ALLANA HIJAB

ALLANA HIJAB
Whatsapp 012-6144924 NOW For Guaranteed Special Free Gift

Friday, January 28, 2011

MUALAF BERKONGSI MAKSUD CHUA SOI LEK

Kenyataan Chua Soi Lek mengenai Negara Islam samada berpunca dari permainan politik atau kedangkalan beliau mengenai Islam. Masalah seperti ini pada PAS adalah “besar” dibandingkan dengan “masalah kecil” iaitu memfitnah kematian orang Islam di Tenang. Paling teruk, kenyataan ini keluar dari mulut Presiden MCA. Jika ahli DAP membaca petikan ayat Al-Quran, menjatuhkan hukum dosa dan gelar kafir kepada Orang Islam , jika ahli PKR pula mentafsir sendiri makna Al-Quran, memberi salam kepada orang Islam, masuk ke Masjid dengan menampakkan bentuk kemaluan, menggunakan nama ALLAH, dan bermacam lagi, semua ini tidak salah disisi Islam menurut PAS.

Alasan PAS mudah, kerana DAP dan PKR adalah sekutu mereka dan apa sahaja tindakan menghina Islam harus diberi pujian kerana mereka ahli DAP dan PKR mahu “mendalami” Islam. Kononnya, mereka mahu mendekati Islam, dan jika ada kenyataan dari mereka yang mencemar Islam, PAS akan berkata, ahli PKR dan DAP sudah mula menerima Islam. Walhasil, si ayam jantan berkokok langkah mayat saya sebelum tubuh Negara Islam, yang tahi bergelimang di ekor pun tumpang berkokok langkah mayat aku dulu sebelum sentuh si ayam. Bagaimana hina sekalipun perlakuan ahli DAP dan PKR pada Islam, dihalalkan oleh PAS, tetapi bila Chua Soi Lek mengecam Negara Islam acuan PAS, UMNO pula yang dicerca dan dikafirkan untuk beribu kalinya.

Ibu saya adalah mangsa kepada Islam PAS. Ikutilah ceritanya, namun beliau sedikitpun tidak menyimpan dendam pada sesiapa.


Sebagai seorang Mualaf atau Saudara Baru yang lama, saya memahami kekeliruan orang Cina pada Islam. Semua ini di sebabkan oleh PAS yang mewarisi fahaman Islam ekstrem dari golongan sempit pemikiran satu masa dahulu. Keengganan Parti Perikatan untuk memenuhi tuntutan Golongan Ekstrem ini dimanfaatkan oleh PAS dengan menggunakan tuntutan ekstrem ini sebagai wadah perjuangan.

Antaranya memaksa UMNO yakni tunjang Kerajaan Perikatan kemudiannya Barisan Nasional untuk membatalkan kerjasama dengan MCA dan MIC, membantah bantuan kepada Cina dan India, menghalau Cina dan India dari “Tanah Melayu”, menutup dan merampas semua kedai milik Cina, mengeluarkan amaran berdosa jika undi Calon Bukan Islam, mewujudkan kebencian orang Melayu Islam pada Cina dan India dan sebagainya.

Tindak tanduk PAS ini jelas menunjukkan kebencian mereka kepada orang bukan Islam terutama Cina. Dipercayai ia mempunyai kaitan dengan Komunis yang masih aktif dan dipelopori oleh Cina. Namun, kebijaksanaan Perdana Menteri ketika itu bukan sahaja berjaya membunuh dakyah PAS, menghapuskan Komunis, malah berjaya mengintegrasikan semua kaum. Pujian harus diberikan kepada orang Melayu Islam yang sudah banyak berkorban untuk memberi tempat pada orang Cina dan India, tetapi, modal Syurga-Neraka PAS masih kuat mencengkaman jiwa orang Islam sehingga timbul masalah pada bukan sahaja pada bukan Islam, tetapi pada Saudara Baru juga.

Islam pada ketika itu sudah teruk dimanipulasi mengikut citarasa PAS. Semasa itu semua berkaitan dengan kafir adalah haram tidak seperti kini. Kini, PAS memperoleh laba besar hasil “kerjasama dengan Syaitan”(petikan Kenyataan Pemimpin PAS), oleh itu yang dahulunya haram kini sudah halal. Sentimen orang Melayu dibakar oleh PAS menggunakan modal Islam dan Kafir. Rentetan itu, saya sebagai Saudara Baru menghadapi banyak masalah, saya pernah diusir dari rumah sewa, jiran memeriksa dapur dan lauk jika saya ada memasak babi, cawan dan pinggan saya gunakan disamak selepas saya pulang, saudara tidak membuka pintu semasa Hari Raya, dicerca, dikeji dan dihina dikhalayak ramai kerana saya tidak bertudung, dimarahi dan diherdik kerana menggunakan “chopstick”, AJK “Surau” tertinjau-tinjau di luar rumah lagak “James Bond” dan pelbagai lagi. Anak-anak saya juga tidak ketinggalan mendapat layanan buruk oleh Saudara dan Masyarakat kerana mereka adalah anak “Cina”.

Dari suri rumah masalah ini melarat sehingga ketika saya berniaga, saya diekori ke Pasar untuk mengetahui saya membeli ayam dan daging dari siapa, mee yang saya masak dibelek-belek hadapan saya untuk memeriksa ada babi atau tidak, Mee Kari saya dituduh menggunakan minyak babi, Serbuk Teh dan Kopi saya diperiksa dan pernah juga tidak dijamah, dan pelbagai lagi. Pendek kata, tidur saya tidak pernah lena dalam Masyarakat Islam ketika itu.

Semua ini adalah reaksi dan perilaku orang Islam ketika itu seiring dengan dakyah PAS untuk menghancurkan Kafir yang memenuhi akhbar, dan corong-corong ceramah di Surau dan Masjid.

Hari ini PAS sudah insaf. Perubahan dari langit ke dasar bumi PAS ini jelas dapat dilihat dan ia satu perkembangan positif. PAS sudah boleh bekerjsama dengan Bukan Islam, malah berpeluk dan berkongsi tangisan. Orang Melayu lebih terbuka dan bebas menggunakan “chopstick”. Cerita hidup saya hanya perkara kecil jika dibandingkan dengan imej Islam yang telah teruk dicalar oleh PAS dimata orang Cina. Orang Cina tidak dapat menerima Negara Islam kerana Islam yang ditonjolkan oleh PAS sejak penubuhannya sehingga kira-kira 20 tahun dahulu.

PAS tidak boleh menyalahkan orang Cina dan India jika mereka tidak mahu menerima Negara Islam, kerana mereka sebenarnya keliru dengan Negara Islam PAS. Islam PAS memang ekstrem pada kebanyakan Cina berusia 40tahun keatas.

Sebagai orang yang pernah menganut agama Cina iaitu Buddha, saya pasti orang Cina Buddha memandang rendah pada Islam. Ia terjadi kerana pada pemikiran mereka segala perlakuan PAS merupakan ajaran Islam. PAS menggelumang Islam dengan Politik. Buruk politik, buruklah Islam.

Apakah kita lupa pada komitment dan janji PAS untuk menutup Kilang Arak, Genting, Kelab Malam, memendekkan operasi larut malam, hudud, dan sebagainya. Memanglah Cina menarik nafas lega kerana PAS tidak melakukannya selepas berkuasa di Selangor, tetapi pada kacamata mereka, Islam adalah agama yang membenarkan mungkir janji. Prinsip orang Cina, orang memungkiri janji tidak boleh dipercayai. Adakah Islam yang tidak boleh dipercayai atau PAS?

Orang Cina tidak bodoh, jika PAS boleh menipu orang Islam dan mungkir janji, lebih dari itu PAS boleh buat pada orang Cina.

Monday, January 17, 2011

PERKENALKAN MODUL PENGURUSAN MASA DALAM KURSUS PEMANDUAN

Memandu kenderaan di Lembah Klang umpama sedang berada di Medan Perang. Berbahaya dan penuh dengan ancaman yang mengancam keselamatan diri. Bukanlah satu perkara luar biasa bagi warga kota, tetapi jika diubah, banyak nyawa dapat diselamatkan. Ini kerana sikap pemandu kota ini telah menjadi tabiat pemanduan semua Pemandu Malaysia.
Impak 3minit maksima dan 30 saat minima yang dapat Pemandu jimatkan jika mencuba selaju mungkin di Lembah Klang. Dengan masa kurang dari 5 minit itu, mereka merisikokan nyawa orang lain sehingga apabila ia terjadi, mereka mengakibatkan orang lain kehilangan nyawa, kehilangan orang tersayang, kehilangan tempat bergantung harap, mengalami kerugian dan kerosakan serta gangguan emosi.

Melalui pengalaman memandu berjuta kilometer, dapat disimpulkan majoriti Pemandu Malaysia tidak tahu menguruskan masa. Masalah pengurusan masa ini amat jelas kelihatan semasa kita mahu keluar dari simpang, pemandu kereta dari arah lurus akan memecut kereta seolah-olah mahu melanggar kita dan jika kita tidak jadi keluar, kereta tersebut serta merta memperlahankan kenderaan kerana matlamatnya tercapai. Begitu juga sering kita melihat pemandu yang keluar dari simpang seolah-olah mahu buang air, tetapi apabila sudah keluar dan berada di jalan lurus, kereta ini dipandu dengan amat perlahan.

Beberapa kemalangan juga disebabkan oleh Pemandu Malaysia yang mahu menjimatkan 3 minit dimana jika mereka terlepas simpang mereka akan berhenti dan undurkan kereka mereka. Malah ada yang baru tersedar dikiri mereka ketika ini adalah simpang mereka, mereka terus masuk mendadak. Semua ini dilakukan kerana mahu cepat. Cepat untuk apa? Sakit perut, cirit birit, temujanji, tengok wayang, bini marah dan apa yang mereka kejar agaknya? Sebenarnya, kebanyakan kita tidak mengejar apa-apa dan kita sering sampai ke destinasi dengan selamat dan jika kita sampai selepas 5 minit tersebut orang lain akan sampai dengan selamat.

Kelemahan pengurusan masa ini amat ketara. Berapa ramai antara pemandu yang sebelum menghidupkan kenderaan akan merancang jalan yang mahu digunakan, jalan alternatif jika sesak, jarak pemanduan dan akhir sekali sasaran masa sampai ke destinasi. Setiap hari pemandu ini melakukan rutin yang sama iaitu jalan yang sama, beberapa perhentian yang sama, masa sampai yang sama dan sebagainya dan mereka sepatunya boleh mengetahui baik dan buruk dan boleh perbaiki masa mereka perlukan untuk sampai kedestinasi dengan sempurna. Ramai yang sampai pejabat awal, kemudian tidak tahu mahu buat apa, akhirnya diri sendiri yang rugi.

Jika semua ini dirancang dengan baik kita akan melihat Pemandu mampu memandu mengikut keperluan masa masing-masing justeru menjadikan Jalan di Malaysia lebih selamat digunakan.

Begitu juga apabila pulang ke kampung, sering kita melihat kereta yang dipandu laju di Lebuh Raya, mengekori rapat kereta hadapan, memotong lorong kiri, di Jalan Negeri pula mereka memotong lori dan garisan kembar dan macam-macam aksi laju yang membahayakan, tapi selepas 10 minit kita jumpa mereka di Jalan yang sama dengan dipandu perlahan sambil bercakap melalui telefon, di R&R, di Stesyen Minyak dan “Masjid”. Apa yang dikejar, tiada apa hanya keseronokan diri, syok sendiri dan kesusahan orang lain.

Tabiat ini boleh diubah dan hasilnya boleh dilihat pada para “beginner” sahaja. Pada yang sudah lama memandu dan tegar laju pula, perubahan hanya dapat dilihat selepas mereka kehilangan orang yang tersayang, atau nyawa sendiri.

Langkah JPJ untuk perkenalkan modul pengurusan masa bagi mendidik pemandu baru dipercayai dapat meningkatkan keupayaan pemandu bukan sahaja untuk mengurus masa, tetapi kereta, diri dan keluarga.

Akhir sekali, saya setuju jika “mereka” menjawab laju bukan punca kemalangan, tetapi laju tidak terancang biasanya membawa padah yang buruk terutama pada orang lain.

Saturday, January 15, 2011

BENARKAH AHLI PAS PEJUANG ISLAM?

PAS menegaskan mereka memperjuangkan Islam. Ideologi mereka ini berjaya menarik ramai orang Islam untuk berasa diri telah menyahut seruan Allah untuk berjihad menegakkan Negara Islam, Hudud, mencegah maksiat, arak, zina, judi, hiburan, rasuah, salah guna kuasa, dan sebagainya. Itu asas kepada penyertaan ramai ahli PAS kerana mereka percaya PAS menegakkan kebenaran dan UMNO bertanggungjawab melakukan kemungkaran. PAS segala yang benar, dan UMNO segala yang salah.



Jika hujan, banjir, tanah runtuh, taufan dan segalanya kerana kemurkaan Allah pada UMNO dan jika terjadi pada PAS itu adalah ujian Allah, jika ahli UMNO mati, sakit, menderita, ditangkap dan segalanya kerana dosa mereka dan jika Ahli PAS pula kerana Syaitan dengki melihat mereka senang, jika Kilang Arak dibuka UMNO dituduh menghalalkan yang haram, jika PAS pula dikatakan itulah Islam sebenar bertolak ansur dengan agama lain sehingga mahu dibina Kilang Arak lagi, jika UMNO yang bekerjasama dengan Kafir, ditangkap basah, maksiat, judi dan segalanya, UMNO dihukum kafir, jika PAS yang melakukan semua itu dikatakan ALLAH sudah ampunkan dosa, tidak mengapa dan macam-macam lagi.



Dipendekkan cerita, PAS semua betul dan UMNO semua salah. Kita memahami akan Dasar Penubuhan Negara yang dipersetujui semua wakil kaum dan agama, tetapi mereka yang bermanfaat sering memainkan isu ini untuk meraih sokongan dengan mendorong rakyat kepada penentangan. Sedangkan pemanupulasi ini sedar, cara untuk merubah Dasar Penubuhan Negara adalah melalui undian 2/3 ahli Parlimen. Malangnya itu bukan nawaitu mereka. Tidak, tujuan utama mereka menjadi Ahli Politik dan Pemimpin tidak langsung mahu menegakkan agama Allah. Ini kerana keikhlasan merubah Kedaulatan Undang-Undang Negara bukanlah di jalanan, di pembesar suara, di mana-mana tetapi di Dewan Tertinggi Negara. Para pemimpin Islam yang berjumlah 130 orang di Dewan Parlimen (23PAS, 16PKR, 4BEBAS, 87 BN) hanya perlu bekerja keras meyakinkan 15 lagi MP yang bukan beragama Islam untuk menegakkan hokum Islam sebagai undang-undang Negara. Saya yakin, jika ia dilakukan dengan ikhlas pasti berjaya, kerana ia boleh dilakukan secara satu persatu dan bukan seluruh hukum hudud. Contoh kecil, adalah mudah untuk mendapatkan sokongan MP bukan Islam untuk menangkap rakyat Islam yang tidak menunaikan Solat Jumaat justeru hukuman lebih berat bagi yang tertangkap lebih 3 kali. Bayangkan jika undang-undang syariah ini diiktiraf undang-undag sivil dan didokong oleh semua “enforcement”, bayang Negara Islam sudah terbit. Masalahnya adalah keikhlasan.



Islam adalah agama yang benar. Asas kepada penubuhan Negara Islam adalah menegakkan kebenaran an meruntuhkan penipuan. Benarkah Ahli PAS perjuangkan Islam? Jika benar, mengapa mereka tidak mendesak Dato Seri Nik Aziz dan Dato Seri Hadi Awang untuk mendesak Azmin menafikan tuduhan menjual Isteri kepada Dato Seri Anwar Ibrahim? Mereka bertiga adalah orang Islam dan dituduh melakukan maksiat, dan mereka harus tampil membersihkan nama apa lagi mereka adalah pemimpin Islam. Malah tuduhan ini melibatkan seorang anak yang tidak berdosa. Tidak mahukah pejuang Allah melihat kebenaran ditegakkan? Atau Pejuang PAS hanya memilih untuk menegakkan hukum Allah apabila ia memanfaatkan mereka sahaja. Beginikah ajaran Islam, jika ya maka saya berasa malu dengan agama Islam. Bangunlah Ketua Pejuang PAS yang sanggup baring di jalan untuk dilanggar kenderaan, kerana kebenaran itu amat hampir.



Kebenaran akan tuduhan Ummi Hafilda keatas Anwar, Azmin, Shamsidar dan anak yang dikatakan anak Anwar adalah mudah untuk diurai. Lakukan ujian DNA keatas keempat-empat mereka dan lihat DNA anak tersebut sama dengan Azmin atau Anwar? Maka tertegaklah kebenaran dan hancurlah penipuan. Jika tidak cukup Islamik, Dato Seri Anwar, Azmin dan Shamsidar perlu bersumpah. Jika tidak cukup juga, Dato Seri Anwar dan Azmin perlu bersumpah diatas mimbar Khutbah Jumaat menafikan perkara itu. Bukankah itu harapan kita semua untuk menegakkan Islam? Malahan, jika benar anak gadis itu anak Anwar maka adalah haram bersentuhan dengan Azmin dan saudaranya yang lain. Haram duduk serumah berduaan dengan Azmin dan saudaranya yang lain. Jika anak itu berkahwin dan diwalikan bukan Bapa sebenar, maka perkahwinan tidak sah dan ramai lagi anak haram akan lahir. Jika tidak benar dan anak gadis itu anak Azmin yang sah maka terbelalah maruah beliau, Azmin, Shamsidar dan Dato Seri Anwar yang sering "dituduh" rendah moralnya. Bangunlah ahli PAS, kita cegah kemungkaran dan mengelakkan kemurkaan Allah. Percaya pada janji ALLAH, kebenaran akan tertegak dan penipuan akan tersungkur. Jihadlah, selamatkanlah masa depan dan Syurga anak gadis yang tidak berdosa itu.



Jika anda tidak menyahut cabaran ini, maka perjuangan anda menegakkan Islam dalam PAS hanyalah palsu dan menipu diri sendiri tapi tidak mampu menipu ALLAH.

Monday, January 10, 2011

AIR WUDHU – Kesempurnaan atau Pembaziran

Setiap orang Islam pasti akan mengatakan agama yang benar dan terbaik adalah agama Islam. Jika ditanya kepada Yahudi, Kristian, Buddha, Hindu, dan lain-lain, mereka juga pasti akan menjawab agama mereka masing-masing adalah yang benar dan terbaik. Perbandingan sudah tentu selalu dilakukan oleh ramai walaupun tidak oleh orang Islam. Jawapan kepada perbandingan ini pastilah mengikut logik akal dan keduniaan dengan disokong fakta-fakta yang diambil secara rambang dan selektif. Sudah pastilah, umat Islam yang berjumlah 3billion di dunia yang kebanyakannya datang dari Negara miskin dan ditindas akan mendapat penilaian yang tidak tepat.

Sungguhpun begitu, di Negara Islam yang stabil, terpulang kepada orang Islam untuk mengangkat kesucian agama Islam melalui perilaku, sifat, sikap dan perbuatan. Inilah yang perlu dibincangkan terutamanya di Malaysia yang makmur.

Makmur merujuk kepada 2 keperluan asas dalam hidup iaitu air dan makanan. Air adalah yang terpenting antara dua ini. Dan air di Malaysia bagi umat Islam sangatlah MAKMUR. Di Negara Islam lain seperti Indonesia, Bangladesh, dan Pakistan, adalah sukar untuk mendapatkan air bersih. Air bersih adalah elemen penting dalam mengambil wudhu. Bukan sahaja ia perlu bersih, malah ia perlu diyakini bersih oleh umat Islam. Alhamdulillah, di Malaysia, air yang diyakini bersih melimpah-ruah dari berjuta mulut paip di seluruh Malaysia. Malah, ia boleh diperoleh secara percuma dari Masjid, Surau, Musolla, Bilik Solat di Hentian dan Stesyen Minyak. Kemakmuran yang Allah kurniakan kepada umat Islam telah membuai kita semua kepada pembaziran.

Kesempurnaan atau pembaziran. Seringkali kita melihat gelagat umat Islam mengambil air wudhu seolah-olah mandi. Dengan air yang dibuka sekuat mampu kepala paip, dipercayai 1baldi air 3 gallon diperlukan untuk mengambil wudhu bagi setiap seorang Islam. Jika kita pergi menunaikan fardu Jumaat, akan kelihatan air yang dibawa Jemaah selepas mengambil wudhu membuatkan kawasan sempadan Ruang Solat dan Bilik Wudhu seakan-akan banjir. Tidak cukup dengan itu, air itu pula meresap masuk ke dalam Karpet dan menghasilkan bau yang mengganggu Jemaah lain.

Persoalannya, apakah perbuatan mengambil wudhu seperti itu tidak mengundang pembaziran? Bukankah pembaziran amat disukai oleh Syaitan? Adakah para Jemaah sedar yang mana Masjid dan Surau perlu mengeluarkan duit sendiri untuk membayar bil Air yang selalunya melebihi RM1000 setiap bulan? Cuba bayangkan apa makna RM1000 kepada fakir miskin? Cuba bayangkan pula jika satu hari hadapan Allah menarik balik nikmat air kepada Malaysia? Malahan, cuba bayangkan apakah label orang bukan Islam kepada Islam jika melihat cara orang Islam menguruskan air untuk menyucikan diri untuk menunaikan solat?

Pada zaman Nabi Muhammad SAW, air di Bumi Anbiya amatlah sukar didapati. Malah, pernah Nabi Muhammad SAW diberi mukjizat oleh Allah dengan mengeluarkan air dari tangan Baginda untuk diminum para tentera Islam. Agaknya, berapa banyak air yang digunakan oleh Nabi Muhammad SAW dan para sabahat semasa mengambil wudhu?

Bersyukur atas nikmat Allah bukan hanya di atas sejadah tetapi lebih penting menghargainya dan menguruskannya dengan baik tanpa membazir. Adalah baik jika Masjid dan Surau dapat menampal tanda peringatan amalan pembaziran. Yang mana lebih hampir, kesempurnaan atau pembaziran? Keredhaan Allah atau kegembiraan Syaitan?

* Sekadar Mengingatkan Diri

Friday, January 7, 2011

TEGURAN TERBUKA UNTUK FATIMAH ABU BAKAR

Seorang muslim yang dilahirkan oleh Allah diamanahkan supaya bertanggungjawab pada diri sendiri, ibu bapa, saudara dan agama. Allah juga mengamanahkan muslimin dan muslimat supaya mempunyai tanggungjawab kepada masyarakat dan komuniti. Perkara ini beberapa kali dijelaskan dengan terang dalam Al-Quran maka kita tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya atau lebih tepat mengikut kata Inggeris “This is my right, who the hell are you, you are not my father!”

Artis adalah ikon kepada masyarakat. Golongan ini jauh mengatasi ulama dalam konteks mendekati dan mempengaruhi jiwa anak-anak remaja. Remaja sering dikaitkan dengan peringkat mencari diri kendiri dan mereka cenderung menjadikan artis pujaan hati mereka. Tidak cukup perihal seni yang mereka ikuti, setiap inci gerak geri dan perlakuan juga menjadi ikutan remaja. Pendek kata, mengikut perspektif remaja, artis bagai insan yang dikurniakan Allah cahaya (cool, fantastic, bombastic, X-Factor, Fashion Beauty etc) yang perlu mereka ikut. Lebihan pula, itulah kehendak majoriti
komuniti remaja, yakni, kemashyuran.

Allah SWT tidak pernah tidak mengurniakan kelebihan yang tertentu pada setiap insan supaya mereka lebih istimewa dari yang lain. Yang melengkapkan anugerah ALLAH itu adalah apabila manusia menemui keistimewaan didalam diri mereka dan pergunakan sebaiknya untuk menjalani kehidupan di dunia seterusnya memenangi Syurga di akhirat. Dalam isu ini, Alhamdulillah Syukur ke hadrat Allah yang Maha Kuasa mengurniakan anugerahnya kepada Fatimah Abu Bakar serta suami dan empat Puteri yang mempunyai kehebatan dalam berlakon(acting). Kehebatan mereka terutama Sharifah Amani diakui ramai termasuk saya.Masakan tidak, beliau membawa banyak watak budak baik, alim dan muslimah, tetapi berpakaian seksi diluar. Namun, itulah artis, tidak pernah tidak sunyi tanpa kecaman, fitnah, gosip, dan lain-lain termasuklah teguran.

Sebagai saudara Islam, saya melihat Fatimah Abu Bakar mempunyai cahaya(ketenangan) pada wajahnya. Malah imej yang dibawa Fatimah Abu Bakar cukup sempurna. Sebagai seorang insan seni dan “Otai Teater”, Fatimah Abu Bakar membuktikan tudung kepala dan imej yang sejuk lembut tidak menjadi penghalang mencari rezeki. Memetik kata Tun Dr Mahathir, setiap manusia akan melalui 3 proses haluan diri dalam hidup iaitu, haluan kiri, haluan kanan dan akhir sekali haluan tengah. Mungkin, Fatimah Abu Bakar kini berada samada di haluan kanan atau tengah. Alhamdulillah sekali lagi.

Sebagai saudara Islam juga saya mempunyai tanggungjawab ikhlas untuk menegur Saudara saya apatah lagi yang saya sokong. Sering kali seorang ibu yang bertudung ditemani puteri kesayangan ke Majllis Umum dimana anak-anak memilih untuk mengenakan pakaian yang mendedahkan segala yang ada. Kontra kepada imej ibu mereka, peminat mula menanam nilai dalam diri, “jika ibu aku bertudung tidak semestinya aku tidak boleh berpakaian seksi, tidak semestinya aku tidak boleh bercium, berpeluk, asalkan aku tahu niat aku bukan untuk seks”, “malam aku jahat menyundal, siang aku mampu berlakon seperti Muslimah sejati”, “kesekolah aku bertudung sebab peraturan, lepas sekolah aku boleh pakai seksi asalkan niat aku untuk bercantik bukan untuk menggatal” dan pelbagai lagi. Itulah kekuatan artis, bukan sahaja sikap dan sifat malah ideologi artis sering diceduk bulat-bulat oleh peminat tanpa memikirkan implikasi kepada diri mereka di dunia dan akhirat. Masyarakat pula senantiasa bebal menerima perlakuan artis sebagai “trend” dan siapa yang menentang akan digelar ketinggalan zaman.

Siapa kata mudah menjadi artis? Amanah dan tanggungjawab yang Allah letak pada bahu “public figure” sebenarnya amatlah berat. Kerana itu dalam banyak ayat Al-quran, Allah kata bersederhanalah.

Mungkin dalam banyak perihal, Fatimah Abu Bakar dan anak-anak tahu apa yang mereka lakukan, mungkin mereka mempunyai alasan dan munasabab. Lebih-lebih lagi kata orang, kubur masing-masing, syurga dan neraka pun masing-masing, Inggeris pula kata “Mind your own business”. Tetapi, anugerah yang Allah kurniakan kepada 5 orang tidak sunyi tanpa peneman setia(Syaitan). Allah menganugerahkan keistimewaan kepada mereka sehingga mereka mampu merubah peminat dari dalam malah merosakkan keluarga Islam lain. Malahan, mereka boleh melakukan kerosakan yang teruk pada ideologi masyarakat Islam di Malaysia.

Suka atau tidak, itulah kuasa dan keistimewaan yang Allah berikan pada manusia tertentu. Maka, kebiasaannya orang tua yang benar-benar alim lazimnya akan berkata “ Diam itu ilmu, diam lebih baik dari bercakap,diam itu zikir dan sebagainya.” Mereka bukan kedekut ilmu, tetapi sedar pengaruh yang mampu mereka bawa kepada masyarakat jika mereka tersalah cakap atau disalah tafsir. Perlakuan mereka akan membawa impak pada nilai masyarakat. Sebagai contoh yang mudah, apa akan jadi pada keimanan masyarakat jika seorang Imam membenarkan dan menghantar anaknya yang bertudung pada siiang hari menjadi Penari Bogel pada malam hari, asalkan niat mencari rezeki bukan untuk menyundal?”

Tidak dinafikan Keluarga Fatimah Abu Bakar, Suami dan anak-anak mempunyai kekuatan mencipta polemik. Sungguh besar anugerah Allah pada mereka tetapi mengapa tidak digunakan untuk kebaikan ummah? Sedangkan mereka akan mendapat saham dari pahala dan juga dosa peminat mereka yang terpengaruh dengan mereka.

Maaf artikel ini banyak di quote Inggeris kerana penulisan saya tampak hodoh bila menggunakan Bahasa Melayu! Apa-apa pun, teguran ini dibuat agar kita sama-sama muhasabah diri. Baik Fatimah Abu Bakar, Puteri-puterinya, Suaminya, diri saya sendiri, peminat dan masyarakat. Bukan apa sahaja baik laku yang ditonjolkan artis itu baik, semuanya bergantung pada nawaitu mereka(dipetik dari filem Jin Notti). Jika yang ditonjolkan itu buruk lagilah teruk, perlu dibendung supaya jangan sampai kelamaan menjadi “Bulatan Pengaruh Tabiat Masyarakat”-dipetik dari buku 7tabiat oleh Steven R.Covey.

Akhir sekali, suka saya tekankan, teguran ini datang adalah kerana Pertunjukan “over contrastive” antara imej anak dan emak yang datang bersama dan duduk menyebelah, dan antara watak lakonan dan peribadi sebenar. Jika Sharifah Amani sering mendapat watak perempuan murah, pelacur dan sundal dalam lakonan, masyarakat bisa menerima beliau berpakaian seksi, tetapi sebaliknya beliau sering memainkan watak bertudung, sopan, alim, muslimah dan tawaddu pula.

Saya juga berpendapat perlakuan Fatimah Abu Bakar dan anak berupaya menjadi ideologi yang diterima pakai oleh peminat, keluarga Islam dan masyarakat. Sedangkan baik Fatimah dan semua ibu lain mahu yang “terbaik” untuk anak mereka.

Thursday, January 6, 2011

“Ng Weik Aik! Letak jawatan, balik China”

Tiada seorang pun dalam susur galur keturunan saya baik dari bapa atau emak berdarah India. Saya sendiri secara peribadi mempunyai perasaan tidak selesa terhadap “Mamak”, kerana mereka mempunyai rangkaian perniagaan Restoran, Runcit, kini Katering yang gah di Malaysia. Tetapi ini semua tidak menghalang semangat 1Malaysia untuk kita semua mengungsi bersama dan saling menghormati.

Tajuk ini sebenarnya adalah petikan kata-kata yang amat sensitif pada kaum Cina. Malah MCA beberapa kali mendesak Kerajaan BN untuk mengambil tindakan tegas pada sesiapa yang menggunakan perkataan pendatang, balik China dan sebagainya. Hairannya, kini ia diungkapkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Ng Wei Aik. Memang pelik apabila marah menguasai diri, mulut bagai mendapat kekuatan Godzilla.

Malang bagi kaum Melayu, jika seorang dari mereka yang mengungkapkan kata-kata balik Cina, seluruh Melayu akan digelar rasis. Malaysiakini akan menyalak disebalik “Ruangan Komen Pembaca” menyalahkan Sistem Kerajaan, Sultan dan menggambarkan seolah-olah mereka yang bersuara mempertahankan Melayu dari diserang adalah pengkhianat Negara.

Malulah jika kita menjadi seperti Bangau yang sering menyalahkan orang lain atas kelemahan diri. Apa yang lebih memalukan, apabila sebuah bangsa dan tamadun berusia beribu tahun milik Cina hanya mampu melahirkan seorang pemimpin sepertinya. Paku dulang paku serpih, mengata Melayu, Cina yang lebih. Seluruh kaum Cina patut malu dengan Ng Wei Aik yang menungkapkan kata “Tutup Kedai, Balik India”. Walhasil tidak sampai 100 tahun dahulu, ramai Datuk Nenek orang Cina mungkin termasuk Ng Wei Aik baru sahaja mendarat di bumi Tanah Melayu.

“Cina kata: India balik India, Melayu kata: Cina balik China, Pribumi kata: Melayu balik Indon, Orang Utan kata: Korang semua balik masuk Gua Batu, bising saja”

Pengajaran dari kejadian ini buat semua rakyat Malaysia belajarlah menghormati sensitiviti kaum semua dan tolonglah fahami beberapa peribahasa dan petikan dari filem P.Ramlee.

- “Sedangkan lidah lagi tergigit, ini pula Agama berlainan”
- “You punya nasi you makan, dia punya nasi dia makan, apa salah kita sama-sama makan”
- “Bersatu Malaysia teguh, berpecah Malaysia hancur”
- “Kalau marahkan nyamuk seekor, jangan dibakar seluruh Negara”
- “Dimana bumi dipijak, disitu mahaRAJA dijunjung”

Harapan semua rakyat mahu melihat kita menjadi 1Malaysia dan berharap agar kata-kata rasis ini ditamatkan sekarang juga bermula dengan diri sendiri.

Sekian.