Jumaat yang lepas bakal menjadi sejarah. Sekumpulan orang Islam bertindak membawa kepala lembu untuk dipersembahkan kepada kerajaan Negeri Selangor sebagai tanda protes pembinaan kuil Hindu dikawasan rumah mereka. Kenapa kepala lembu dipilih tidak jelas kerana kebiasaannya orang protes membawa sepanduk, kain rentang dan jika ada lagak ugutan biasanya dalam bentuk simbol seperti Keranda, replika, atau paling teruk membawa ayam yang sudah disembelih. Yang jelas, ada tangan ghaib yang cuba menangguk di air yang keruh kerana lembu adalah satu Tuhan untuk masyarakat India. Mereka ini mahukan kekacauan dan peperangan kerana mereka bermanfaat dari kesengsaraan orang lain.
Dalam masa yang sama, kebebalan pemimpin lalu yang membiarkan Hindu Right Action Force ataupun HINDRAF bermaharajalela dengan menuduh masyarakat Melayu Islam melakukan “ethnic cleansing” terhadap kaum India-Hindu tidak diambil sebarang tindakan. Berbeza dengan Al-Arqam, Al-Maunah, Peristiwa Memali, JI Malaysia dan lain-lain yang melibatkan Melayu, kaum India melalui HINDRAF dibiarkan bertaring malah diiktiraf oleh akhbar sebagai pertubuhan sah walhasil ia telah diwartakan haram. Kelemahan pemimpin lepas mengawal anasir ini mengakibatkan sentimen anti kaum atau perkauman mula menular kembali.
Sebagai tindakbalas kerana sempadan sensitiviti kaum mula dilanggar oleh HINDRAF, kini, sekumpulan 50 orang Melayu membalas dengan jauh melangkau sensitiviti agama rasmi orang India iaitu Hindu. Tidak dapat dipastikan samada 50 orang ini benar-benar tidak tahu lembu adalah salah satu Tuhan kaum India, ataupun mereka berniat jahat untuk memulakan provokasi yang boleh membawa kepada pertumpahan darah. Inilah akibatnya apabila pemimpin DUN/Parlimen kawasan terbabit tidak bertanggungjawab dan hanya mahu melepaskan diri sendiri. Rakyat yang hilang punca serta tiada temapt mengadu bertindak luar batasan. Sungguhpun, ini bukanlah waktu untuk menyalahkan sesiapa, namun tindakan pantas adalah amat perlu walaupun sememangnya sensitiviti orang Islam banyak dicabar dan disentuh teruatama dalam blog-blog.
Islam mengajar buat baik dibalas baik tetapi tidak mengajar jahat dibalas dengan jahat. Sungguhpun Tuan Guru Nik Aziz mengatakan jika kita dihina kita berdiam diri maka itu adalah menghina diri sendiri bukan merendah diri, dan kita perlu hina balik orang yang menghina kita. Tetapi ajaran Allah adalah yang terbaik tidak seperti yang dikatakan Tuan Guru Nik Aziz. Lihat sahaja keperibadian Nabi Muhammad SAW yang pernah diludah oleh sahabatnya, yang dibaling dengan kekotoran dan dimaki oleh penduduk Taif. Nabi Muhammad SAW mendoakan orang yang menghina beliau dan tidak pernah menghina kembali. Oleh itu, jika perbuatan membawa kepala lembu sebagai simbol “dihalalkan” kerana Islam dihina dulu, maka, kita orang Islam berjaya membuktikan pada mereka yang kita tidak berbeza dengan mereka.
Siapa pun akan sakit hati dan marah apabila Agama dan Tuhan masing-masing dihina. Oleh itu, wajar dijadikan pengajaran supaya kita semua rakyat Malaysia berwaspada dalam mengucap kata, menulis rasa, dan melakar laku supaya kita terus menghormati hak dan kebebasan beragama rakyat Malaysia. Sesungguhnya kebebasan beragama termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.
Kita semua rasa kita waras dan rasional, tetapi, apakah semua orang seperti kita? Jika semua mahu mengikut kata hati, maka binasalah Negara, persis Negara jiran yang sanggup berperang hanya kerana sebuah tarian dimainkan! Semua ini membawa kepada persoalan apakah kita rumpun Melayu, dan kesemua rakyat Malaysia sudah mencapai peradaban manusia yang tinggi? Justeru, wajarkah ISA dimansuhkan apabila masih ada manusia yang sanggup menghina Tuhan manusia lain? Seramai 20,000 manusia yang 19,000 terdiri dari Melayu berdiri bersama Unit Amal PAS untuk menuntut ISA dimansuhkan walhasil tiada siapa pun dalam tahanan ISA yang ditahan secara suka-suka, KECUALI jika mereka membawa pendekatakan melampau termasuk membawa kepala lembu sebagai tanda protes kuil Hindu dibina, KECUALI, jika mereka menuduh orang Melayu melakukan “ethnic cleansing”, KECUALI, jika mereka membawa sentimen pengganas dengan membenci orang yang tidak sehaluan dengan mereka sehingga sanggup meletupkan diri, KECUALI, jika mereka membakar dan memijak Al-Quran, KECUALI jika mereka mengebom masjid, tokong, kuil dan berhala, dan apakah kita mahu tunggu mereka yang bernaluri seperti ini melakukannya baharu kita ambil tindakan. Sudah pasti, akan wujudlah pergerakan seperti HINDRAF, Al-Maunah dan JI Malaysia yang mahu menguatkuasakan undang-undang bagi mencapai cita-cita peribadi mereka mengikut ideologi dan kepercayaan masing-masing.
Segelintir daripada kita dibesarkan dibandar terutama Kuala Lumpur. Di ibukota ini, kita hidup bertoleransi, bersahabat, bercinta, bersaudara tanpa ada batasan warna kulit dan kepercayaan. Kita bersesak dan bertemu punggung setiap hari bukan sahaja dengan rakyat Malaysia berlainan kaum tetapi juga dengan bukan rakyat Malaysia. Dalam pekerjaan dan ekonomi, kita bagai aur dan tebing, saling memerlukan, saling menghormati dan saling mempercayai. Kita menghargai setiap saat kebahagiaan dan keamanan yang kita kecapi hasil usaha Raja dan pemimpin lama dari kaum Melayu, India, Cina, Sikh, Bajau, Kadazan, Iban, dan lain lain. Apakah benar kita mahu merisikokan semua ini dengan memansuhkan ISA sedangkan di luar Bandar sana, masih ada orang yang begitu perkauman. Begitu benci pada Cina, Melayu, India, Sikh dan lain-lain! Begitu dendam dan jijik melihat berhala! Begitu ingin melihat berhala, kuil, tokong dan masjid hancur dibom! Begitu benci akan jurang sosio-ekonomi yang begitu ketara antara kaum. Fikirkan, sosio-ekonomi di Kuala Lumpur memang agak seimbang tetapi jelas di luar Bandar hanya kaum tertentu sahaja yang mengecapi kesenangan. Fikirkan, kesan jurang sosio-ekonomi yang dalam pada Indonesia pada 1998. Apakah ISA benar-benar tidak diperlukan?
Dewasa ini, kita melihat perubahan drastik dalam dasar perjuangan dan penerimaan parti yang memperjuangkan Islam. Kekuatan mereka sebagai pembangkang menjadi “check and balance” kepada kerajaan dengan berkesan. Kerajaan kini sudah sedar yang zaman “government know the best” sudah berlalu apabila rakyat memberi kekuatan kepada pembangkang. Dalam kealpaan ini, dalam kita dibandar semua seronok berkongsi raya, kita semua leka dan terlupa, kerana kita menyangkakan parti Islam yang agak radikal sebelum ini sudah mula dimodenkan oleh golongan Profesional dikalangan mereka. Rupa-rupanya, masih ramai diantara kita yang masih belum boleh menerima dengan baik konsep masyarakat berbilang kaum dan agama, kebebasan beragama, meritrokasi, sistem kuota, DEB, Hak dan Status Bumiputera, Bahasa Melayu, Sekolah Jenis Cina dan Tamil, Persekutuan Malaysia bukan Tanah Melayu, dan mereka ini juga masih gagal menghormati hak semua rakyat Malaysia. Jelas, masih ramai antara kita tidak benar-benar menghayati lagu Negaraku dan Rukun Negara. Jika mereka ini bukan dari BN mahupun PR, mungkinkah mereka ini dari pertubuhan haram baru yang memperjuangkan ideologi melampau sehingga sanggup menumpahkan darah di bumi Malaysia yang bertuah ini.
Apakah benar-benar ISA tidak diperlukan? Apakah undang-undang sedia ada tanpa ISA dapat menghalang dari pertumpahan darah dan dendam berpanjangan? Mampukah Negara Moden dan kuat seperti Amerika menggunakan Akta Patriot yang mirip ISA bagi mencegah peristiwa 9/11 dari berulang? Jika terjadi sekali lagi kejadian melintasi batasan sensitiviti agama Islam, Hindu, Buddha dan Kristian, mampukah kita masyarakat berbilang kaum yang duduk berjiran, yang bekerja bersama, yang makan semeja, yang menuntu bersama, mengawal diri dan emosi. Mampukah undang-undang sedia ada mengawal keadaan sedangkan kes boleh berjalan sehingga berpuluh tahun tanpa tindakan keatas si pengacau, malah, si pengacau mungkin dibebaskan tanpa dihukum jika kekurangan bukti sahih.
Sediakah kita untuk kehilangan satu hubungan yang amat istimewa sesama kita tanpa mengira kaum dan agama hasil dari penguatkuasaan undang-undang yang amat berkesan. Mungkin, hanya mungkin memang benar ada yang teraniaya bagi menjamin keutuhan keseluruhan perpaduan ini, tetapi perlukah sampai dihancurkan pula perpaduan ini hanya untuk memuaskan hati 50 orang ini?
Pada pendapat saya, ISA masih relevan. Kerana sebagai orang Bandar yang belajar dan bekerja dibandar, sebagai anak kacukan Melayu Cina, saya amat sayangkan sahabat dan saudara saya tidak kira samada Melayu, Cina, India, dan Singh. Saya amat menghargai mereka semua dan tidak mahu kehilangan seorang pun dari mereka. Dan, pada pendapat saya, hubungan antara kaum di Malaysia umpama KLCC. Tinggi, merbahaya dan berisiko apabila ditimpa bencana, tetapi jika tanah, struktur, bangunan, sistem, dan semua bekerjasama, saling menghormati tanpa mengira siapa diatas siapa dibawah maka kita mampu mencapai awan. Oleh itu, bagi memastikan keutuhan KLCC, jika ada ISA untuk bencana alam, saya akan gunakan ISA untuk menahan bencana alam, apatah pula dengan bencana manusia. Ia benar-benar bukan sesuatu yang saya dan anda semua mahu risikokan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment