ALLANA HIJAB

ALLANA HIJAB
Whatsapp 012-6144924 NOW For Guaranteed Special Free Gift

Thursday, September 18, 2008

UMNO Revolution

Original Posting UMNO Revolution - Usir Melayu No Otak pada tahun 2008

Updated: Janji masih dipegang dan saya tidak akan menulis tentang politik lagi pasca PRU 13 kerana orang Melayu sudah memilih jalannya sendiri. Itu hak mereka walaupun ia jalan ke neraka.

PAU kali ini kian menggamit saya dan saya suka membaca semula artikel saya pada 2008 sebagai penyejuk hati. Selepas 5 tahun artikel ini diltulis, ia masih relevan kerana UMNO tidak pernah berubahpun sejak dulu.

PS: Terperanjat di Kg Wira Damai yang kecil ada 4 ketua cawangan yang sudah memegang jawatan selama lebih 20 tahun dan mereka masih memegangnya hingga hari ini. Bilalah agaknya anak-anak kita yang ada diploma, degree dan master boleh perjuangkan nasib bangsa melainkan di platform PAS dan PKR. Di Selayang pula, ada Cawangan Ketuanya, Ketua Wanitanya dan Ketua Pemudanya adalah suami, isteri dan anak, di Cawangan di KL pula semua ahlinya adalah ahli keluarga mereka. Pelik tapi benar!!!

UMNO adalah Parti Keramat orang Melayu. UMNO adalah tunjang kepada orang Melayu. Unggul UMNO maka unggullah Melayu. Hancur UMNO maka hancurlah Melayu. Tugas utama UMNO adalah merupakan Pengawal Utama Melayu, Pengawal Utama Kesultanan Raja Melayu, Pengawal Utama Ketuanan Melayu dan Pengawal Utama Agama Islam. Selain itu, perjuangan UMNO juga berteraskan survival keseluruhan orang Melayu dan kesucian Islam.

Empat tugas utama ini didukung dan dijalankan dengan baik oleh UMNO sejak zaman Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn dan Tun Dr Mahathir. Namun, pada zaman kebebasan “Tun” Abdullah Ahmad Badawi, UMNO gagal sama sekali dalam menjalankan tugas mengawal 4 tugas utama ini. Di era Abdullah Ahmad Badawi, kita sudah mulai mendengar rakyat Malaysia mencabar maruah dan intergriti Melayu, Kedaulatan Kesultanan Raja Melayu, hak istimewa Melayu dan kedudukan agama Islam juga terus dicabar dan dipersoalkan. UMNO berketuakan Abdullah Ahmad Badawi bukan sahaja gagal menyempurnakan tugas utama malah ia telah dicerobohi berkali-kali dan perjuangan UMNO juga kini berteraskan survival golongan tertentu yang berkepentingan. UMNO jelas akan menuding jari menyalahkan takdir Tuhan(memang kegemaran orang Melayu) dan Abdullah Ahmad Badawi serta insan yang melantik beliau ke jawatan Perdana Menteri iaitu Tun Dr Mahathir.

Dalam hal ini, ahli UMNO yang salah. Seluruh ahli UMNO hanya berpeluk tubuh melihat kerakusan rakan UMNO merompak harta Negara, kebodohan pemimpin UMNO diperkotak-katik oleh mereka yang hanya bertaraf Malaysia, kebaculan pemimpin UMNO dengan Singapura dan Amerika, penderhakaan dan penghinaan oleh kuasa dalam UMNO kepada individu paling berjasa dalam UMNO Tun Dr Mahathir, salah guna kuasa UMNO oleh pemimpin Persekutuan, Negeri, Bahagian dan Cawangan. Semua ini dan banyak lagi pelakuan yang jelas boleh meruntuhkan UMNO, melemahkan Negara, menafikan co-existence bangsa bukan Melayu hanya mampu dilihat tanpa tindakan waima membuka mulut sekalipun oleh ahli UMNO. Jelas, ahli UMNO haruslah bersama-sama Abdullah Ahmad Badawi memikul dosa, kesalahan dan kegagalan memikul 4 tugas utama dan memperjuangkan Melayu dan Islam. Ahli UMNO tidak berhak dalam apa jua carapun untuk mengaku tidak bersalah kerana Abdullah Ahmad Badawi telah menghadiri 5 Perhimpunan Agung UMNO sebagai Presiden dan dicalonkan serta “memenangi” kerusi Presiden pada pemilihan UMNO untuk kali kedua berturut-turut termasuk tahun 2008.

Dengan kuasa yang diberi pada ahli UMNO untuk mempertahankan dan mengukuhkan UMNO, ahli biasa UMNO mungkin tidak mampu untuk menentukan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, Majlis Tertinggi, Ketua Pemuda dsb, Ketua Wanita dsb, Ketua Puteri dsb, Ketua Putera dsb, namun, ahli UMNO mampu dan boleh untuk memilih Ketua Cawangan dan Ketua Bahagian yang benar-benar layak. Malangya, ahli UMNO menggunakan kuasa undi pada mereka mengundi Ketua Cawangan dan Ketua Bahagian yang bodoh, yang gangster dan samseng, yang ditakuti bukan yang dihormati, yang banyak projek dan banyak wang untuk diberi bukan yang berkaliber dan berkelayakan, yang korup bukan yang bersih dan amanah, yang belajar hanya lulusan SPM dan ada juga SRP, yang kotor dengan rasuah dan jenayah bukan yang tergolong dalam jemaah 2 waktu di Masjid, yang mulut busuk dengan perkataan nista dan carut bukan yang mulut wangi dengan kalam Allah dan sopan, yang haprak bukan yang hebat dan bijak. Ahli UMNO yang sebenarnya salah dalam soal ini. Ahli UMNO tidak cukup bijak atau lebih tepat bodoh, buta mata oleh wang ringgit, takut dibenci dan kehilangan kawan dalam soal memilih Ketua Cawangan dan Ketua Bahagian. Ahli UMNO yang 100% beragama Islam gagal meletakkan Islam dan Al-Quran sebagai panduan dalam memilih Ketua Cawangan dan Ketua Bahagian. Ketua Bahagian yang mereka pilih inilah yang akan memilih Presiden UMNO yang sejenis dengan mereka. Sejenis dan sespesis gila kuasa seperti Presiden UMNO yang kalah teruk tetapi enggan bertanggungjawab dan meletak jawatan. Ketua Bahagian dan Cawangan ini juga ramai yang kalah dikawasan mereka, tetapi jauh sekali meletak jawatan, Ketua Bahagian dan Cawangan ini menyalahkan Abdullah Ahmad Badawi dan bangga mengatakan mereka sudah jangka akan kekalahan ini. Sehingga kini, tiada satu anak jantan pun dalam UMNO berani meletak jawatan waima jawatan sekecil Ketua Cawangan sekalipun sebagai tanda tanggungjawab atas kekalahan UMNO. Saya mengaku tidak undi UMNO kerana tidak suka akan Ketua Cawangan saya yang samseng dan kaya dengan kata nista dan carut bukan kerana Abdullah Ahmad Badawi.

Ahli UMNO yang 100% orang Melayu ini bertepuk tangan dan bangga mendengar kehebatan dan careka bohongan Ketua pilihan mereka. Ahli UMNO ini semua malas membaca dan bodoh sombong oleh itu kuranglah ilmiah dan cerdik untuk mengenali kawan dan lawan, buruk dan baik, salah dan betul, benar dan tipu, kuat dan lemah, samseng dan alim dan seterusnya. Ahli UMNO yang malas membaca dan menyelidik boleh diumpamakan seperti seekor lembu yang ditarik dihidung akan terus mengikut Ketua yang salah, dan justeru, Ketua yang salah akan memilih Ketua Bahagian yang lebih salah dan Ketua Bahagian akan memilih Presiden yang SALAH X3. Ahli Parti UMNO perlu memahami, mengkaji dan membaca sejarah Parti Politik paling kaya dalam dunia. Dengan aset melebihi USD100 trillion, Parti Koumintang Taiwan juga berasal dari China. Yang mana, sejarah politik Cina adalah berusia beribu tahun dan buku naskah sastera sosio-politik Cina berjumlah berpuluh ribu naskah buku. Sebagai Ahli Parti, setiap ahli mempunyai kuasa untuk menentukan Presiden samada secara langsung atau secara tidak langsung. Kriteria Ketua dari semua peringkat mestilah mereka yang ada keupayaan dan pelajaran ataupun sekadar kejujuran dan keikhlasan berkhidmat untuk masyarakat dan parti. Sehubungan itu, Ahli UMNO mempunyai kuasa yang amat besar malah lebih besar dari rakyat biasa yang mengundi dalam Pilihanraya Umum. Kerana dalam Pilihanraya Umum, ADUN dan Parlimen mempunyai berpuluh ribu pengundi. Tetapi didalam sesebuah Cawangan UMNO paling banyak pun hanya ada kurang seribu pengundi, malah ada Cawangan hanya ada 100 ahli. Satu Undi amat amat berkuasa dalam menentukan Ketua Cawangan dan justeru Ketua Bahagian.

UMNO telah diberi peluang selama lebih 50 tahun dan dalam tempoh itu, ahli UMNO tidak belajar akan erti musuh utama sebuah bangsa dan punca keruntuhan bangsa dan empayar iaitu RASUAH. UMNO telah dianugerahkan oleh Allah oleh pemimpin yang begitu ulung dan baik sehingga tanpa bertindak dengan akal sekalipun yang mana ahli UMNO 80-an tetap memilih Ketua berdasarkan kereta siapa dan nota duit siapa lebih besar. Sungguh bernasib baik, UMNO dilindungi Allah oleh doa-doa nenek moyang kita sejak tahun 1946. Kini, doa itu sudah tamat tempoh. Ahli UMNO tidak lagi bernasib baik dan tidak boleh bergantung pada nasib semata dan perlu cepat belajar dari kesilapan dan lebih banyak membaca, berbincang dan sembahyang minta petunjuk jika perlu untuk memilih Ketua Cawangan. Jangan lagi menggadai maruah dan masa depan anak cucu kita hanya untuk RM 200 atau sate 100 cucuk. Amat malang bagi sebuah Parti seperti UMNO untuk mempunyai sejenis trend pelik iaitu kebanyakan Ketua Cawangannya merupakan orang yang sama kecuali dipecat melalui kematian atau sakit. Ahli UMNO perlu usir Ketua-ketua Cawangan dan Bahagian ini. Usir Melayu No Otak. Jika Ketua mereka ada “akal” dan tangan jangan diusir. Yang ada otak dan mulut perlu diusir.

UMNO perlu menjadi Parti Orang Kampung semula kata Tun Musa Hitam. Kata-kata beliau ini ada kebenarannya. UMNO masakini menjadi Parti Cepat Kaya ala-ala skim cepat kaya. Cuma pelaburannya adalah sedikit wang ringgit, kata-kata manis dan berpengaruh terutama pengaruh kuasa samseng dan gangster. Prinsip suka hati bapak aku dan suka hati aku kuasa ditangan aku sehingga menimbulkan gerun dan hormat dikalangan ahli biasa perlu dilupuskan secara total. UMNO akan menjadi longlai jika ia dibangunkan dengan cara yang salah. Itu dari segi kuasa dan samseng. Disudut wang ringgit pula, UMNO dibanyak bahagian sudah pun dikorporatkan. Bukan sahaja Ketua Bahagian dan jemaahnya amat kaya dengan kereta mewah, banglo mewah, Istana mewah, UMNO Cawangan juga tidak ketinggalan dalam usaha korporat mereka. Banyak tempat terutama di Lembah Klang, dapat dilihat Pusat Perdagangan UMNO, Pusat Perniagaan UMNO, Pusat Aktiviti UMNO yang mana semua pusat ini menyediakan premis kedai dan gerai untuk disewa. Ini amat menimbulkan rasa menyampah rakyat biasa pada UMNO. Jika usaha murni ini dijalankan dengan ikhlas, dengan jujur dan amanah, atau setidak-tidaknya dengan niat dan tujuan untuk membantu orang Melayu, pasti UMNO akan memenangi hati pengundi Melayu. Namun, persoalannya, siapa yang menjalankan audit dan pantauan keatas hasil sewaan ini? Adakah hasil audit pendapatan UMNO Bahagian dan Cawangan yang mempunyai pusat perniagaan ini diedarkan pada ahli biasa Bahagian dan Cawangan berkenaan dan pada UMNO Pusat? Parti Korporat ini jelas telah membelakangi teras perjuangan UMNO iaitu orang Melayu dan Islam. Parti Korporat UMNO ini berteraskan perjuangan untung dan rugi dan periuk nasi dinasti keluarga mereka. Bukan sahaja sewa yang mahal, RM200 mahal untuk orang kampung yang berniaga kecil-kecilan dan RM 1000 mahal untuk orang kampung yang berniaga sederhana kecil, Parti Korporat UMNO ini gagal memahami sebenar fungsi UMNO. Itu baru UMNO Cawangan dan Bahagian, UMNO Negeri dan Pusat pula, “lu pikirlah sendiri”!!!

Ahli UMNO perlu bangun dan bertindak. Pilih Ketua berdasarkan kelayakan dan keperibadian, bukan wang ringgit, kuasa, pengaruh samseng, harta dan dunia. Pilih yang ikhlas, jujur, amanah dan mempunyai sedikit nilai agama. Itupun, jika UMNO mahu kekal relevan. Atau setidaknya, mahu dihormati sebagai kawan dan lawan. Kini, janganlah mengharapkan nasib atau “miracle”. Jangan harap pada Tun Dr Mahathir. Setiap ahli UMNO perlu melakukan perubahan tanpa bantuan sesiapa dan kegagalan berbuat demikian akan menjadikan semua ahli UMNO bersalah dan berdosa pada generasi UMNO akan datang. Mungkin UMNO masih boleh “survive” tetapi bukanlah lagi sebagai Parti Keramat Orang Melayu tetapi Parti Sumpahan Orang Melayu. Ingatlah, nasib dan kedudukan kita terletak ditangan kita, untuk diperjuangkan oleh kita. Segala yang baik datang dari Allah dan segala yang buruk datang dari kita dengan izin Allah. Kekuatan UMNO bukan terletak pada pencapaian atau kuasa yang dimiliki, tetapi terletak pada bagaimana UMNO bangkit semula dari jatuh. Selamat bersidang kepada Ahli UMNO dan Selamat Diperbodohkan Sepenggal Demi Sepenggal lagi. Wassalam.

Mustaqim Abdul Rahman
Ahli UMNO Cawangan Biasa
“Yang telah tulis surat, tulis email, untuk keluar dari UMNO tetapi masih lagi ahli UMNO”

No comments: