ALLANA HIJAB

ALLANA HIJAB
Whatsapp 012-6144924 NOW For Guaranteed Special Free Gift

Thursday, November 19, 2009

APABILA NALURI SEORANG MANUSIA DISEKAT DAN DIKAWAL

APABILA NALURI SEORANG MANUSIA DISEKAT DAN DIKAWAL

Seorang Doktor mahukan anaknya menjadi Doktor. Begitu juga dengan Peguam, Akauntan, Engineer dan lain-lain. Tidak ketinggalan seorang ulama juga mahu anaknya menjadi ulama juga. Atau sekurang-kurangnya kita tidak mahu anak menjadi lebih jahat dari kita tapi mahu anak menjadi lebih baik dari kita. Namun, naluri manusia telah lahir bersama fitrahnya dan ketentuan Allah jua akan terjadi. Yang mampu kita lakukan ialah bekalkan mereka dengan ilmu supaya mereka berupaya menilai baik dan buruk. Disini datangnya peranan psikologi dan motivasi, dan disini datangnya kepentingan menambah ilmu melalui pembacaan. Sejarah merekodkan Bangsa Melayu berusia tidak lebih 500 tahun. Ini bermakna Melayu hanya mempunyai 10 generasi berbanding bangsa Eropah yang sudah mempunyai beratus-ratus generasi.

Persoalannya, adakah kita mampu mengawal naluri seorang manusia, terus menyekatnya dari sifatnya yang sebenar? Jika kita fikir kita mampu, apakah kita akan hidup selama-lamanya untuk memastikan sipolan dan golongan tertentu akan senantiasa selamat dengan mengawal naluri dan diri mereka yang sebenar? Bolehkah kita jamin mereka akan terus kekal seperti yang kita mahukan?

Inilah manusia! Lemah! Lupa! Alpa! Bongkak dan sombong! Sering terlupa akan Kudrat dan Iradat Allah SWT. Sering fikir akan kejayaan, kekayaan, kemajuan dan pencapaian adalah hasil usaha manusia itu sendiri. Tidakkah manusia itu sedar yang kita hanya berusaha, dan yang berkuasa menjadikan atau tidak menjadikan setiap satu kejadian itu adalah Allah SWT.

Oleh itu, saya ingin menarik perhatian saudara Islam saya supaya menggelakkan sifat sedemikian dan seumpamanya apatah lagi mendahului Allah SWT. Elakkan mengawal dan menyekat naluri manusia, tetapi biarlah mereka lepas dan bebas menjadi diri yang mereka pilih dengan disertai dengan bimbingan dan ajaran. Dengan diulit dan disaluti dengan didikan agama dan keimanan. Akhirya, mereka akan mampu membuat pertimbangan yang baik. PERTIMBANGAN yang baik hanya boleh dicapai dengan ilmu yang dibekalkan dari kecil dan bebas dipraktikkan secara praktikal selagi tidak melanggar hukum Allah.

Dalam artikel ini, saya ingin mengajak Saudara melihat akan kesan negatif dari perbuatan menyekat dan mengawal naluri manusia sehingga manusia gagal membuat pertimbangan. Sebelum itu, tanamlah dalam fikiran, setiap sesuatu itu(selain dari Allah) pasti ada keburukan dan kebaikan. Setiap satu yang baik itu pasti ada buruknya begitu juga setiap satu yang buruk itu pasti ada yang baiknya.

Tahun 2009 adalah tahun gemilang bagi bolasepak Kelantan. Layak bagi dua final berprestij di Malaysia. Walaupun kalah, pencapaian itu amat menakjubkan dan tidak pernah dicipta oleh mana-mana pasukan. Tidak pernah layak ke final, tetapi dalam satu tahun layak ke dua final. Malangnya, kekalahan di dua final tersebut tidak dapat diterima dengan baik oleh orang Kelantan sehingga bertindak ganas membelasah sehingga lunyai penyokong Negeri Sembilan dan harta benda Stadium yang tidak bersalah(malah berjasa). Lebih malang lagi apabila orang Kelantan tidak menerima kesalahan yang mereka buat tetapi sebaliknya menyalahkan FAM, menyalahkan Tan Sri Annuar Musa, menyalahkan bola itu bulat dan jika boleh mereka menyalahkan takdir Allah SWT yang mahukan Kelantan kalah barulah mereka bertindak seperti itu. Terlebih-lebih malang apabila mereka gagal dan terus gagal dalam membuat pertimbangan dan hati mereka tertutup rapat untuk menerima kelemahan diri dan justeru gagallah usaha-usaha Malaikat untuk membisikkan semboyan perubahan.

Mengapakah sampai begitu sekali? Bukankah Kelantan yang mengangkat diri sendiri Serambi Mekah dan Kota Bharu Bandar Islam perlu ada penduduk yang sejajar dengan “gelaran sendiri” tersebut. Pada pendapat saya yang cetek ini, ini terjadi kerana Kerajaan Kelantan cuba mengawal dan menyekat naluri jiwa rakyat Kelantan. Mereka mengharamkan Pusat Hiburan, mereka tidak membenarkan Pusat Snooker, tiada Panggung Wayang, tiada aktiviti bersilang kekeluargaan secara terbuka, tiada Konsert dan Hiburan yang dibenarkan selain Nasyid, mereka tidak membenarkan arak “dijual”, mereka pinggirkan orang yang tidak menutup aurat, mereka kenalkan “perintah berkurung” selepas jam 8.00 malam dan banyak lagi. Bukanlah larangan yang menjadi masalah, tetapi tiada pengisian kepada jiwa yang kosong itulah masalah utama. Lalu jadilah mereka Negeri Islam kerana rakyat mereka patuh kepada ajaran Islam. Namun, kepatuhan rakyat mereka kepada Islam hanya bertahan di dalam Kelantan sahaja. Di luar Kelantan, rakyat Kelantan melakukan maksiat yang tidak dapat mereka lakukan di Kelantan. Kerana itulah naluri mereka, mengawal naluri manusia dengan mengharamkan bukanlah mengawal, tetapi ia lebih kepada syok sendiri sahaja. Akibatnya, naluri itu tidak dididik tapi dikawal. Apabila kawalan atau orang yang mengawal tiada disisi maka ia mungkin lebih teruk dari binatang sendiri.
Islam tidak memaksa dan mengawal umatnya, tetapi Islam mengisi jiwa yang kosong itu, Islam meresapi jiwa dan sifat manusia sehingga menjadi semulia Nabi Muhammad SAW, sejujur Abu Bakar, setegas Umar, selembut Uthman dan segagah Ali. Janganlah mendabik dada mengatakan kita baik dan beriman selagi kita belum di uji oleh Allah. Jangan cepat puas hati kerana kebaikan kita mungkin hanya disebabkan kita dikawal oleh undang-undang, Ibu Bapa, Sekolah, Pengetua, Cikgu, Pengawas, Isteri, peraturan pejabat dan masyarakat. Yang sepatutnya, kebaikan diri manusia itu seharusnya lahir dari hati nurani yang terdidik oleh kebenaran. Dan persempadanan antara baik dan buruk, benar dan batil hanya boleh dilakukan oleh jiwa yang bebas. Jiwa yang jika mahu bebas ke Disko, Panggung Wayang, Konsert Hiburan, Snooker, atau sekurangnya yang menonton rancangan Hiburan dan Program Lagu yang menghiburkan jiwa, filem yang memberi tauladan, program sukan yang mengisi tuntutan semangat, asimilasi budaya, seni dan pelbagai lagi. Kerana perbandingan hanya dapat dilakukan jika ia melibatkan lebih dari 2 benda, maka perbandingan memberi kita pilihan untuk memilih yang lebih baik dan yang kurang buruk. Maka, renung-renungkan diri sendiri, adakah kita hari ini kerana hati nurani kita atau kerana kita tertakluk, kita takut dan kita dikawal. Kerana, dikhuatiri apabila yang mengawal kita sudah tiada, atau tiada disisi maka kita hilang pertimbangan seperti apa yang terjadi pada penyokong pasukan Kelantan.

Saya bukan orang Kelantan tetapi saya orang Islam yang lahir di Selangor. Saya tidak pernah faham dan tidak akan sokong sempadan dalam Islam. Jadi saya mengutuk prejudis kenegaraan, warna kulit, bangsa apatah lagi kononnya semangat kenegeriaan(di Malaysia Kelantan, Kedah, Perak, Sabah kuat kenegerian) kerana saya adalah orang Islam dan didalam Islam kita semua adalah sama umat Muhammad Hamba Allah. Hari ini, Amerika memperjuangkan dunia tanpa sempadan dimana orang yang menetap dan bekerja di Amerika tetapi bukan lahir di Amerika mendapat hak sama rata dengan penduduk yang lahir di Amerika, malah boleh menjadi Presiden dan Senator. Amerika yang beragama Krisitian percaya Tuhan Jesus mereka tidak menjadikan dunia ini dengan sempadan. Sepatutnya, orang Islam yang patut perjuangkan Islam tanpa sempadan kerana Islam agama yang benar. Justeru, tidak timbul kenegerian Selangor, Johor, Kelantan, Kedah, Perak, Sabah dan sebagainya, tidak wujud kenegaraan Indon, Bangla, Pakistan, Myanmar dan sebagainya, tidak wujud miskin dan kaya, tidak wujud VIP dan rakyat, tidak timbul PAS atau UMNO, yang WUJUD hanyalah ISLAM. Semua orang Islam sama sahaja, Allah yang sama, Nabi yang sama, kiblat yang sama, Rukun Iman yang sama, Rukun Islam yang sama, Al-Quran dan bahasanya yang sama, dan yang berbeza yang hanyalah warna kulit sahaja.

Oleh itu, marilah kita mengisi jiwa kita yang kosong ini dengan solat, zikir dan pembacaan Al-Quran kerana ia adalah nikmat dan rahmat Allah untuk manusia. Seni, hiburan, lagu dan sukan juga adalah nikmat Allah kepada kita. Jiwa yang kosong perlu pengisian yang seimbang dan seiring dengan peredaran zaman. Kita semua hidup mencari kesempurnaan yang mana kematian ialah salah satu dari proses akhir kesempurnaan yang dicari oleh Hamba Allah.

Janganlah kita mengawal hati nurani kita dengan paksa, tetapi biarlah ia berkembang dengan bebas dan didiklah ia dengan ajaran Rasulullah SAW dan semoga kita mendapat keredhaan Allah SWT. Jika kita fikir kita tidak perlu pada hiburan dunia kerana kita berpurdah dan berserban, fikirlah, bukan semua orang dianugerahkan Allah jiwa mencintai Islam seperti kita. Ada yang mahu mencintai Islam tetapi Islam terlalu menegah sehingga menonton SureHeboh pun haram lalu mereka pendamkan jiwa yang kosong dan berpura-pura tidak mengapa, tetapi bila ada peluang, hati nurani mereka terus buka dan hadiri SureHeboh. Cara konservatif Islam mengawal seperti ini perlulah diberi perhatian. Banyakkan pengisian jiwa umat bukan mengawal jiwa umat.

Sekian. Terima Kasih dan saya mohon maaf jika ada mengguris mana-mana pihak. Sesungguhnya semoga Allah berkati kita.

No comments: