ALLANA HIJAB

ALLANA HIJAB
Whatsapp 012-6144924 NOW For Guaranteed Special Free Gift

Saturday, February 7, 2009

DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU

Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!

Kita orang Melayu berugama Islam terikat dengan hukum Allah dimana kita perlu taat pada pemerintah. Walaubagaimanapun, orang Melayu telah banyak belajar dari sejarah sejak ia dicatat pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Antaranya, Raja Adil Raja Disembah Raja Zalim Raja Disanggah yang merujuk kepada Sultan Mahmud. Terbukti orang Melayu itu lurus hatinya, pekerti budinya, sopan tingkahnya, santun tuturnya, manis senyumnya, Islam ugamanya, suci jiwanya. Taatnya bertempat, marahnya teratur, tegurnya membina dan kritikannya berlapik. Bencinya dendam, pantangnya derhaka, taatnya pada Quran, kasihnya pada Raja dan Negara.

Raja menjadi pemulihara agama Islam sejak berzaman lamanya, malah Raja juga mempunyai daulat kerana pengorbanan dan usaha mereka dalam memulihara agama Islam. Maka orang Melayu harus dan wajib berterima kasih kepada Raja yang komited melindungi agama Islam, mempertahankan tanah tumpah Melayu, meluhurkan adat dan identity Melayu. Tanpa Raja, maka sudah pastilah kita semua masih lagi dijajah. Pahlawan-pahlawan Melayu terus menentang penjajah demi mempertahankan agama, adat dan Raja Melayu. Biar mati anak jangan mati adat pesanan mereka. Datuk Maharajalela membunuh J.W.W. Birch dan memberi mesej yang jelas pada bangsa lain, jangan dicemar agama, adat dan Raja Melayu.

Selepas 500 tahun lamanya penderhakaan Jebat dan terdirinya Kerajaan Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Melaka, Pahang, Johor, Terengganu dan Kelantan, kini kita kembali mendengar penderhakaan rakyat kepada Raja Melayu. Dipelopori oleh bukan Melayu iaitu Karpal Singh yang pernah ditampar Kiai Arshad kerana mempersoalkan kedaulatan Sultan Selangor, kini ramai Melayu pula derhaka pada Sultan yang telah berjasa pada orang Melayu sejak sejarah Melayu dicatatkan. Golongan Melayu yang berani derhaka ini terdiri dari Dato' Seri Mohd Nizar Jamaludin, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dato’ Seri Nik Aziz, Dato’ Seri Hadi Awang, Dato’ Seri Shahidan Kassim dan Dato’ Seri Idris Jusoh kerana secara terang-terangan mempersoalkan keputusan Sultan. Namun penderhakaan pada Sultan Perak lebih teruk kerana ia disertai oleh 3000 rakyat Perak. Mungkin kamu semua terlupa siapa Sultan Melayu. Biarlah diperkenalkan sekali lagi. Sultan adalah individu yang telah melindungi dan menyatukan Datuk Nenek Moyang Melayu yang sewaktu itu hidup di hutan, di atas pokok, di dalam gua dan menggunakan undang-undang rimba. Selain memperkenalkan tamadun dan agama Islam, Sultan juga menjaga keselamatan, kesihatan dan kedaulatan umat Melayu. Ekonomi dan sumber hidup umat Melayu juga adalah tanggungjawab Sultan dimana ia dijaga dengan baik tanpa ada kes mati kebuluran dicatatkan oleh Datuk Nenek Moyang Melayu. Sultan begitu berkuasa dan ditaati Datuk Nenek Moyang Melayu waima sewaktu zaman penjajah. Selepas Sultan Selangor dan Johor memberi restu akan tertubuhnya Malay Union, maka bermulalah episod baru sistem demokrasi berparlimen dan Raja berperlembagaan.

Selepas itu, kuasa Sultan sekali lagi dikurangkan bagi mengimbangi peranan Pemerintah (Eksekutif), Perundangan (Legislatif) dan Kehakiman. Kini, kuasa Sultan amatlah terhad. Jika tidak kerana pergolakan politik di Perak, Sultan akan terus dilupai dan dipinggirkan kecuali 5 tahun sekali. Oleh demikian, adalah amat kurang sopan apabila pihak-pihak pemimpin Melayu terus mempersoalkan keputusan Sultan Perak sedangkan Baginda Raja hanya bertindak melalui kuasa yang diperuntukkan kepada Baginda. Terhadnya kuasa Baginda Sultan sehingga Baginda pernah ditempelak oleh Karpal Singh yang dilaporkan mempertikaikan tindakan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang menitahkan Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin menarik balik arahan penukaran Jamry yang disifatkan sebagai campur tangan istana dalam pentadbiran negeri. Malah kuasa Sultan yang amat terhad ini dipergunakan dan dicabar sepenuhnya oleh golongan seperti Karpal Singh kerana beliau tahu tiada peruntukan undang-undang derhaka pada Raja seperti di Thailand.

Kini, orang Melayu dengan membuta tuli berlumba-lumba untuk menderhaka pada Sultan semata-mata kerana Baginda tidak mahu membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak sedangkan mereka tahu Sultan Perak hanya menggunakan kuasa Baginda yang terhad dan tertakluk kepada undang-undang. Bukankah Pakatan Rakyat masih mempunyai cara iaitu undang-undang. Malah Pakatan Rakyat boleh menggunakan kuasa dan pengaruh Dato Seri Anwar Ibrahim untuk menarik kembali sokongan ADUN bekas Keadilan termasuk UMNO. Bukankah selama ini, pemimpin PAS, DAP dan PKR begitu percaya kepada keupayaan Dato Seri Anwar Ibrahim untuk membeli Ahli Parlimen BN bagi membentuk Kerajaan Malaysia Baru. Perak pun beliau tidak mampu, masakan Malaysia?

Terang lagi bersuluh, bukanlah keputusan Sultan yang tidak disenangi tetapi ialah perpaduan orang Melayu dan kesetiaan orang Melayu kepada Raja yang perlu digugat. Perlu diingat peranan Raja termasuklah peranan sebagai simbol bagi autoriti awam, perpaduan, kesinambungan dan identiti negara. Seperti di negara-negara lain, Raja dan sistem beraja menjadi jati diri negara yang merangkum sejarah dan intipatinya. Raja-Raja juga adalah pelindung kepada agama dan demokrasi. Ini semua harus difahami apabila kita memperkatakan kuasa budi bicara Raja-Raja dan Yang di Pertuan Agong dalam soal agama, pelantikan kerajaan dan pembubaran dewan. Konsep dan peranan itu juga harus sentiasa diingati dalam kita memahami segala keistimewaan yang diberikan kepada Raja-Raja oleh perlembagaan dan undang-undang. Maka persoalan yang perlu diteliti, Apakah benar kuasa Raja sedang dicabar atau ada agenda jahat lain? Orang Melayu amatlah bodoh apabila mencabar dan menderhaka pada Sultan kerana Sultan adalah benteng terakhir kedaulatan Melayu. Jika suatu hari ditakdirkan kerajaan berdominasikan Melayu runtuh di Malaysia, hanya Raja berupaya menyatukan Melayu untuk memperjuangkan Melayu, agama serta mempertahankan kesucian Islam. Ini kerana institusi Raja akan terus kekal manakala Parti Pemerintah bisa runtuh dan bertukar-tukar.

Ekonomi.

Selain dari kuasa Sultan Perak yang terhad, Sultan Perak juga perlu memikirkan nasib rakyat secara keseluruhan. Bukan hanya pemimpin Pakatan Rakyat ataupun Barisan Nasional yang perlu difikirkan. Mereka ini kesemuanya mempunyai rumah dan wang yang cukup untuk makan bagi 10 tahun mendatang. Malah golongan yang paling sukakan Pilihan Raya ialah golongan ahli perniagaan yang dipelopori oleh bangsa bukan Melayu. Bagaimana pula dengan nasib rakyat kebanyakan yang sudah tentu pasti akan jatuh ditimpa tangga. Umum mengetahui Pilihanraya Negeri Perak akan memakan belanja berpuluh juta. Ini adalah wang rakyat yang mempunyai banyak kegunaan lain untuk pembangunan rakyat. Lebih-lebih lagi keruntuhan ekonomi Amerika Syarikat, Jepun, dan banyak lagi krisis perbankan akan melanda Malaysia dalam tempoh masa terdekat. Butakah mata mereka yang berdemonstrasi ini? Pekakkah telinga mereka dalam berita kejatuhan ekonomi Amerika dan Jepun yang amat teruk sejak 80 tahun lalu. Malah Syarikat Korporat bertaraf MNC di Malaysia sudah mula membuang pekerja. Sultan Perak menjalankan amanah Allah S.W.T kepada beliau dengan menggunakan kuasa yang terhad yang diberikan kepada mereka, Sultan Perak jelas bijak dengan mengutamakan kepentingan rakyat kebanyakan. Sesungguhnya Tuanku, majoriti rakyat kaum Melayu bersumpah akan menghunus keris membela dan mempertahankan nyawa dan kedaulatan Tuanku jika tidak ada perlembagaan dan undang-undang yang melarang. Ini kerana kami golongan yang tahu mengenang budi Ayahanda Baginda Sultan serta seluruh keturunan Baginda Sultan sejak wujudnya Melayu di bumi Allah.

No comments: