Datuk Seri,
Saya turut berpendapat bahawa kekalahan Barisan Nasional dan UMNO di Kuala Terengganu bukan salah Datuk Seri Najib. Rakyat tidak menolak UMNO, malah majoriti rakyat masih dan akan terus sayangkan UMNO. Mereka juga akan terus menyokong UMNO dan mereka ini terdiri dari golongan rakyat marhein yang tiada punya jawatan ataupun menyertai mana-mana demonstrasi atau aktiviti politik dan persatuan. Soal pembangkang kuat ataupun rakyat menolak BN tidak wujud langsung kerana majoriti rakyat sudah bersuara dan memilih kerajaan yang mereka kehendaki pada PRU 12. Golongan minoriti memang sukar dan tidak akan menerima suara majoriti, ini adalah hakikat kehidupan.
Kekalahan UMNO di dua pilihanraya kecil bukanlah penolakan rakyat terhadap pemimpin pusat. Ini kerana, Pilihanraya Kecil hanya satu kerusi jika dari 222 kerusi parlimen. Jangan termakan dakyah Rampasan Kuasa melalui aktiviti melompat Parti. Orang berpelajaran dan berakal pasti tahu ia mustahil dilaksanakan. Jika 100 orang ingin melompat parti sekalipun untuk membentuk kerajaan baru, Perdana Menteri akan menasihatkan Yang Dipertuan Agong untuk membubarkan Parlimen atas alasan ini bukan suara rakyat sebelum sempat urusan melompat parti selesai. Waktu itu, PRU 13 akan diadakan dan BN akan terus menang untuk memerintah Malaysia. Malah, jika mereka merancang untuk membuat kekecohan sewaktu peralihan kuasa dalam UMNO Mac 2009 ini, jangan lupa Perdana Menteri juga berhak untuk mengisytiharkan darurat dan seterusnya tentera akan mengambil alih sehingga rakyat selesai memilih kerajaan sekali lagi. Oleh itu rampasan kuasa melalui lompat parti tidak lain dan tidak bukan hanyalah retorik politik dan satu tindakan membodohkan rakyat oleh pemimpin yang pandai dan yang bodoh.
Datuk Seri,
Penjelasan diatas adalah untuk rakyat supaya Datuk Seri dapat terus fokus pada apa yang akan Datuk Seri lakukan selepas menjadi Perdana Menteri March ini. Penolakan rakyat marhein terhadap UMNO di pilihanraya kecil adalah penolakan rakyat terhadap pemimpin UMNO Bahagian dan Cawangan dan bukan seperti dakwaan pembangkang yang rakyat menolak BN dan pemimpin pusat. Rakyat tidak perlukan pemimpin pusat untuk mengetahui masalah mereka, Kuala Terengganu terlalu jauh dari Putrajaya. Rakyat mahu pemimpin tempatan mengambil berat, mesra dan mahu menolong atau sekurang-kurangnya mendengar rintihan hati mereka.
UMNO Bahagian dan Cawangan kini penuh dengan pergolakan kuasa, perpecahan, berpuak-puak dan ramai pemimpin di peringkat ini yang lebih sanggup melihat UMNO hancur dari melepaskan kuasa. Mereka tidak langsung cuba untuk memulihkan UMNO Bahagian dan Cawangan mereka atau sekurang-kurangnya cuba bertindak adil terhadap ahli UMNO dan mendengar suara rakyat tempatan. Mereka ini terus angkuh, terus berusaha berbalah sesama mereka malah ada yang sanggup menyokong calon pembangkang asalkan seteru mereka dalam UMNO kalah.
Lebih dari itu Ketua UMNO dan Cawangan juga adalah individu yang kaya-raya, sombong, terlibat dalam kegiatan gangsterisme, menggunakan konsep suka hati bapak aku dan konsep ini bukan bapak kau punya jalan dan banyak lagi. Ahli Jawatakuasa UMNO peringkat Bahagian dan Cawangan juga gemar menjadi broker tanah, peneroka tanah untuk kepentingan sendiri dan di Lembah Klang, banyak tanah kosong yang diambil dan dibangunkan menjadi Pusat Perdagagan UMNO Bahagian, Pusat Aktiviti UMNO Cawangan dan sebagainya yang menyewakan premis perniagaan. Ini adalah satu perkembangan sihat untuk ekonomi, malangnya, ahli biasa UMNO Bahagain dan Cawangan tersebut apatah lagi rakyat tempatan tidak pernah melihat penyata kewangan untuk kutipan sewa yang tinggi iaitu antara RM600-RM2500 satu premis untuk sebulan. Yang rakyat tempatan nampak ialah Ketua dan AJK Bahagian dan Cawangan menukar kereta mewah dan golongan ini mula menjadi golongan korporat yang sombong, sukar hendak berjumpa, meninggi diri dan banyak lagi perkara yang menjelikkan rakyat.
Datuk Seri,
Saya ulangi sekali lagi, golongan pengundi atas pagar dan golongan pengundi tegar UMNO/BN banyak yang mengundi pembangkang kerana tidak tahan dengan korupsi dan gangsterisme serta kesombongan pemimpin tempatan UMNO. Pada PRU 12 lepas, selepas mengalami kekalahan temasuk kalah di banyak Negeri, ramai menggesa Presiden UMNO dan pemimpin UMNO Pusat bertanggunjawab dan meletak jawatan, tetapi mereka bukanlah punca utama rakyat menolak UMNO. Punca utama kami menolak UMNO ialah kerana kami tidak pernah berjumpa dengan pemimpin tempatan samada Bahagian atau Cawangann, samada Ketua atau AJK, samada siang atau malam kecuali pada minggu terakhir kempen pilihanraya. Itupun yang kami dapat ialah topi dan t-shirt. Masalah kami tetap sama, dan masalah kami ialah tiada tempat untuk mengadu. Mahu mengadu pada pemimpin pusat jauh, pemimpin Negeri sibuk, yang kami harapkan pemimpin tempatan. Sepatutnya, setiap Bahagian yang kalah, Ketua mereka patut meletak jawatan untuk bertanggunjawab atas kekalahan di Bahagian mereka. Manakala, setiap Cawangan yang kawasan mereka kalah dalam pilihanraya dilucutkan sementara jawatan Ketua mereka. Ini jelas menunjukkan rakyat peringkat Cawangan menolak Ketua Cawangan tersebut. Bagi Bahagian yang kalah tetapi Cawangan menang, jadikan Ketua Cawangan yang menang ini calon utama untuk merebut jawatan Ketua Bahagian tersebut.
Datu Seri,
UMNO perlukan pemulihan serius. Akaar pokok UMNO tidak salah. Akar ini telah memberi bekalan yang cukup pada setiap dahan untuk hidup dan menyokong daun.Yang perlu dibuang ialah daun yang telah dimakan ulat, dahan pokok yang telah dicemari bakteria berbahaya, dan kita perlu pastikan ia mendapat cahaya dan air yang cukup. Tubuhkan satu Flying Skuad yang bertindak sebagai skuad bebas. Yang menyelinap secara senyap-senyap dan menyiasat setiap Bahagian dan Cawangan yang kalah untuk mengetahui mengapa rakyat menolak UMNO kerana mereka. Rakyat pendam rasa yang lama, dulu, mereka ini bagus, malah jika tidak pun rakyat tidak menolak UMNO kerana sekurang-kurangnya, jika kami hantar surat bantahan atau aduan mengenai pempimpin tempatan kami, UMNO Pusat akan datang menyiasat dan kita akan dapat lihat perubahan. Kini, UMNO Pusat datang siasat juga, tetapi, penyiasat dan yang disiasat dilihat terlalu akrab dan tiada perubahan yang berlaku. Islam agama suci dan Agung, yang memalukan Islam dan menghina Islam itu sendiri ialah umatnya yang kebanyakan ini bukanlah pemimpin-pemimpin Islam. Oleh itu, UMNO perlu dipulihkan di peringkat akar umbi.
Ini masa untuk bekerja dan bukan untuk bercakap atau berretorik.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment