ALLANA HIJAB

ALLANA HIJAB
Whatsapp 012-6144924 NOW For Guaranteed Special Free Gift

Friday, October 24, 2014

Anjing Pecahkan Umat Islam Malaysia Pada 73 Jalan

Abang saya pernah melawak dengan saya, katanya, jika orang Melayu berperang, bukan Islam hanya perlu hantar babi dan anjing masuk ke kawasan pertahanan orang Melayu, kemudian guna air mandi babi dan anjing atau darah dan anggota badan mereka dan taburkan dari Helikopter seperti hujan maka berdondong-dondonglah semua askar Melayu keluar dari kubu masing-masing kerana takut terkena anjing dan babi.

Kempen "I want to touch a dog" mempunyai satu tujuan yang mana saya sendiri setuju ia punya satu tujuan yang amat suci dimana Islam sendiri tidak melarang menyentuh anjing dalam keadaan kering dan kering, basah dan basah selain sifat kasih sayang Nabi sendiri pada binatang ini.

Malangnya, orang Melayu termasuk ibu bapa kita terlalu memomokkan kita dengan anjing hingga ramai antara kita takut dengan anjing. Kini, kita buat kesilapan yang sama dengan memomokkan pada anak kita dan mereka juga takut pada Anjing. Sedangkan iman yang benar hanya takut pada Allah sahaja bukan pada Anjing malangnya ramai sahabat saya takut dengan anjing seperti takut  dengan hantu. Dan jika dikaji, takutnya bukan kerana anjing itu garang, tapi kerana momokkan anjing itu jijik.

Satu tujuan dari program "I want to touch a dog" ini memang diperlukan oleh orang Islam khususnya Melayu dalam melayani anjing sebagai satu ciptaan Allah yang tidak berdosa. Malahan mengikut program TV terkemuka Anjing, pakar Anjing Caesar berkata Anjing menyalak kerana berasa takut pada manusia dan mengganggap ia sebagai ancaman, secara total ia berlainan dari apa yang difikirkan ramai kita.

Namun, tujuan murni merobohkan tembok pemikiran jumud orang Melayu ini perlu dilakukan secara tertutup dan bukan terbuka. Banyak bezanya jika orang Islam melancarkan program "I enjoy eat cow" secara tertutup dan terbuka pada hari Deepavali dan Thaipusam. Atau "Saya Mahu Duduk Atas Berhala" dengan tujuan membuktikan Tuhan Itu Satu.

Hakikatnya, program ini perlu tetapi secara tertutup bukan secara terbuka. Tertutup boleh melibatkan kedai haiwan, pusat perlindungan haiwan dan sebagainya, tetapi penganjur tetap mahu mengadakan secara terbuka. Kenapa?

Kerana ada seribu niat dalam menganjurkan program ini secara terbuka.

Niat meliberalkan orang Islam, niat mengugat iman orang Islam, akidah, tauhid, dan pelbagai lagi, niat merobohkan perasaan sangka orang Islam kepada pembela utama Anjing yakni bukan Islam dan banyak lagi, dan semua niat ini semuanya boleh dan sudah diperhujahkan samada menyokong anjing atau membantahnya, dan samada niat menyokong demi populariti diri ataupun demi kepentingan umat Islam sejagat untuk jangka panjang? Perlu direkodkan juga adalah masalah anjing di Iran dimana pemilikan anjing disana sangat tinggi sehingga menimbulkan masalah lain pula.

Dalam seribu niat ini terlahir satu niat yang ketara iaitu niat memecahbelahkan orang islam pada 73 jalan yang berbeza dan 73 pendapat yang berbeza,  Ustaz Maggie kata boleh, Ustaz AF kata tidak boleh, Ustaz FB kata A, Ustaz Radio kata B, Ustaz Twitter kata C, Ustaz Seberang kata D, sampai ke Z sambung pula Ustaz politik, Mufti pencen, Ulama ceramah sejam beribu dan pelbagai lagi.

Benarlah mesej berantai yang saya dapat pagi ini yang berbunyi Mengapakah di Malaysia Agama Kristian berkembang dan Islam Tidak?

Kerana orang Islam menjual dan memperdagangkan agamanya, Air jampi dijual, jus Tok Guru yang telah dijampi, minyak, air minum 30 juzuk djual dengan harga mahal sebaliknya agama Kristian tidak jual tetapi produknya diberi percuma.

Ustaz-ustaz mengajar agama demand dan meminta bayaran tinggi di kalangan sesama Islam, sebaliknya mubaligh Kristian berdakwah secara percuma sehingga jauh kependalaman malahan menanggung sendiri makan minum mereka.

Jabatan Agama Islam sibuk tangkap orang masuk Gereja bukan ajak, perkukuh atau pelbagaikan fungsi Masjid menarik mereka, sebaliknya, Paderi yang pelbagaikan dan mesrakan gereja akhirnya seperti permainan seorang dikejar ditangkap, seorang lagi mengejar yang lain pula.

Gereja juga dibuka setiap masa, Masjid ditutup separuh masa. Gereja ada wang tabung yang boleh diambil semudah menulis nama, Masjid ada tabung dimangga besi kalau curi dipukul mati atatu dipenjarakan 2 tahun.

Imam solat kerana waktu kerjanya dan dibayar Gaji serta elaun hingga berebut-rebut jawatan malah ada yang dari bangku sekolah atau sedang bekerja bercita-cita mahu menjadi imam bila pencen, sebaliknya Paderi secara sukarela.

Air Zam-zam dijual dengan mahal dan lebih dari kos pengangkutan yang logik, air Holy Water diberi percuma,

Ustaz-ustaz sibuk menjual tanah suci dengan progam Umrah bersama dan mahal serta bermotif keuntungan melampau, sebaliknya Paderi sibuk menaja dan mencari penaja membantu orang susah membaiki rumah dan bantuan barang dapur serta sekolah,

Ustaz-ustaz sibuk menjadi Tok Bomoh mengubat demam batuk, Paderi sibuk mencari penaja membina Hospital dan khidmat Doktor percuma.

Dan kucar kacir yang terkini, dengan izin saya menambah, orang Islam sibuk berbalah pasal Anjing, orang bukan Islam terus membantu anjing terbiar dan kelaparan sebagai tanda kasih sayang.

Hakikatnya, kasih sayang itu adalah milik Tuhan Yang Satu, Kita sepatutnya sedarkan mereka Tuhan Yang Satu itu adalah Allah , tapi kita jauhkan mereka melalui perbalahan isu kecil, persengketaan politik, kekangan berdakwah, melacurkan ayat Al-Quran, menyombongkan Masjid 5 waktu siang sahaja, menjual dan mencari kekayaan dengan menjual agama sendiri dan apa pula yang mereka lakukan untuk menyampaikan mesej sebaliknya kepada kita?

Orang ramai juga kalau mampu hentikanlah dari sindrom mahu bercakap kerana kalau semua nak bercakap, maka tidak perlu ada Majlis Fatwa, kalau Majlis Fatwa tidak mahu bercakap atau lambat bercakap, tidak perlu ada Majlis Fatwa, Majlis Facebook jadi rujukan menyesatkan. Balik sini balik sana, bila terbalik semua sama sahaja,

Seribu niat program ini tapi hanya satu niat utama iaitu niat mengucar-gacirkan orang Islam dan mendedahkan kelemahan kita pada pihak bukan Islam.

Mungkin benar kata "ibu mertuaku", jika seorang bukan Islam berminat pada Agama Islam melihat kepada orang Islam terlebih dahulu dia pasti takut mahu masuk Islam, Allah Maha Besar, semua mereka yang memeluk Islam melihat pada keindahan Islam terlebih dahulu sebelum terlihat perangai orang Islam yang sering menyalahkan orang lain demi kepentingan masing-masing.

Dan lucunya, anjing kini dipersalahkan padahal yang anjur program orang lain, yang terlibat orang lain, yang bantah orang lain, dan semua orang tapi yang salah binatang.

Kesimpulan dan harapan dari isu dan kes Anjing ini, bersatulah orang Islam dan jika kurang pasti elakkan dari komen dan berkongsi ilmu walaupun copy paste dari Ustaz kerana kita sedang diperhatikan, diteliti, di nilai, dikaji dan bakal dibunuh iman dari dada kita lebih menakutkan, tanpa kita sedari.