ALLANA HIJAB

ALLANA HIJAB
Whatsapp 012-6144924 NOW For Guaranteed Special Free Gift

Tuesday, February 24, 2009

UMNO DAN PENYAKITNYA

Pemilihan UMNO sudah hampir tiba. Di atas kertas adalah mudah untuk meramal siapa yang akan menang. Namun, banyak faktor yang akan mengubah apa yang sepatutnya. Banyak yang perlu dipertimbangkan untuk memilih seorang Ketua antaranya kredabiliti, keupayaan, kualiti, berfikiran jauh, berwawasan, berjiwa rakyat dan berkarisma. Jika silap, kita akan memilih pemimpin yang berkelas Malaysia sahaja, dan sesungguhnya disebalik perlumbaan manusia mengejar kemajuan, kita menolak kemajuan dengan memilih pemimpin yang tidak kompeten atau tidak cekap.

Masalah UMNO ialah UMNO cuba menyelesaikan masalah tanpa mengetahui masalah yang sebenar. UMNO Era Baru atau lebih dikenali sebagai Era penolakan rakyat paling teruk dalam sejarah masih gagal mengenalpasti masalah. Masalah yang sudah lama ini kini menjadi penyakit barah dalam UMNO. Penyakit utama UMNO sebenarnya bukanlah rasuah, kronisme, nepotisme, salah guna kuasa, dan lain-lain. Penyakit utama UMNO adalah penyakit korporat. UMNO adalah Parti Korporat dan bukan Parti Rakyat.

UMNO diasaskan oleh perjuangan orang Melayu menentang Malayan Union. Diilhamkan oleh perjuangan meluhurkan kesucian Islam. Digerakkan oleh usaha melindungi adat dan adab Melayu dan Raja Melayu. Disatukan oleh nasib rakyat Tanah Melayu yang sengsara akibat peperangan. Pahlawan Melayu dan Pemimpin Melayu bingkas bangun memperjuangkan nasib rakyat terutama orang Melayu. Pemimpin tersohor seperti Dato Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn dan Tun Dr Mahathir serta ahli biasa UMNO yang bisa menitiskan air mata memperkatakan, mengenang nasib anak bangsa. Pemimpin sejati menangis meminta bantuan untuk ke London, meletakkan jawatan untuk berkempen secara “Road Show” ke seluruh pelusuk Negara untuk memahami masalah rakyat marhein, untuk mendekati rakyat secara peribadi, dan untuk meyakinkan rakyat, KAMI BERSAMA KAMU.
Pemimpin Agung terus merencanakan rancangan yang memberi manfaat kepada keseluruhan rakyat seperti Petronas, Felda, DEB, Felcra, Risda, Kemas, IJN, dan banyak lagi. Pemimpin hebat ini berterusan berusaha dan menitiskan air mata setiap kali memperkatakan nasib Melayu. Air mata jantan mereka mengalir apabila Melayu ditekan, Melayu lemah, Melayu longlai, Melayu gagal, Melayu ketinggalan dan sebagainya.
Pemimpin Rakyat ini akan bersama rakyat dan datang ke Kampung Selayang, Kampung Kodiang, Kampung Gajah, Kampung Parit, ke pendalaman untuk bersama rakyat, walaupun bukan dalam musim Pilihanraya. Mereka kepingin mendekati rakyat dan memahami masalah rakyat dari mulut rakyat sendiri bukan dari laporan terpilih sahaja.

Malangnya, UMNO sudah lupa akan asal usulnya. Lebih malang lagi, apabila UMNO hilang ingatan terhadap matlamat penubuhan UMNO pada tahun 1946. UMNO Era Baru dipimpin oleh mereka yang lebih sanggup meluangkan masa bermain golf, hadir di Konsert secara kerap, membuat rawatan muka secara insentif, berdebat di Televisyen mencari popular, bercuti ke Luar Negara setiap tahun, menghabiskan Cuti Tahunan setiap tahun, datang lambat ke Mesyuarat dan Pejabat. Pemimpin UMNO menjadi pemimpin orang korporat yang memudik kehulu hilir menghurungi mereka untuk memenuhi kepentingan satu sama lain. Pemimpin UMNO Era Baru tidak pernah datang ke Kampung Selayang, Kampung Kodiang, Kampung Gajah, Kampung Parit, ke pendalaman untuk bersama rakyat. Rakyat yang perlu bersama mereka setahun sekali melalui Rumah Terbuka yang juga dihadiri oleh golongan korporat. Pemimpin UMNO Era Baru berjaya meyakinkan rakyat bahawasanya KAMI BERSAMA MEREKA YANG KAYA, RAKYAT HARUS BELAJAR MENERIMA, RAKYAT MESTI MENGUBAH GAYA HIDUP DAN BERJIMAT CERMAT, RAKYAT MESTI BERUSAHA UNTUK MENGUBAH NASIB MEREKA, KAMI MILIKI RUMAH DI LUAR NEGARA, RAKYAT TINGGAL DISINI, KAMI MENDENGAR RINTIHAN RAKYAT, KAMI HANYA BERCAKAP DAN TIDAK BERKERJA dan banyak lagi perkara yang negatif yang terpaksa kami rakyat marhein telan demi nikmat sebuah Negara Malaysiaku yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.

Nikmat dan hasil Parti Korporat UMNO bukan sahaja dinikmati oleh pemimpin pusat malah pemimpin Negeri, malahan pemimpin Bahagian dan Cawangan. Lihat sahaja berapa banyak tanah milik Ketua Cawangan UMNO, betapa besar dan indah mahligai Ketua Bahagian UMNO, yang peringkat Negeri dan Pusat tidak perlu disembunyikan lagi sehingga tertangkap oleh Pihak Berkuasa Negara Asing kerana kesalahan menyeludup wang berjuta ringgit. Dan sekarang bandingkan tanah, mahligai dan harta milik Ketua Cawangan dan Bahagian dengan rumah Dato Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, dan Tun Dr Mahathir. Para Menteri dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Era Baru menjadi pemimpin dan menawarkan diri menjadi pemimpin kerana harta dan kuasa. Sedangkan, sebagai seorang pemimpin berjiwa rakyat, mereka perlu berlumba-lumba untuk meninggalkan nama dan jasa. Bukannya harta dan dosa.

Penyakit UMNO ini perlu dibedah siasat dan dikenalpasti dan diberi perhatian serius oleh bakal Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak. UMNO perlu bekerja keras demi mengubah UMNO termasuk melakukan pengorbanan yang besar dengan mengenepikan pemimpin yang tidak baik, mengubah UMNO menjadi Parti Rakyat dengan memilih Pemimpin Rakyat. Menghindarkan UMNO dari menjadi Parti Koporat dengan menolak Pemimpin Korporat. Namun, ini tidak boleh dilakukan Dato Seri Najib Tun Razak berseorangan. Para perwakilan yang mewakili suara ahli UMNO biasa perlu bijak memilih dan seterusnya membantu Dato Seri Najib Tun Razak mengubah UMNO dari Parti Koporat menjadi Parti Rakyat semula. Dan, kurang-kurangkanlah masa di Padang Golf, di Konsert dan di Luar Negara. Luang-luangkanlah masa bersama rakyat di Kampung, di Pendalaman dan bercuti bersama kami di Dalam Negara.

Selamat Bersidang dan Selamat Mengundi.

No comments: