yang menceritakan jenayah, kekejaman manusia, perilaku keji dan hina, jiwa kacau yang ganas, kebinatangan manusia, kemaksiatan dan keburukan akhlak, dan segala perilaku Syaitan kepada kita. Kita membaca dan mengikuti kisah di Mahkamah setiap hari tetapi kita tidak pula dapat mengikuti kisah selepas hukuman dijatuhkan oleh Tuan Hakim. Media perlu bertanggungjawab menghabiskan cerita “drama” yang di dedahkan dari Mahkamah dengan mewujudkan ruangan khas termasuk mewawancara pelaku jenayah, mangsa, keluarga, mereka yang tertejas fizikal, mental dan perasaaan.

Jika dahulu antara kes yang mendapat liputan media seperti;

1) Nurin Jazlin, kanak-kanak yang diculik lalu dibunuh dengan kejam oleh seorang manusia yang ternyata lebih kejam dan zalim dari Syaitan.

2) Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun, Nurul Huda Abdul Ghani dirogol, diliwat sebelum dibunuh di pondok pengawal stesen pencawang Tenaga Nasional Berhad Kampung Pekajang, Gelang Patah, Johor. Mayatnya ditemui berbogel tersandar pada dinding tandas pondok pengawal terbabit dalam keadaan mencangkung.

3) Audrey Melissa Bathinathan, 17, dijumpai mati berhampiran Sekolah Perempuan Methodist Kuala Lumpur, tempat beliau belajar. Hasil bedah siasat mendapati mangsa dipukul di kepala, dirogol dan dijerut.

4) Mayat Noor Suzaily Mukhtar, 24, ditemui di Taman Bukit Tinggi, Klang. Mangsa dirogol dan dibunuh dalam sebuah bas ekspres dan mayatnya dicampak di sebuah jalan di kawasan pembinaan di taman itu.

5) Nor Shuhada Borak, 6, ditemui mati dalam tangki air di bumbung bangunan kediaman tiga tingkat jenis town house di Selayang dalam keadaan separuh bogel dan lebam pada muka dan tangan. Mangsa dipercayai dirogol sebelum dibunuh.

6) Farrah Deeba Rustam dirogol dan dibunuh di bawah jambatan jalan masuk ke Kampung Tersusun Batu 2, Jalan Lama Bidor-Tapah. Mangsa mati akibat dijerut menggunakan tali.

7) Nurul Hanis Kamil dibunuh dalam semak selepas pulang dari sekolah di Serkam Darat, Merlimau, Melaka pada 3 Julai 2001.

8) Sementara itu, seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dirogol dan diliwat sehingga terkeluar usus oleh dua remaja berusia 19 tahun ketika merompak keluarga mangsa di rumahnya di Taman Bukit Maluri, Kepong.

9) Norshakila Ramli Choo, 6, pula dirogol sebelum dibunuh di Taman Tasik Permai Ampang.

10) Manakala seorang pelajar sekolah menengah ditolak dari atas jejantas, ditendang dan dicekik sebelum dirogol di bawah jejantas Jalan Reko, Kajang. Mangsa patah tulang belakang dan nyaris meninggal dunia. Kaki dan tangan mangsa juga diikat ke belakang dan badannya ditutup dengan plastik hitam, mulut disumbat dengan stoking dan diikat dengan sapu tangan sebelum ditinggalkan.

11) Siti Nurliyana Shamimi Rosdi, kanak-kanak berusia dua tahun diculik, dirogol dan dibunuh, dijumpai dalam keadaan bogel di tebing Sungai Kedah, kira-kira 500 meter dari rumahnya di Kampung Seberang Terus. Hasil bedah siasat mendapati ada kesan koyak pada kemaluan mangsa, selain lebih 40 kesan luka pada badan. Mangsa juga mengalami pendarahan dalam otak, dipercayai akibat dipukul dengan benda keras.

12) Canny Ong Lay Kian dilarikan dari tempat letak kereta Bangsar Shopping Centre di ibu negara. Mayat mangsa ditemui separuh rentung di dalam longkang di tepi Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

13) Kanak-kanak berusia 10 tahun, Hasirawati Saridi ditemui mati dipercayai dibunuh dan dirogol ketika dalam perjalanan ke sekolah di Kampung Ratau, Menggatal, Kota Kinabalu, Sabah.

Banyak lagi kes yang mendapat liputan media termasuk yang terbaru ialah perbicaraan kes pemandu teksi, Mohd. Fazli Azri Jamil, 28, yang didakwa membunuh kanak-kanak Syafiah Humaira Sahari di sebuah padang bola, Ulu Yam, Batang Kali, Kuala Kubu Baharu pada 25 Februari lalu.

Beberapa saksi mengatakan mereka nampak Syafiah Humaira dipijak oleh lelaki dewasa sehingga badannya ada kesan “stud” kasut bola pada perut mangsa, ada saksi mengatakan si pelaku memijak kaki mangsa dengan memakai but bola tetapi mangsa tiada reaksi. Mereka nampak si pelaku menyepak mangsa yang berusia 3 tahun sehingga melambung jauh sebelum diherdik untuk berdiri. Mahkamah juga diberitahu, Syafiah Humaira dijinjing bangun oleh si pelaku tetapi jatuh semula kerana sudah tentu kesakitan yang amat.

Media juga mendedahkan, si pelaku adalah lebih keji dari seekor binatang kerana dengan bangganya melakukan perbuatan itu di tempat terbuka dan apabila ditegur, si pelaku mengherdik dengan bangga, “Tak pernah tengok budak kena sepak” dan ''Kau jangan sibuk, nanti kau yang aku buat macam ni”.

Semua ini didedahkan media termasuk, ibu mangsa yang mempunyai anak tidak sah taraf bersama pelaku. Yang menyedihkan, akhir kes nanti, ada pelaku yang bersalah tetapi tidak dikenakan hukuman, ada pelaku yang bersalah diangkat sebagai wira atau “hero”, ada pelaku yang dikenakan hukuman setimpal dan tidak setimpal dan sebagainya. Tetapi apa yang menimpa simangsa, anak-anak dan keluarga, tekanan yang dihadapi mangsa dan keluarga pelaku, lebih lagi penyesalan(jika ada) dan kesakitan yang ditanggung pelaku akibat kesilapan diri yang berpunca dari sikap terburu-buru, gopoh, panas baran, melulu, sembrono, ikut kawan, dan sebagainya semua tidak didedahkan kepada pembaca.

Yang terpalit di hati pembaca adalah rasa sedih, geram dan marah, yang pembaca faham ialah tiada penyesalan dan kesengsaraan yang ditanggung pelaku, mangsa, dan keluarga angkara perbuatan diri. Semua ini kerana media hanya memberi liputan eklusif bagai Drama Filem di Mahkamah tetapi tiada pengakhiran yang benar-benar membuat penonton atau pembaca insaf dan muhasabah diri. Yang pasti, malu menanti keluarga mangsa dan pelaku yang tidak berdosa, sedangkan Mahkamah sudah membogelkan kisah peribadi mereka. Dunia tidak tahu kerana media berhenti memberi liputan selepas Hakim membuat keputusan.

Jika mustahil, saya mahu dengar pengakuan dari mulut pembunuh, perogol, dan pendera kanak-kanak yang terbukti bersalah dan sedang menjalani hukuman. Saya mahu tahu perasaan trauma dan penderitaan mangsa, anak-anak dan keluarga, malah saya mahu tahu, kisah hidup si pelaku dari pandangan ibu bapa dan keluarganya sendiri(dengan kebenaran). Saya benar-benar ingin tahu bagaimana sipelaku menjalani kehidupan dari kecil, remaja, dewasa, sehingga ia mampu mengubah seorang manusia menjadi lebih zalim dan keji dari seekor binatang. Dengan itu, pendedahan di Mahkamah dapat diselarikan dengan moral, tauladan dan sempadan sejajar dengan hukuman dunia dan akhirat.

No comments: