ALLANA HIJAB

ALLANA HIJAB
Whatsapp 012-6144924 NOW For Guaranteed Special Free Gift

Wednesday, December 3, 2014

Surat Terbuka Pada Dato Menteri Besar Selangor

Saya sudah mengutus berpuluh surat pada Dato Menteri Besar berkenaan YDP MPS yang mengabaikan aduan saya sejak 2 tahun lepas tetapi berita Kerajaan Selangor menghantar nama tunggal YDP MPS Tuan Azizi untuk menggantikan Datuk Bandar MBPJ amat memeranjatkan saya.

Nama saya Mustaqim Abdul Rahman. Saya adalah pemilik bersama dengan abang saya dan isteri memajukan Tanah milik kami yang berstatus pertanian dan yang sudah terbiar selama 44 tahun.
Tanah kami adalah Tanah Rizab Melayu yang berbaki 11% dari 50%. Logiknya, tiada guna Kerajaan mahu menebus semula Tanah Rizab Melayu itu jika yang 11% ini pun dibiarkan dan bila diusahakan tidak dibantu malah dihalang dengan menggunakan undang-undang lapuk.

Nasib baik permasalahan membangunkan Tanah Rizab Melayu akhirnya dirasai YAB Perdana Menteri yang dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini mengarahkan semua MB menebus kembali Tanah Rizab Melayu dengan syarat mesti membangunkannya dan beliau menubuhkan Jawatankuasa Khas untuk mengusahakan Tanah Rizab Melayu yang pembangunannya terkongkong oleh Undang-undang tahun 1974.

Mengikut Undang-undang Kecil Negeri 1974 itu, PBT berhak merobohkan bangunan saya kerana tidak memenuhi syarat iaitu Kebenaran Membina Bangunan PBT yang mensyaratkan setiap pemilik Tanah menandatangani borang tersebut. Syarat ini tidak diberi kelonggaran langsung walaupun hakikinya semua Tanah Rizab Melayu berstatus pertanian terikat dengan masalah faraid dimana kebanyakan kematian berharta tidak dimajukan kepada Pejabat Tanah untuk pembahagian faraid dan akhirnya waris hilang tanpa dikesan.

Sebagai rakyat yang patuh pada undang-undang, kami bersedia menerima segala tindakan mengikut undang-undang keatas kami oleh Penguatkuasa Undang-undang.

Persoalannya, apakah Penguatkuasa Undang-undang mengikut undang-undang dan jika tidak, siapa yang memantau mereka? Ini kerana kami tidak dapat menerima tindakan MPS membiarkan pemaju membina Jalan dan Longkang dalam tanah kami dan membiarkan penduduk Anjung Melati menceroboh secara paksa setiap hari samada tanpa sedar atau sedar, malah setiap detik mereka mengalirkan air kumbahan mereka ke dalam tanah kami sejak tahun 2010.

Imej rakyat kerajaan PKR Selangor oleh Menteri Besarnya yang terjun kedalam longkang mesti dipertahankan dengan baik dengan tidak membiarkan longkang-longkang di Selangor dibina secara haram dan ceroboh.

Mungkin wujudnya akta lanun di Negeri Selangor ini yang membolehkan Tanah diambil untuk Longkang dan Jalan tetapi apa jua akta mestilah mendapat kebenaran pemilik dan diberi pampasan yang sesuai atau jika benar tiada pampasan pencerobohan itu mestilah tidak mempunyai pilihan lain sebagai contoh atas alasan kecemasan dan keselamatan.

Berbeza dengan keistimewaan yang diberi kepada pemaju Taman Anjung Melati, mereka membina longkang dalam Tanah kami sedangkan Tanah Rizab Kerajaan yang dikhususkan untuk Jalan hanya 2 kaki dari longkang itu.

Sebagai rakyat Selangor saya memohon kepada YDP MPS Tuan Azizi agar menyelesaikan aduan kami terlebih dahulu sebelum dinaikkan pangkat menjadi Datuk Bandar Petaling Jaya.

Aduan kami sejak 2012 sehingga kini tiada apa jua tindakan dikenakan atas pemaju malahan tiada rancangan untuk mengarahkan pemaju atau MPS sendiri mengalihkan longkang dan jalan tersebut.

YDP MPS boleh terima kenaikan pangkat tanpa selesaikan aduan kami tetapi Warga Petaling Jaya berasa bimbang kerana PBT bawah kelolaan bakal Datuk Bandar mereka mempunyai rekod membiarkan pencerobohan tanpa ada tindakan waima cadangan.

YDP MPS juga perlu membalas pujian MB Selangor kerana meningkatkan pendapatan MPS, walaupun saya pasti penduduk Petaling Jaya tidak mahu YDP yang enggan menyelesaikan masalah mereka apatah lagi membiarkan aduan selama 2 tahun.

Jika YDP Azizi tetap tidak mahu selesaikan masalah kami di khuatiri beliau akan dicap sebagai Datuk Bandar MBPJ yang tidak berkerja sepenuh hati dan mempunyai rekod tidak menyelesaikan aduan pembayar cukai. Sikap boleh menjadi tabiat yang diterjemah kepada keamanan dan kesejahteraan penduduk Petaling Jaya.

Kepada golongan anti peniaga jalanan pula, saya boleh memberi jaminan kepada penduduk Petaling Jaya inilah Datuk Bandar yang kalian tunggu. Beliau adalah seorang YDP yang baik kerana menurut perintah pihak atasan walaupun terpaksa menerima gelaran YDP Zalim serta pelbagai kecaman dan cacian dari rakyat.

Setiap kemajuan pasti disusuli kesesakan dan ia adalah perkara biasa. YDP Azizi komited dalam merobohkan premis perniagaan haram dan ia sesuatu yang disukai oleh para pemimpin politik setempat yang memudahkan mereka berselindung disebalik puluhan wajah dayus asalkan kareer politik mereka tidak terjejas.

Penulis sendiri secara peribadi menyokong tindakan meroboh premis haram dalam usaha menjadikan perumahan sebagai teratur dan terancang dan menyokong 100% YDP Azizi dinaikkan pangkat kerana berani menerima sumpah dan makian orang ramai dalam melaksanakan tugas.

Sewajarnya Dato Menteri Besar Selangor menaikkan pangkat beliau kerana YDP Azizi tidak hipokrit dan bukannya kerana berjaya mengembalikan untung dalam perbelanjaan MPS.

Ini kerana kalau untung yang diukur dan bukan khidmat kepada rakyat maka Tan Sri Khalid tidak wajar langsung diturunkan oleh PKR kerana untung yang dibawanya berbilion ringgit tanpa menimbang kepuasan rakyat terhadap mutu khidmatnya.

Soal perolehan banyak berbanding perbelanjaan adalah subjektif dimana mengikut pandangan penulis walaupun Kerajaan Tan Sri Khalid berjaya mengekalkan defisit sifar dengan kewangan imbangnya, tetapi jika dari Tanjung Karang ke Sabak Bernam atau dari Felda Gedangsa ke Sg Besar jalan raya langsung tidak diselenggara sehingga mengakibatkan kebanyakan kenderaan berat menggunakan lorong kanan yang meningkatkan kadar kemalangan termasuk kemalangan maut

Persamaan Tan Sri Khalid dengan YDP Azizi ini dapat dilihat dengan jelas di Bandar Baru Selayang dan kawasan sekitar Taman sekitar Selayang Baru, Indah, Utama, dan lain-lain yang terletak dalam jarak 3 km radius dari Pejabat YDP MPS. Walaupun dapat membawa untung kepada MPS, tetapi jalan khususnya jalan siar kaki tidak pernah diselenggara dan yang rosak tidak ditukar sejak 10 tahun lepas. Nasib baik kutipan sampah tidak boleh dikritik kerana sejak ditegur MB Selangor memang kekuatan kutip sampah mereka meningkat 10 kali ganda.

Apapun, dari segi jumlah meritnya, penulis pasti Dato MB Azmin yang bijaksana mempunyai sebab untuk menaikkan pangkat YDP MPS.

Namun, sebagai wakil pemilik Tanah 3 ekar yang diceroboh guna oleh Penduduk Anjung Melati setiap hari dimana ada hak anak-anak yatim yang haram dimakan dalam tanah ini, kami memohon YDP MPS Tuan Azizi menyelesaikan aduan kami sebagai bukti beliau layak dinaikkan pangkat.

Tanah kami diceroboh sebagai longkang dan jalan seluas 6000kaki persegi tanpa sebarang pampasan, pemberitahuan dan aduan kami dibiarkan walaupun pernah dipanggil Mesyuarat bersama MPS, Pejabat Tanah, pemaju dan pemilik tanah pada tahun 2012 dan sudah disahkan lebih 3 Juru Ukur bertauliah termasuk yang diupah pemaju dan terbaru oleh Jurukur Setia, Taman Melawati.

Penulis berharap YDP Azizi dapat menyelesaikan masalah ini sebelum berpindah ke MBPJ agar penduduk Petaling Jaya yakin dan tenang bahawa Datuk Bandar Petaling Jaya adalah seorang Datuk Bandar yang berupaya menyelesaikan aduan warga Petaling Jaya walaupun KPI penyelesaiannya melebihi 2 tahun.


Harapan penulis sebagai pengundi Selangor kepada Dato Menteri Besar agar dapat memastikan semua kerja-kerja YDP MPS Tuan Azizi disempurnakan sepenuhnya demi meyakinkan penduduk Petaling Jaya yang mempunyai kelas tersendiri berbanding penduduk Selayang.

Jiwa rakyat Dato Menteri Besar Azmin ditagih selari dengan imejnya yang kurang bercakap, banyak berkerja dan banyak terjun kebawah lapangan.

No comments: