Saya mengikuti penulisan Dr Asri sejak beliau mula-mula menulis di Utusan. Pada masa itu beliau merupakan Mufti Perlis dan Mufti termuda di Malaysia. Pemikiran Dr Asri pada masa itu tidak dapat diterima oleh ramai pihak terutama PAS. Antara artikel yang masih saya ingat ialah Dr Asri mengatakan tiada perintah jelas memakai tudung(tutup rambut) dalam Islam, kerana jelas beliau, perempuan Arab waktu itu memakai pakai tradisional yang tertutup di bahagian dada hadapan tetapi terbuka di bahagian belakang badan. Oleh itu perintah Allah adalah supaya tutup bahagian yang terbuka luas dibelakang badan dan memadai dengan hanya memakai selendang. Oleh kerana keberanian beliau menulis dan menongkah arus perdana, ramai orang terutama orang PAS mengecam beliau dengan pelbagai panggilan. Saya tidak berniat politik, tetapi anda semua maklum bagaimana radikalnya pandangan orang PAS terhadap wanita tidak bertudung.(Maafkan saya jika saya salah tetapi saya memang ingat dengan artikel beliau, dan Dr Asri bebas untuk membetulkan saya)
Saya minta pembaca bertenang kerana saya sendiri maklum ada perintah Allah supaya tutup aurat dan rambut adalah aurat. Namun, menariknya tentang Dr Asri ialah beliau mengajak umat Islam membuka fikiran. Tujuan asal beliau saya fikir adalah mengajak umat islam berfikir dari perspektif berlainan dan saya yakin beliau berjaya tonjolkan.
Oleh kerana usia beliau masih muda masa itu,(apakah faktor umur membezakan ilmu dan iman kita pada Allah) maka beliau selalu dikecam radikal dan ustaz muda yang gelojoh, yang melanggar semua orang-orang senior dalam kepimpinan mufti dan ulama di Malaysia. Sebagai orang Islam yang berpegang pada Rukun Iman dan Rukun Islam, saya secara peribadi, tidak nampak akan adanya golongan tua, muda, pangkat, mahupun darjat yang mebataskan ilmu dalam agama Allah ini.
Semua orang bebas berkata-kata. Saya sendiri tidak pernah meminati Dr Asri semenjak itu, tetapi saya hormati perjuangan beliau. Perjuangan yang mengajak umat Islam di Malaysia melihat Islam dari perspektif yang berlainan dengan satu niat iaitu niat untuk mencari kebesaran dan keagungan Allah. Kerana sejauh mana kita pergi, setinggi mana ilmu kita, sehebat mana pencarian dan penemuan kita, semuanya akan berakhir dengan kekaguman kepada kebesaran Allah justeru menguatkan keimanan kita pada Allah.
Saya juga memahami akan kekhuatiran tokoh-tokoh agama arus perdana akan kebinasaan yang mampu dicipta oleh ideologi Dr Asri. Keupayaan fahaman Wahabi meracuni kerangka pemikiran umat Islam di Malaysia yang rata-rata Ahli Sunnah Wal Jammah. Namun, bukankah Islam itu agama yang sesuai di semua zaman? Islam juga tidak terlepas dari apa yang diberi nama DUNIA TANPA SEMPADAN. Masih relevankah tauliah pada pendakwah sedangkan kita di Malaysia bisa mendengar dan membaca dakwah ulama dari Indonesia, Syiah dari Iran, Sekular dari Turki dll? Jika menangkap, memenjarakan malah menghalau Dr Asri keluar dari Malaysia, apakah kita boleh menahan dakwah beliau dan golongan beliau dari Internet.
Sejak zaman akhbar wujud, golongan arus perdana iaitu Ahli Sunnah Wal Jamaah(ASWJ) bekerja keras memastikan umat Islam di Malaysia tidak berpecah kepada aliran, fahaman, tarikat, ajaran sesat, dll. Samada niat mereka mahu mengekalkan kuasa dan periuk nasi ataupun untuk mengelakkan kekeliruan umat Islam di Malaysia, hanya Allah sahaja yang tahu. Pada pendapat saya, niat mereka adalah untuk mengawal pemikiran orang Islam bagi tujuan untuk mengelakkan umat Islam dari sesat dan berpecah. KAWAL!! Itulah kata kunci bagi ASWJ di Malaysia.
Sejak dahulu, semua aktiviti dan pergerakan agama bukan dari arus perdana senantiasa dipantau. Tujuan murni ini dilakukan bagi mengelakkan lahirnya Al-Arqam, Ayah Pin, Rasul Melayu, Al-Maunah, JI Malaysia dll. Sesat atau tidak mereka ini hanya Allah sahaja yang berhak mengadilinya. Namun, pengaruh(pemikiran dan ruhani) mereka yang amat besar terhadap pengikut wajar dikhuatiri(sehingga taksub dan takjub). Islam adalah kesederhanaan. Samada pengamal dan pengawal, dua-dua perlu sederhana, Jangan terlalu mengawal sehingga input ilmiah pada umat Islam ditapis. Ingatlah, kita berusaha semampu kita dan akhir sekali kita wajib menyerahkan untung nasib setiap perkara pada Allah Yang Maha Bijaksana. Orang Islam yang berjumlah lebih 2 billion semua sudah celik IT dan sesiapun tidak mampu mengawal umat Islam apatah lagi di Malaysia dari melawati web-web yang bukan dari aliran ASWJ.
Tinggalkan perbezaan, tingkatkan mutu agama Islam. Tidak kira anda dari pihak mana, dari fahaman mana, berkerjasama dan bergandingan memerangi ancaman dari luar. Sedarlah, ancaman dari luar Islam sekarang maha dahsyat dari ancaman dari dalam yang hanya kecil. Agama-agama lain sudah berabad menggunakan Internet untuk berdakwah dan menyesatkan umat Islam, malangnya kita bukan sahaja belum bermula, malah kita belum berakhir bertelagah. Lebih teruk lagi ramai pendakwah bebas agama bukan Islam kerap mencabar dan berdebat dalam internet bagi menunjukkan agama mereka agama yang benar,. Dari pihak Islam yang mahu menjawab di Internet mengenai Islam, kita masih lagi khuatir ditangkap oleh Jabatan Agama Islam.
Jadikan Islam agama yang dihormati, dikagumi dan ditauladani melalui internet. Sekat dan kawal adalah terma lama yang perlu disisihkan di internet. Pemantauan adalah perlu, dan sekat dan kawal apabila ia sudah menjadi satu organisasi. Dr Asri bukan organisasi. Beliau hanya hamba Allah seperti saya yang bebas mengatakan pemikiran di dunia yang bebas tanpa sempadan ini. Di kesempatan ini, saya ingin menyeru golongan agama yang rancak bertelagah, untuk bergandingan mewujudkan satu undang-undang Islam alam cyber. Wassalam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment