ALLANA HIJAB

ALLANA HIJAB
Whatsapp 012-6144924 NOW For Guaranteed Special Free Gift

Monday, June 21, 2010

GURU HARUS MENULIS BLOG

Fitrah manusia sering dikaitkan dengan sifat seperti lupa, dengki, hasad, marah, cemburu, keakuan, berebut, penting diri, simpati, lurus bendul, ikhlas, jujur dan sebagainya. Bergantung kepada cara didikan, dan pergaulan semasa tumbesaran, sifat ini boleh dibendung, boleh meracuni, boleh disemai, boleh dipupuk, boleh dimanupulasikan atau termanupulasi tanpa disedari. Sifat yang diamalkan sehingga menjadi sebahagian dari diri dipanggil tabiat.

Ironinya, kita melihat kedewasaan mengajar kita tentang keterbukaan. Kita melihat ramai rakan, sahabat, adik beradik, saudara, “Bos”, pemimpin dan anak-anak mempunyai macam-macam ragam dan pelbagai sifat dan tabiat. Kebanyakannya mula terbentuk seawal usia 5 tahun dan ia terus mekar selama 12 tahun kita memakai uniform Sekolah. Apakah ia mekar menjadi sekuntum bunga yang cantik dan menerangi kehidupan orang lain, atau ia menjadi bunga yang wangi tapi tajam durinya, atau dia menjadi bunga yang dihisap madunya, atau dia menjadi bunga yang menjadi benih kepada anak yang bakal lahir, atau ia menjadi bunga yang hanya harum pada waktu tertentu, atau ia menjadi seperti duri yang tajam tapi malu apabila disentuh dan sebagainya. Jawapan bagaimana sifat dan tabiat terbentuk ada pada seorang insane yang banyak menabur bakti. Mereka ialah Guru dan Cikgu di Sekolah yang kebanyakan masa anak-anak dihabiskan disana sepanjang 12 tahun.

Perilaku, naluri manusia, adat bertingkah, adab bersantun, asas pemikiran, ideologi, prinsip, pegangan dan kepercayaan, fundamental kehidupan semuanya berlaku dihadapan Guru. Mereka memerhatikan sambil cuba apa yang terdaya berbekal ilmu didada dengan hanya satu matlamat iaitu melahirkan anak yang terpelajar dan terdidik. Bukan sahaja akademik, tetapi sahsiah diri dan rohani. Kegagalan senantiasa terbeban keatas Guru tersebut yang mana sebenarnya mereka tidak gagal, tetapi kesaling-perluan antara Guru, Anak, Ibubapa, rakan sebaya, persekitaran gagal memanfaatkan satu sama lain. Apabila ia berjaya, pastilah ia dikatakan hasil didikan ibu bapa, itulah rungutan rakan saya seorang Guru, “Lembu punya susu, sapi dapat nama”.

Sungguhpun seorang Guru jarang dihargai, dan diingati, namun, Allah pasti membalas jasa mereka malah saham untuk mereka berterusan walaupun mereka sudah pergi meninggalkan kita seratus tahun dahulu. Mereka adalah golongan paling mulia dalam dunia ini dan sumbangan mereka adalah yang terbesar dalam setiap pencapaian. Guru, umpama lilin membakar diri menerangi kehidupan orang lain, api itu tidak pernah padam tetapi ia terus digunakan untuk menerangi jiwa anak-anak.

Pada zaman tiada Internet, perhubungan antara Guru dan Ibubapa hanya terjalin selama beberapa jam. Apa yang dipendam Guru untuk berkongsi dengan ibubapa hanya dapat diluahkan pada hujung tahun nanti apabila semua ibubapa hadir. Kemudian pada zaman komunikasi mobile pula, ia tetap menghalang konnunikasi antara Guru dan Ibubapa atas banyak sebab antaraya kerana hubungan antara telinga dan mulut yang jarang berjalan dengan baik. Justeru, penulisan tetap adalah satu medium terbaik kerana apabila ibu bapa membaca, hanya satu deria sahaja digunakan untuk memberi input kepada otak iaitu mata. Berbanding apabila bercakap, deria telinga, mata, hidung, mulut digunakan sehingga pelbagai tapisan emosi menghalang input ke otak. Sungguhpun begitu, adalah sukar untuk seorang Guru menampaikan penulisannya kepada ibubapa.

Pada zaman internet dan blog ini, Guru-guru dirayu menggunakan “state of the art” ini dengan menulis blog. Guru diminta berkongsi pengalaman, hasil analisa, pemerhatian, pendapat mencegah, cadangan menambah baik, dan pelabagi lagi tanpa perlu menyebut nama anak tersebut. Yang pasti, ia sesuatu yang amat bermanafaat dan boleh memanfaatkan ramai anak-anak seluruh Malaysia. Tiada insan yang lebih layak dari Guru untuk menulis blog dan menyampaikan rasa dan luahan mereka, agar anak-anak menjadi seorang manusia yang terpelajar dan terdidik “mental, fizikan dan spiritual”.

Saya pasti impak dan ilmiah blog Guru adalah lebih dari apa yang dapat kami lakukan. Ibubapa boleh memanfaatkan pengalaman Guru yang tiada tanding taranya. Justeru, Guru mula memblog amat diperlukan untuk melahirkan insan yang dapat menilai baik dan buruk, salah dan betul, patut dan tidak, rasional dan emosional, dan sebagainya, Wahai Guru, teruslah mendidik anak-anak kami diluar ini dengan memblog.

Monday, June 14, 2010

Khalifah Umar Abdul Aziz PAS

Lim Guan Eng di gelar Khalifah Umar Abdul Aziz oleh PAS. Bayangkan kesesatan yang dibawa PAS jika benar-benar ahli mereka yang buta tuli(jika ada) mempercayai gelaran yang diberi Nik Abdul Aziz.

Namun itu bukan isu yang saya ingin utarakan. Malah, ramai sudah mengetahui tembelang dan bercerita perihal Lim Guan Eng. Cuma, ahli PAS belum betul-betul mencontohi kebenaran Abu Bakar As Siddiq, menjiwai ketegasan Umar Al Khatab dalam mengatakan kebenaran waima yang disanggah ialah Nabi Muhammad SAW atau Abu Bakar.

Tujuan saya menulis adalah ingin mengingatkan Mentor dan Idola Cyber saya iaitu saudara RocyBru dan Kickdefella. Sungguhnya, mereka mengajar saya erti etika kewartanan dan blog. Tanggungjawab dan peranan yang mampu kita mainkan. Saya mahu ingatkan mereka kerana saya terbaca dari kedua-dua blog mereka beserta gambar mengenai Lim Guan Eng yang menaiki penerbangan MAS dari Penang ke KL menaiki Ekonomi Kelas.

Rockybru dan Kickdefella berjaya menanam kebencian saya pada pemimpin BN yang hanya mahu menaiki Business Class dan suka menghabiskan wang rakyat. Malah, ada satu ketika, salah satu dari blog Kickdefella atau Rockybru memaparkan gambar rumah teres Lim Kit Siang yang ditumpang Lim Guan Eng walaupun sudah bergelar Ketua Menteri Melaka. Mereka berjaya menaksubkan saya pada kualiti kepimpinan seorang Cina Melaka yang rendah hati dan berjiwa rakyat sehingga di gelar pula oleh PAS sebagai Khalifah Umar Abdul Aziz.

Tanggungjawab dan etika kewartanan dan blog perlu mendedahkan kebenaran walaupun yang menanti ialah Neraka Dunia. Kini, Lim Guan Eng sudah pergi ke Luar Negara 15 kali bertujuan membawa masuk pelabur baru termasuk beberapa lawatan yang disertai isterinya sejak 11 Mac 2008,.

Negara-negara tersebut adalah Hong Kong, Korea Selatan, China, Taiwan, Timur Tengah, Amerika Syarikat (AS), Indonesia dan Singapura.

Saya mahu mengingatkan tanggungjawab Rockybru dan Kickdefella yang dahulu mendedahkan Lim Guan Eng berjiwa rakyat menaiki Economy Class, selidik dan paparkanlah gambar Guan Eng bersama isteri di sana dan selidikilah mereka menaiki Economy Class, Business Class atau First Class.

Kerana saya percaya, anda berdua yang amat saya hormati adalah orang yang bertanggunjawab atas laporan yang anda beri. Sungguhpun, perubahan sikap Guan Eng luar kawalan anda, tetapi menjadi tanggunjawab anda berdua untuk melaporkan hal sebenar dan terkini kepada rakyat supaya kebenaran dapat tertegak tanpa mengira siapa, dimana, bila, dan mengapa.

Salam Kasih,

Mustaqim Abdul Rahman
Menti Senyap

JUDI BOLA

Sesuatu yang agak memeranjatkan apabila beberapa kumpulan dalam UMNO seperti Pemuda, UMNO Johor, beberapa Menteri menggesa Kerajaan mengkaji Lesen Judi Bola. Harapan saya, ia bukanlah satu retorik atau lakonan politik semata. Jika benar mereka bersuara atas kapasiti mereka sebagai “wakil rakyat”, mereka mensuarakan apa yang difikirkan benar, maka ini adalah satu nafas baru yang dinanti-nanti oleh UMNO.

UMNO sebenarnya dalam keadaan merbahaya akibat permainan politik yang dimainkan PR terutama PAS. Keputusan PAS menggadai nama Islam dan perjuangan Melayu dalam Parti Islam Se-Malaysia itu adalah sesuatu yang boleh dianggap pelancaran “Nuclear War”. Bezanya, pemenang utama perang nuklear ini adalah bukan Melayu mahupun Islam selaku pihak yang berjuang dan berpenat jerih, tetapi pemenangnya ialah bukan Melayu dan bukan Islam. Undi mereka yang ditagih walau terpaksa menyekutukan Allah dan Rasulnya, begitulah gamaknya manusia yang diragui oleh Malaikat dari saat pertama Allah cipta.

UMNO nampak terhimpit dari kacamata saya yang tidak seberapa. Beberapa pembaharuan perlu dilakukan seperti kebebasan bersuara walaupun bukan sealiran dengan kepimpinan parti. Masih ingat Tengku Razaleigh dalam isu royaltI gas Kelantan?
Sebenarnya, UMNO sudah lama mengamalkan kebebasan bersuara lebih dari apa yang ditawarkan oleh PKR, PAS DAN DAP. Bezanya, UMNO lemah dalah menjenamakan nilai-nilai positif yang ada padanya. Di pihak pembelit pula, najis anjing dan babi pun boleh dijual untuk dimakan orang Islam, begitulah hebatnya kuasa pemasaran dan penjenamaan mereka.

Dalam isu judi bola, saya menyokong supaya diberikan lesen kerana jika kita bijak melayari Internet dengan menggunakan beberapa kata kunci, kita akan menjumpai beratus laman web yang menawarkan pertaruhan bola. Dalam beratus ini ada yang benar dan ada yang hanya mahu menipu. Samada Lesen Judi Bola diberikan atau tidak, rakyat Malaysia termasuk orang Islam sudah menetapkan sejumlah wang untuk ditaruh. Malah mereka sudah berkira-kira untuk mendapatkan semula kerugian bertaruh dan untuk melipatgandakan keuntungan bertaruh pada Piala Dunia lepas. Samada Kerajaan beri lesen atau tidak, samada Pakatan Rakyat mensedekahkan perisian menyekat laman web judi online di Malaysia, para pertaruh tetap akan membuat pertaruhan.

Oleh itu, politik bunuh adalah amat penting pada masa ini. UMNO perlu membunuh politik yang dimainkan oleh PR terutama PAS sehingga berjaya mengucar kacirkan UMNO dan menampakkan UMNO bersubahat dalam dosa besar Islam ini. Walhasil, apa yang UMNO cuba lakukan dengan memberi lesen judi ini adalah untuk mengelakkan dari dosa yang lebih besar iaitu penipuan Internet, bunuh, rogol dan liwat(jika pertaruh kalah tidak bayar) termasuk pada keluarga, ancaman kewangan kerana Ah Long(Lintah Darat@Bookie) akan menaikkan bunga jika lambat bayar, dan banyak lagi.

Politik bunuh UMNO ini bolehlah dimulakan oleh Yang Dibenci Cina (YDC) Dato Ibrahim Ali. Blok bebas boleh mengusulkan di Parlimen penarikan balik semua lessen judi termasuk 4D, Lumba Kuda, Kasino dan sebagainya di seluruh Malaysia. Semua yang berkaitan judi seperti cabutan bertuah, gores dan menang, peraduan dan sebagainya juga di haramkan oleh Kerajaan dan sesiapa terlibat atau menawarkan akan dihukum mengikut hukum HUDUD. Saya percaya, semua ahli Parlimen PAS dan UMNO akan menyokong usul ini. Jika tidak, kita lihat siapa yang lebih teruk kena main dalam politik. Tukang sorak, rakyat atau Pemimpin.

Sunday, June 13, 2010

YANG BAIK JADIKAN TAULADAN, YANG TIDAK JADIKAN SEMPADAN

Saya menulis sebagai satu saluran ilmiah. Kerana saya manusia, saya mempunyai sentimen dan pendapat tersendiri. Ibu pernah bertanya, kenapa perlu menulis menyakitkan hati orang dan menambah musuh, saya jawab, saya tulis dengan harapan dapat berpesan-pesan kepada kebenaran.

Namun, saya akur dengan lumrah manusia yang Allah jadikan berbeza-beza dan mana mungkin saya paksa pemikiran pembaca mengikut pemikiran saya dan begitu juga sebaliknya.

Di akhir hari, saya harap dapat meninggalkan apa sahaja yang saya tulis kepada anak dari keturunan saya dan dari keturunan kakak-kakak saya, semoga, yang bermanafaat dan baik disampaikan kepada cucu-cicit, dan yang salah juga disampaikan kepada anak cucu supaya mereka menjadikannya sempadan.

Wahai anak-anakku!

Ingatlah pesanan datukmu, Abdul Rahman Mohd Nurut,

“Berbaik-baik dengan seorang musuh, berjaga-jaga dengan seorang kawan” supaya musuh menjadi kawan, dan kawan tidak menjadi musuh.

“Bila jadi Bos, jangan jadikan pekerja sebagai hamba, tetapi naikkan semangat mereka supaya bekerja-sama”

“Dalam baik manusia cari buruknya, dalam jahat manusia cari baiknya, jangan ambil yang negatif, tetapi, perhalusi garisan halus yang memisahkan batil dan hak, yang salah dan benar”

“Hormatilah manusia bukan kerana dunianya(rumah, kereta, pangkat), tetapi hormatilah manusia kerana akhiratnya”

“Satu detik muhasabah diri dan meratapi dan insafi kesilapan pada Allah bersamaan dengan pahala 40 tahun solat sunat”

“Jangan dicari kesalahan orang sebelum dicari dan diteliti diri sendiri”

"Jika Rasulullah SAW yang maksum beristighfar meminta ampun pada Allah 100 kali setiap malam sebelum tidur, cubalah "acai" beristighfar 111 kali sebelum tidur meminta ampun dosa hari tersebut"

"Jangan takut melakukan dosa, tetapi gerunlah menghadapi NERAKA.

Semua ini sama ada kalian terbaca di Al-Quran, kitab atau bahan ilmiah lain, ingatlah, ia adalah ajaran Islam yang di amalkan keturunanmu.

Mustaqim Abdul Rahman
June 13, 2010.
Menjelang Rejab yang mulia di tahun 1431

SELARIKAN PENDEDAHAN MAHKAMAH DENGAN HUKUMAN

Acap kali apabila ada kes jenayah yang mendapat perhatian umum dan media, kes tersebut akan diikuti dari mula sehingga akhir. Pendek kata, segala pendedahan berserta bukti dan saksi dalam mahkamah semuanya dibogelkan dan dipaparkan oleh media setiap hari. Kes di Mahkamah yang mendapat liputan media perlu mendapat liputan media secara menyeluruh termasuk hukuman, wawancara selepas hukuman dijalankan, kesan perlakuan jenayah tersebut pada pelaku dan keluarga, penyesalan, kesan trauma pada mangsa dan keluarga, keperitan dan kesedihan yang ditanggun waris dan sebagainya.

Dalam drama filem, setiap perbuatan jahat pasti akan mendapat balasan. Lain pula jalan cerita kes Mahkamah yang mendapat liputan media. Kes yang berjalan di Mahkamah bagai sebuah cerita drama yang menceritakan jenayah, kekejaman manusia, perilaku keji dan hina, jiwa kacau yang ganas, kebinatangan manusia, kemaksiatan dan keburukan akhlak, dan segala perilaku Syaitan kepada kita. Kita membaca dan mengikuti kisah di Mahkamah setiap hari tetapi kita tidak pula dapat mengikuti kisah selepas hukuman dijatuhkan oleh Tuan Hakim. Media perlu bertanggungjawab menghabiskan cerita “drama” yang di dedahkan dari Mahkamah dengan mewujudkan ruangan khas termasuk mewawancara pelaku jenayah, mangsa, keluarga, mereka yang tertejas fizikal, mental dan perasaaan.

Jika dahulu antara kes yang mendapat liputan media seperti;

1) Nurin Jazlin, kanak-kanak yang diculik lalu dibunuh dengan kejam oleh seorang manusia yang ternyata lebih kejam dan zalim dari Syaitan.

2) Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun, Nurul Huda Abdul Ghani dirogol, diliwat sebelum dibunuh di pondok pengawal stesen pencawang Tenaga Nasional Berhad Kampung Pekajang, Gelang Patah, Johor. Mayatnya ditemui berbogel tersandar pada dinding tandas pondok pengawal terbabit dalam keadaan mencangkung.

3) Audrey Melissa Bathinathan, 17, dijumpai mati berhampiran Sekolah Perempuan Methodist Kuala Lumpur, tempat beliau belajar. Hasil bedah siasat mendapati mangsa dipukul di kepala, dirogol dan dijerut.

4) Mayat Noor Suzaily Mukhtar, 24, ditemui di Taman Bukit Tinggi, Klang. Mangsa dirogol dan dibunuh dalam sebuah bas ekspres dan mayatnya dicampak di sebuah jalan di kawasan pembinaan di taman itu.

5) Nor Shuhada Borak, 6, ditemui mati dalam tangki air di bumbung bangunan kediaman tiga tingkat jenis town house di Selayang dalam keadaan separuh bogel dan lebam pada muka dan tangan. Mangsa dipercayai dirogol sebelum dibunuh.

6) Farrah Deeba Rustam dirogol dan dibunuh di bawah jambatan jalan masuk ke Kampung Tersusun Batu 2, Jalan Lama Bidor-Tapah. Mangsa mati akibat dijerut menggunakan tali.

7) Nurul Hanis Kamil dibunuh dalam semak selepas pulang dari sekolah di Serkam Darat, Merlimau, Melaka pada 3 Julai 2001.

8) Sementara itu, seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dirogol dan diliwat sehingga terkeluar usus oleh dua remaja berusia 19 tahun ketika merompak keluarga mangsa di rumahnya di Taman Bukit Maluri, Kepong.

9) Norshakila Ramli Choo, 6, pula dirogol sebelum dibunuh di Taman Tasik Permai Ampang.

10) Manakala seorang pelajar sekolah menengah ditolak dari atas jejantas, ditendang dan dicekik sebelum dirogol di bawah jejantas Jalan Reko, Kajang. Mangsa patah tulang belakang dan nyaris meninggal dunia. Kaki dan tangan mangsa juga diikat ke belakang dan badannya ditutup dengan plastik hitam, mulut disumbat dengan stoking dan diikat dengan sapu tangan sebelum ditinggalkan.

11) Siti Nurliyana Shamimi Rosdi, kanak-kanak berusia dua tahun diculik, dirogol dan dibunuh, dijumpai dalam keadaan bogel di tebing Sungai Kedah, kira-kira 500 meter dari rumahnya di Kampung Seberang Terus. Hasil bedah siasat mendapati ada kesan koyak pada kemaluan mangsa, selain lebih 40 kesan luka pada badan. Mangsa juga mengalami pendarahan dalam otak, dipercayai akibat dipukul dengan benda keras.

12) Canny Ong Lay Kian dilarikan dari tempat letak kereta Bangsar Shopping Centre di ibu negara. Mayat mangsa ditemui separuh rentung di dalam longkang di tepi Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

13) Kanak-kanak berusia 10 tahun, Hasirawati Saridi ditemui mati dipercayai dibunuh dan dirogol ketika dalam perjalanan ke sekolah di Kampung Ratau, Menggatal, Kota Kinabalu, Sabah.

Banyak lagi kes yang mendapat liputan media termasuk yang terbaru ialah perbicaraan kes pemandu teksi, Mohd. Fazli Azri Jamil, 28, yang didakwa membunuh kanak-kanak Syafiah Humaira Sahari di sebuah padang bola, Ulu Yam, Batang Kali, Kuala Kubu Baharu pada 25 Februari lalu.

Beberapa saksi mengatakan mereka nampak Syafiah Humaira dipijak oleh lelaki dewasa sehingga badannya ada kesan “stud” kasut bola pada perut mangsa, ada saksi mengatakan si pelaku memijak kaki mangsa dengan memakai but bola tetapi mangsa tiada reaksi. Mereka nampak si pelaku menyepak mangsa yang berusia 3 tahun sehingga melambung jauh sebelum diherdik untuk berdiri. Mahkamah juga diberitahu, Syafiah Humaira dijinjing bangun oleh si pelaku tetapi jatuh semula kerana sudah tentu kesakitan yang amat.

Media juga mendedahkan, si pelaku adalah lebih keji dari seekor binatang kerana dengan bangganya melakukan perbuatan itu di tempat terbuka dan apabila ditegur, si pelaku mengherdik dengan bangga, “Tak pernah tengok budak kena sepak” dan ''Kau jangan sibuk, nanti kau yang aku buat macam ni”.

Semua ini didedahkan media termasuk, ibu mangsa yang mempunyai anak tidak sah taraf bersama pelaku. Yang menyedihkan, akhir kes nanti, ada pelaku yang bersalah tetapi tidak dikenakan hukuman, ada pelaku yang bersalah diangkat sebagai wira atau “hero”, ada pelaku yang dikenakan hukuman setimpal dan tidak setimpal dan sebagainya. Tetapi apa yang menimpa simangsa, anak-anak dan keluarga, tekanan yang dihadapi mangsa dan keluarga pelaku, lebih lagi penyesalan(jika ada) dan kesakitan yang ditanggung pelaku akibat kesilapan diri yang berpunca dari sikap terburu-buru, gopoh, panas baran, melulu, sembrono, ikut kawan, dan sebagainya semua tidak didedahkan kepada pembaca.

Yang terpalit di hati pembaca adalah rasa sedih, geram dan marah, yang pembaca faham ialah tiada penyesalan dan kesengsaraan yang ditanggung pelaku, mangsa, dan keluarga angkara perbuatan diri. Semua ini kerana media hanya memberi liputan eklusif bagai Drama Filem di Mahkamah tetapi tiada pengakhiran yang benar-benar membuat penonton atau pembaca insaf dan muhasabah diri. Yang pasti, malu menanti keluarga mangsa dan pelaku yang tidak berdosa, sedangkan Mahkamah sudah membogelkan kisah peribadi mereka. Dunia tidak tahu kerana media berhenti memberi liputan selepas Hakim membuat keputusan.

Jika mustahil, saya mahu dengar pengakuan dari mulut pembunuh, perogol, dan pendera kanak-kanak yang terbukti bersalah dan sedang menjalani hukuman. Saya mahu tahu perasaan trauma dan penderitaan mangsa, anak-anak dan keluarga, malah saya mahu tahu, kisah hidup si pelaku dari pandangan ibu bapa dan keluarganya sendiri(dengan kebenaran). Saya benar-benar ingin tahu bagaimana sipelaku menjalani kehidupan dari kecil, remaja, dewasa, sehingga ia mampu mengubah seorang manusia menjadi lebih zalim dan keji dari seekor binatang. Dengan itu, pendedahan di Mahkamah dapat diselarikan dengan moral, tauladan dan sempadan sejajar dengan hukuman dunia dan akhirat.

ASTRO IMAM MUDA

Asean Satellite Televisyen Radio Operator (ASTRO) adalah lebih sesuai dan tepat dikenali sebagai Air(mata) Sedih Tangisan Rintihan Orang (ASTRO). Program terbaru Imam Muda mengesahkan lagi gelaran tersebut pada ASTRO. Sungguhpun Program tersebut mencari dan melahirkan Imam Muda Moden berketrampilan menarik supaya diterima kebanyakan golongan, tetapi, adegan tangisan, air mata, kesedihan IMAM sewajarnya dikecam.

Terbaru, Imam Muda diberi tugasan untuk menyulami jiwa anak-anak kurang bernasib baik disamping menggalakkan mereka supaya taat pada perintah Allah. Namun, apabila air mata turut menjadi modal ASTRO dan dimainkan pula oleh Imam Muda, jelaslah Program ini hanya mampu melahirkan Imam Setengah Masak. Difahamkan, air mata adalah bahasa roh yang tidak difahami oleh akal tetapi dirasai oleh perasaan sehinga mata mengeluarkan air.

Namun, apa yang dirasai oleh perasaan dari bahasa roh tersebut hanyalah SEDIH. Tidaklah jelas oleh perasaan mengapa roh bersedih, tetapi ramai Ulama mengatakan roh senantiasa bersedih dan meratapi dosa “tuan punya badan” dan bukanlah kerana orang lain. Jikalau kita dapat memahami bahasa roh kita akan mendengar roh berkata pada kita, dahulu sebelum lahir kau iaitu aku(roh) telah berjanji pada Allah sebegini dan sebegitu, semasa kau melakukan dosa dan fitnah tanpa kau sedari, semasa kau memarahi ibu bapa, semasa kau masam mencuka, semasa kau tidak beradab pada orang lebih tua, semasa kau meninggalkan solat, semasa kau jalan tegak dalam rumah Allah, semasa kau membazir air mengambil wudhu, semasa kau mencuri tulang, semasa kau tidak jujur dalam kerja, semasa kau mengambil dan memberi anak isteri makan duit rasuah, semasa kau ponteng dan tipu MC, semasa kau mengambil kertas A4 dan mencetak mengguna perkakas pejabat tanpa kebenaran, semasa kau tidur diulit mimpi ketika azan subuh, semasa kau sebegini dan sebegitu, aku(roh) telah menasihatkan kau dan aku telah diperlihatkan Allah azab yang menanti kita. Malangnya akal tidak faham akan bahasa roh, tetapi hati merasainya, lalu timbullah perasaan resah, gundah gulana, takut, marah, sedih, tangis dan sebagainya.

Malangnya, keduniaan mempergunakan program seperti Akademi Fantasia, lain-lain Program Realiti TV, termasuklah Imam Muda untuk memperalatkan air mata sebagai satu modal menarik rating dan memperlihatkan bukan kualiti tetapi kehinaan seorang IMAM. Dalam Islam, Nabi Muhammad SAW serta para sahabat dan para ikutan(Imam, Ulama dan Fisabilillah) hanya layak menangisi kemurkaan Allah SWT terhadap manusia lebih-lebih lagi umat Islam. Apakah nasib manusia yang cacat, yang kurang upaya, yang kurang bernasib baik, yang kurang kacak dan cantik adalah kemurkaan Allah atau kerana ujian Allah yang mahu Umat Nabi Muhammad dipertingkatkan makamnya. Perlukah kita menangisinya? Diceritakan, seorang bapa menangis gembira kerana anak perempuannya tidak layak ataupun terkeluar dalam saingan Program Hiburan, bukannya menangis sedih.

Imam Muda memang harus, wajib dan wajar mempunyai perasaan termasuklah mengalirkan air mata apabila berlaku kematian, sungguhpun ada yang melarang kerana air mata memberatkan simati, namun, Imam Muda tetap seorang manusia. Seorang manusia yang akan menangis apabila melihat bumi Palestin di ceroboh, anak-anak kecil Palestin ditembusi peluru Yahudi, Gadis Afghanistan dirogol Tentera Amerika dihadapan ibu bapanya, Wanita Iraq diliwat dihadapan suaminya, tetapi, semua tangisan ini dilakukan pada malam hari, diatas tikar sembahyang, dan hanya berhadapan Allah SWT dan bukan berhadapan kaca TV yang ditonton seluruh umat manusia. Ingatlah, betapa manusia itu sedih menangisi kematian Rasullullah SAW, tetapi IMAM BESAR Saidina Abu Bakar tidak menangis dan meminta seluruh hadirin dan umat Islam supaya tidak menangis kerana kasih Allah lebih layak keatas Baginda. Baginda tidaklah mati, tetapi dipindahkan ke kehidupan yang kekal iaitu SYURGA. Namun, perlu difahami terutama oleh agama lain, Saidina Abu Bakar ialah seorang manusia sama seperti kita, dilahirkan Allah dengan perasaan sedih dan sakit walaupun beliau mampu menahan dipatuk ular berbisa semasa Nabi Muhammad SAW tidur di ribanya. Saidina Abu Bakar menangisi kematian Nabi Muhammad SAW setiap malam diatas tikar sembahyang disaksikan hanya Allah SWT. Itulah kualiti yang perlu ada pada seorang IMAM MUDA kerana mereka ialah contoh, ikutan, model, dan cahaya dihujung terowong.

Program ADIK ANGKAT pula perlulah ditukar pada Program Sahabat kerana Nabi Muhammad SAW tidak mempunyai adik beradik angkat. Tetapi Baginda mempunyai banyak Sahabat termasuklah yang jahat. Sehingga Baginda pernah memberitahu seorang Sahabat, mahukah kau melihat dikalangan sahabatku yang akan dimasukkan kedalam Neraka? Sahabat tersebut menangis ketakutan, sambil memberanikan diri mengangkat muka melihat wajah Nabi Muhammad kerana difikirkan dia adalah orang yang dimaksudkan Nabi, menyedari keadaan itu, Nabi menyambung, janganlah kau menangis sahabatku, sesungguhnya kau telah Allah janjikan akan Syurga kepadaku. Jelaslah tiada nas dan riwayat yang menceritakan Nabi Muhammad SAW mempunyai adik atau abang angkat melainkan semua adalah sahabat Baginda. Lebih-lebih lagi Imam Muda adalah program merintis semangat Islam dalam dunia moden serba mencabar. Adalah sepatutnya Program Angkat ini ditukar kepada Program Sahabat Masjid, Sahabat Islam, Sahabat Darjah, Sahabat 2G, Sahabat 3G, Sahabat Internet, Sahabat Facebook, Sahabat Cekal dan sebagainya. Semoga yang terlibat dapat mendalami jiwa, roh dan semangat SAHABAT disisi Islam yang dipraktikkan Rasulullah SAW dan para sahabat.

Imam Muda yang masih kekal dan telah terkeluar janganlah berasa tersinggung dan sedih, kerana seorang Imam yang tinggi darajatnya disisi Allah perlu menongkah arus perdana. Ingatlah, dari Sahabat Abdullah bin Amr bin Ash r.a :
“Telah bersabda Rasulullah SAW : ” Sungguh-sungguh akan datang atas umatku sebagaimana yang telah datang pada Bani Israil, sebagaimana sepasang sandal yang sama ukurannya, sehingga kalau dulunya pernah ada di kalangan Bani Israil orang yang menzinai ibunya terang-terangan niscaya akan ada diumatku ini yang melakukan demikian. Dan sesungguhnya Bani Israil telah terpecah menjadi 72 golongan dan umatku akan terpecah menjadi 73 golongan. Semua mereka bakal masuk neraka kecuali satu golongan yang selamat. Para shahabat bertanya: “Siapakah mereka yang selamat itu ya Rasulullah?” Rasulullah menjawab: ” yaitu golongan yang mengikuti Aku ada padanya pada hari ini dan yang mengikuti para Sahabatku.”
Sesungguhnya, satu dari 73 jalan tersebut pastilah bukan jalan yang mudah dan senang. Ia pastilah jalan yang dibenci Syaitan yakni jalan yang berliku, susah dan rumit. Semoga semua Imam Muda berada di landasan jalan yang betul, yakni JALAN SIRATUL MUSTAQIM.