Formula IKHLAS mampu membantu Kerajaan mengurangkan statistik
masalah sosial. Antara tahun 2000 sehingga 2008 lebih 800 kes buang bayi
dilaporkan dan tidak termasuk bagi kes buang bayi di klinik swasta, dan dalam
tempoh sama sebanyak 257,000 sijil lahir
anak tidak sah taraf dikeluarkan JPN dan ia belum mengambil kira nasib dan masa
depan bayi-bayi berkenaan.
Perasaan dan hubungan intim adalah faktor utama yang
menjerumuskan pasangan terlanjur dan mengandungkan bayi sebelum berkahwin.
Jelas, garisan had nilai masyarakat Malaysia telah turun ke tahap yang amat
mengerikan.
Banyak yang telah dilakukan oleh Kerajaan bagi menyelamatkan
nilai masyarakat daripada kehancuran. Terlebih lagi untuk bayi tidak berdosa
yang dibuang dan anak yang tidak bersalah dibesarkan dengan serba kekurangan
kerana kesilapan orang dewasa berakal. Kebanyakan usaha ini tidak mendatangkan
hasil yang diharapkan dipercayai kerana kes buang bayi dan anak tidak sah taraf
ini melibatkan dua pelaku namun hanya
seorang pelaku yang sering di hukum, dihina dan dipenjarakan.
Justeru, kini tiba masanya Kerajaan melaksanakan formula
IKHLAS dengan tegas. Formula IKHLAS adalah gabungan perkataan Intim, Kelahiran,
Hormati, Limpahi, Agenda dan Selamat dan ia diyakini dapat mencegah maut yang
mengancam bayi yang tidak berdosa, memperjuangkan keadilan untuk wanita, dan
membesarkan anak tidak sah taraf dengan sempurnya. IKHLAS juga dijangka mampu
mengurangkan masalah sosial dengan kadar yang diyakini.
Intim- Hubungan intim
pasangan lelaki dan perempuan yang belum berkahwin adalah punca utama kepada
semua permasalah ini. Kunci kepada intim adalah perkataan si lelaki dan si perempuan.
Kelahiran – Bilamana hubungan intim ini berakhir dengan
keterlanjuran, amat jarang ada si lelaki bertegas melaksanakan tanggungjawab,
sebaliknya si lelaki meninggalkan si perempuan terkontang-kanting bersendiri
menghadapi keluarga, masyarakat dan hari mendatang. Si perempuan yang pada
mulanya dibelai kini diabai.
Ada antara mereka memberanikan diri melawat
klinik-klinik untuk mengugurkan bayi mereka seawal mungkin. Ada yang keliru dan terus membesarkan bayi dalam
kandungan sehingga perut tidak mampu menipu lagi. Ada yang dihina, dikasari
keluarga dan ramai yang dihalau dari rumah oleh ibu bapa yang lebih rela menanggung
dosa dari menanggung malu dengan jiran. Ada juga yang lebih baik nasibnya,
melahirkan bayi tidak berbapa dengan sokongan keluarga, namun, membesarkan anak
kecil ini bagi seorang “cik” jauh lebih sukar bagi seorang “Puan”. Jujurnya, siapakah
yang mampu kekal waras mengandung bersendirian dengan pelbagai tekanan selama 9
bulan, apatah lagi diabaikan si lelaki yang kononnya sehidup semati, dicemuh
dan dihina masyarakat, dan menanggung sakit didera kandungan, fizikal, mental
dan spiritual.
Justeru, kunci bagi masalah
kelahiran adalah menyokong si perempuan yang mengandungkan anak tidak sah taraf
ini sehingga mereka yakin masa depan bayi mereka dan diri mereka sendiri bakal
mendapat pembelaan sewajarnya.
Hormati – Kelahiran bayi tidak sah taraf bukan pengakhiran
kepada masalah ini, malah ia adalah permulaan.
Permulaan hidup bagi bayi yang
tidak berbapa, dan permulaan baru bagi hidup si perempuan yang diperdaya serta
diabai si lelaki. Adalah amat wajar untuk menghormati kerelaan si lelaki dan si
perempuan agar mereka tidak berkahwin atas dasar paksa. Jika mereka tidak mahu berkahwin, hukuman dunia mungkin dapat memaksa tetapi ia hanya bersifat sementara kerana lakonan mereka akan berakhir dengan keruntuhun institusi keluarga. Masa dan kebebasan memilih dipercayai adalah pilihan terbaik untuk mereka.
Kerajaan boleh membantu melalui penggubalan undang-undang dan membenarkan pihak berkuasa menjalankan beberapa ujian seperti ujian DNA
agar tiada siapa yang teraniaya dan bapa kepada bayi ini dapat disahkan.
Melalui undang-undang yang dihormati, si lelaki akan dihukum
membayar segala kos perubatan, rawatan semasa mengandung sehingga melahirkan
bayi dan seterusnya memberikan nafkah kepada anak tidak sah taraf ini sehingga
mereka habis Sekolah. Kos keperluan asas bagi kanak-kanak di Malaysia tidak
sebesar mana jika dibandingkan keperluan sebenar mereka, malah yuran Sekolah
kini sememangnya dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan.
Bagi orang Islam, undang-undang Syariah akan memudahkan
perkara ini dimana keengganan si lelaki bertanggungjawab membesarkan dan
memastikan keselamatan “anak”mereka bukan sahaja boleh dihukum penjara malah
dihukum sebat. Bagi siperempuan pula, Mahkamah Syariah boleh menjatuhkan hukuman sebagai contoh menghafaz atau khatam Al-Quran untuk beberapa kali.
Kata kunci kepada hormati ini adalah keadilan untuk si
perempuan dan anak tidak sah taraf mereka yang diabaikan si lelaki. Pasti, si
lelaki tidak akan berani mengandungkan si perempuan dan jika keterlanjuran pula
tidak dijadikan alasan semata dimana si lelaki akan menjadi lebih
bertanggungjawab agar anak tersebut selamat dilahirkan dan dibesarkan samada
oleh si perempuan mahupun oleh keluarga angkat.
Limpahi- Anak tidak sah taraf di Malaysia sering diejek dan
dihina. Ini juga merupakan factor tekanan yang amat hebat kepada si perempuan
sejak hari pertama mengetahui status bayinya. Hormati undang-undang dan
pelaksanaan hukuman keatas si lelaki boleh menjamin tumbesaran anak tersebut,
tetapi tidak dapat menjamin sahsiah dirinya.
Oleh kerana IKHLAS dapat mengenal pasti status anak ini dari
sebelum ia dilahirkan, maka program melimpahi anak ini dengan ilmu agama dan
sahsiah diri dapat dilakukan.
Jika mereka bersama keluarga angkat, maka IKHLAS dapat
memastikan mereka dilimpahi kasih sayang oleh keluarga angkat mereka.
Kata kunci kepada limpah ini adalah pengisian, pantauan dan
bimbingan berterusan sehingga mereka matang.
Agenda- Adakah
program IKHLAS ini akan menggalakkan lebih banyak kes buang bayi, anak tidak
sah taraf, penindasan kanak-kanak, penganiayaan terhadap kaum hawa dan
sebagainya. Sudah pasti tidak! Melalui IKHLAS, Banyak agenda dapat memenuhi sasaran dan secara
tidak langsung masalah sosial, bersekedudukan, seks rambang, seks bebas tanpa
kondom, wabak HIV, pelacuran, rogol, dan banyak lagi dapat
dikurangkan.
Kata kunci agenda ini adalah memperjuangkan keadilan untuk
wanita, bayi dan anak tidak sah taraf.
Selamat – IKHLAS mengutamakan keselamatan bayi dan anak
tidak sah taraf dan memperjuangkan hak mereka yang tidak berdosa untuk dilayan
sama adil. Selamat ibu, selamatlah anaknya. Selamat anak, selamatlah bapanya.
Apatah lagi, dengan formula IKHLAS ini dan penguatkuasaan undang-undang yang
lebih ketat kepada si lelaki, keadilan pada bayi dan anak tidak sah taraf, nasib dan hak kaum perempuan dapat
dijayakan dengan cemerlang.