ALLANA HIJAB

ALLANA HIJAB
Whatsapp 012-6144924 NOW For Guaranteed Special Free Gift

Monday, October 25, 2010

PERTAHAN DATUK BANDAR KUALA LUMPUR- ADAKAN PILIHANRAYA DATUK BANDAR

Sejak Pakatan Rakyat mengambil alih kepimpinan beberapa Negeri, mereka sudah mula mendesak diadakan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan(PBT). Tujuan mereka sukar diduga samada untuk rakyat atau untuk kepentingan mereka. Apapun, cadangan mereka ditolak kerana ia menimbulkan banyak permasalahan lain selain dari kos yang amat tinggi.

Baru-baru ini Kuala Lumpur jatuh beberapa anak tangga dalam kedudukan Bandaraya efisien di dunia dan DBKL sebagai pengurus Bandar Kuala Lumpur pula dikejutkan dengan teguran “mengarut” oleh Perwakilan Pemuda UMNO Wilayah. Ia seolah-olah UMNO masuk campur dalam bidang kuasa DBKL. Sudah jatuh ditimpa tangga, sepatutnya, perwakilan Pemuda UMNO mendesak semua ahli politik dari mana-mana parti berhenti melobi tender dan campurtangan dalam urusan DBKL.

Datuk Bandar Kuala Lumpur acap kali dipersalahkan atas semua kesalahan DBKL, begitu juga dengan kakitangan DBKL yang senantiasa dihamburkan dengan kata-kata cacian. Namun, sedarkah kita mereka hanya menjalankan tugas yang diamanahkan kepada mereka. Malah, mereka senantiasa berada dalam dilema apabila segala urusan mentadbir Bandaraya Kuala Lumpur di ganggu oleh golongan berkepentingan. Jika tidak dituruti KPI mereka teruk, jika dituruti, keutamaan warga KL menjadi pertaruhan.

Sikap Pemuda UMNO prihatin dengan nasib penjaja Melayu dihargai, namun, kita harus mendokong bersama usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai Bandaraya Negara Dunia Pertama bukan Negara Dunia Ketiga. Jika mahukan Kuala Lumpur terkenal dan efisien seperti New York, Madrid, dan sebagainya, DBKL sepatutnya dibiarkan menguatkuasakan dasar mereka tanpa gangguan. Jika benarlah prihatin terhadap penjaja Melayu, bimbinglah kami masuk ke premis Restoran, Gedung Besar, dan Antarabangsa. Bukan menghabiskan dan menyalahgunakan dana perniagaan tetapi tidak mahu bayar balik.

Sebagai Warga Lembah Klang, saya sering dijamu dengan pemandangan penjaja kecil membuka gerai mereka dimana dalam kawasan pasaran yang sama sudah wujud Restoran. Mereka ini memakai baju Puteri UMNO, Pemuda UMNO, AMK, PKR, PAS, DAP, NGO, dan sebagainya, kononnya, dengan memakai baju tersebut mereka kebal dari tindakan DBKL, MPPJ, MPS, MPAJ, MPSubang, MBSA dan sebagainya. Pada rakyat marhein, jika benar mereka mewakili Parti dan NGO pada baju mereka, mereka ini tidak ubah seperti samseng yang mahu berniaga secara percuma dan menafikan hak peniaga yang menyewa premis beribu ringgit sebulan. Jika itu dijadikan budaya persaingan Peniaga di Bandaraya Kuala Lumpur, maka pemandangan KL akan dijamukan beribu “Gerai Haram” pada tahun 2020, dikala premis dan Gedung pula kosong kerana “Gerai Pacak” ini tidak perlu bayar sewa mahal.

Perbuatan ini membuka kepada aktiviti samseng dan ganster mengikut kawasan. Paling tidak bayar pada Ayahanda, Abang Long, Kongsi Gelap, Taiko, Ane, dan pelbagai lagi pihak yang mengaku layak menerima duit, memberi perlindungan termasuk memastikan tiada orang lain berniaga disitu. Apakah Perwakilan Pemuda UMNO mahu bersekongkol dengan amalan ini, atau Pemuda UMNO berfikiran, “Ah! Kaum itu boleh kenapa Melayu tidak boleh”. Datuk Bandar dan DBKL sudah melakukan kerja tetapi urusan mereka sering mendapat campurtangan dari Politik, Persatuan Penjaja Melayu, Cina dan India, anasir jahat dari dalam DBKL sendiri yang membawa agenda “Tuan Duit” masing-masing dan banyak lagi.

Pukullah canang sini, hentam gong sana, tiup seruling pula, semua perlu didengari dan dilayan jika Datuk Bandar atau Yang DiPertua Majlis mahu karier mereka selamat. Arahan yang mereka dapat tetap dari atas kerana mereka dipilih oleh Parti yang dipilih rakyat, dan jika tidak pun mereka akan diancam pula. Kiranya, mereka hanya mampu bekerja untuk rakyat sebanyak 0.00001% sahaja, selebihnya untuk Tuan yang memilih mereka.

Artikel ini tidak berniat untuk menghentam mana-mana Parti dan NGO, terbukti, sesiapa berkuasa sekalipun tetap sama, manusia yang senantiasa melakukan kekhilafan dan “opportunist”. Artikel ini mahu berkongsi ramuan dan resepi menjadi Bandaraya terunggul di dunia seperti New York, seiring dengan Bangunan Kembar Tertinggi Dunia KLCC, dan akan datang, Menara Warisan. Resepi bagi DBKL mentadbir Bandaraya Utama Kuala Lumpur dengan cemerlang adalah Datuk Bandar dipilih melalui PilihanRaya. Dengan cara ini, Datuk Bandar yang dipilih melalui proses demokrasi,tidak perlu tunduk pada campurtangan politik ditambah Datuk Bandar mesti bukan Ahli mana-mana Parti Politik. Untuk mengelakkan salah guna kuasa oleh Datuk Bandar Rakyat ini, lantik wakil Exco dari golongan rakyat dari setiap Zon, setiap wakil Parti Politik, serta wakil dari SPRM dan Polis. Gariskan panduan termasuk mengekalkan 30% ekuiti Bumiputera dan jadikan Kuala Lumpur sebagai Bandaraya bebas politik dan ekonomi.

Perkara ini harus dilihat oleh Kerajaan dan Rakyat sebagai satu transformasi politik Perdana Menteri, Dato Seri Najib Tun Razak bagi menuju Wawasan 2020 serta menyatukan Kuala Lumpur sebagai ibu Negara 1Malaysia.

No comments: