Asean Satellite Televisyen Radio Operator (ASTRO) adalah lebih sesuai dan tepat dikenali sebagai Air(mata) Sedih Tangisan Rintihan Orang (ASTRO). Program terbaru Imam Muda mengesahkan lagi gelaran tersebut pada ASTRO. Sungguhpun Program tersebut mencari dan melahirkan Imam Muda Moden berketrampilan menarik supaya diterima kebanyakan golongan, tetapi, adegan tangisan, air mata, kesedihan IMAM sewajarnya dikecam.
Terbaru, Imam Muda diberi tugasan untuk menyulami jiwa anak-anak kurang bernasib baik disamping menggalakkan mereka supaya taat pada perintah Allah. Namun, apabila air mata turut menjadi modal ASTRO dan dimainkan pula oleh Imam Muda, jelaslah Program ini hanya mampu melahirkan Imam Setengah Masak. Difahamkan, air mata adalah bahasa roh yang tidak difahami oleh akal tetapi dirasai oleh perasaan sehinga mata mengeluarkan air.
Namun, apa yang dirasai oleh perasaan dari bahasa roh tersebut hanyalah SEDIH. Tidaklah jelas oleh perasaan mengapa roh bersedih, tetapi ramai Ulama mengatakan roh senantiasa bersedih dan meratapi dosa “tuan punya badan” dan bukanlah kerana orang lain. Jikalau kita dapat memahami bahasa roh kita akan mendengar roh berkata pada kita, dahulu sebelum lahir kau iaitu aku(roh) telah berjanji pada Allah sebegini dan sebegitu, semasa kau melakukan dosa dan fitnah tanpa kau sedari, semasa kau memarahi ibu bapa, semasa kau masam mencuka, semasa kau tidak beradab pada orang lebih tua, semasa kau meninggalkan solat, semasa kau jalan tegak dalam rumah Allah, semasa kau membazir air mengambil wudhu, semasa kau mencuri tulang, semasa kau tidak jujur dalam kerja, semasa kau mengambil dan memberi anak isteri makan duit rasuah, semasa kau ponteng dan tipu MC, semasa kau mengambil kertas A4 dan mencetak mengguna perkakas pejabat tanpa kebenaran, semasa kau tidur diulit mimpi ketika azan subuh, semasa kau sebegini dan sebegitu, aku(roh) telah menasihatkan kau dan aku telah diperlihatkan Allah azab yang menanti kita. Malangnya akal tidak faham akan bahasa roh, tetapi hati merasainya, lalu timbullah perasaan resah, gundah gulana, takut, marah, sedih, tangis dan sebagainya.
Malangnya, keduniaan mempergunakan program seperti Akademi Fantasia, lain-lain Program Realiti TV, termasuklah Imam Muda untuk memperalatkan air mata sebagai satu modal menarik rating dan memperlihatkan bukan kualiti tetapi kehinaan seorang IMAM. Dalam Islam, Nabi Muhammad SAW serta para sahabat dan para ikutan(Imam, Ulama dan Fisabilillah) hanya layak menangisi kemurkaan Allah SWT terhadap manusia lebih-lebih lagi umat Islam. Apakah nasib manusia yang cacat, yang kurang upaya, yang kurang bernasib baik, yang kurang kacak dan cantik adalah kemurkaan Allah atau kerana ujian Allah yang mahu Umat Nabi Muhammad dipertingkatkan makamnya. Perlukah kita menangisinya? Diceritakan, seorang bapa menangis gembira kerana anak perempuannya tidak layak ataupun terkeluar dalam saingan Program Hiburan, bukannya menangis sedih.
Imam Muda memang harus, wajib dan wajar mempunyai perasaan termasuklah mengalirkan air mata apabila berlaku kematian, sungguhpun ada yang melarang kerana air mata memberatkan simati, namun, Imam Muda tetap seorang manusia. Seorang manusia yang akan menangis apabila melihat bumi Palestin di ceroboh, anak-anak kecil Palestin ditembusi peluru Yahudi, Gadis Afghanistan dirogol Tentera Amerika dihadapan ibu bapanya, Wanita Iraq diliwat dihadapan suaminya, tetapi, semua tangisan ini dilakukan pada malam hari, diatas tikar sembahyang, dan hanya berhadapan Allah SWT dan bukan berhadapan kaca TV yang ditonton seluruh umat manusia. Ingatlah, betapa manusia itu sedih menangisi kematian Rasullullah SAW, tetapi IMAM BESAR Saidina Abu Bakar tidak menangis dan meminta seluruh hadirin dan umat Islam supaya tidak menangis kerana kasih Allah lebih layak keatas Baginda. Baginda tidaklah mati, tetapi dipindahkan ke kehidupan yang kekal iaitu SYURGA. Namun, perlu difahami terutama oleh agama lain, Saidina Abu Bakar ialah seorang manusia sama seperti kita, dilahirkan Allah dengan perasaan sedih dan sakit walaupun beliau mampu menahan dipatuk ular berbisa semasa Nabi Muhammad SAW tidur di ribanya. Saidina Abu Bakar menangisi kematian Nabi Muhammad SAW setiap malam diatas tikar sembahyang disaksikan hanya Allah SWT. Itulah kualiti yang perlu ada pada seorang IMAM MUDA kerana mereka ialah contoh, ikutan, model, dan cahaya dihujung terowong.
Program ADIK ANGKAT pula perlulah ditukar pada Program Sahabat kerana Nabi Muhammad SAW tidak mempunyai adik beradik angkat. Tetapi Baginda mempunyai banyak Sahabat termasuklah yang jahat. Sehingga Baginda pernah memberitahu seorang Sahabat, mahukah kau melihat dikalangan sahabatku yang akan dimasukkan kedalam Neraka? Sahabat tersebut menangis ketakutan, sambil memberanikan diri mengangkat muka melihat wajah Nabi Muhammad kerana difikirkan dia adalah orang yang dimaksudkan Nabi, menyedari keadaan itu, Nabi menyambung, janganlah kau menangis sahabatku, sesungguhnya kau telah Allah janjikan akan Syurga kepadaku. Jelaslah tiada nas dan riwayat yang menceritakan Nabi Muhammad SAW mempunyai adik atau abang angkat melainkan semua adalah sahabat Baginda. Lebih-lebih lagi Imam Muda adalah program merintis semangat Islam dalam dunia moden serba mencabar. Adalah sepatutnya Program Angkat ini ditukar kepada Program Sahabat Masjid, Sahabat Islam, Sahabat Darjah, Sahabat 2G, Sahabat 3G, Sahabat Internet, Sahabat Facebook, Sahabat Cekal dan sebagainya. Semoga yang terlibat dapat mendalami jiwa, roh dan semangat SAHABAT disisi Islam yang dipraktikkan Rasulullah SAW dan para sahabat.
Imam Muda yang masih kekal dan telah terkeluar janganlah berasa tersinggung dan sedih, kerana seorang Imam yang tinggi darajatnya disisi Allah perlu menongkah arus perdana. Ingatlah, dari Sahabat Abdullah bin Amr bin Ash r.a :
“Telah bersabda Rasulullah SAW : ” Sungguh-sungguh akan datang atas umatku sebagaimana yang telah datang pada Bani Israil, sebagaimana sepasang sandal yang sama ukurannya, sehingga kalau dulunya pernah ada di kalangan Bani Israil orang yang menzinai ibunya terang-terangan niscaya akan ada diumatku ini yang melakukan demikian. Dan sesungguhnya Bani Israil telah terpecah menjadi 72 golongan dan umatku akan terpecah menjadi 73 golongan. Semua mereka bakal masuk neraka kecuali satu golongan yang selamat. Para shahabat bertanya: “Siapakah mereka yang selamat itu ya Rasulullah?” Rasulullah menjawab: ” yaitu golongan yang mengikuti Aku ada padanya pada hari ini dan yang mengikuti para Sahabatku.”
Sesungguhnya, satu dari 73 jalan tersebut pastilah bukan jalan yang mudah dan senang. Ia pastilah jalan yang dibenci Syaitan yakni jalan yang berliku, susah dan rumit. Semoga semua Imam Muda berada di landasan jalan yang betul, yakni JALAN SIRATUL MUSTAQIM.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment