ALLANA HIJAB

ALLANA HIJAB
Whatsapp 012-6144924 NOW For Guaranteed Special Free Gift

Thursday, December 30, 2010

GARUDA YANG ANGKUH

Beberapa perkembangan mutakhir di Asia Tenggara jelas menunjukkan Garuda Indonesia bersifat angkuh. Bukanlah kerna isu remeh seperti Piala AFF yang sewajarnya ditinggalkan di padang bola, tetapi apa yang lebih utama harus diutarakan ialah kenyataan Nahdatul Ulama(NU)yang merupakan Pertubuhan Islam terbesar di Indonesia yang mendakwa mempunyai 40 juta Ahli. Mereka menolak mentah-mentah cadangan menjadikan Indonesia Negara Islam dan tetap mahu mendukung Pancasila sebagai dukungan perdana walhasil umat Islam merupakan majoriti disana malah yang terbanyak di dunia.

Apakah Garuda fikir mereka bisa terbang tinggi selamanya tanpa berpijak di bumi Allah yang nyata?

Dari beberapa aspek, Malaysia amat berbeza dan Islam disini lebih terpelihara. Sedar atau tidak, dalam jiwa setiap Muslim di Malaysia, telah disemai semangat gelora meletakkan agama Islam sebagai dukungan utama, diikuti Bangsa, Negara dan lain-lain.
Usaha untuk mendidik rohani orang Muslim di Malaysia supaya senantiasa meletakkan Islam diatas segalanya adalah usaha berterusan dan didokong oleh Kerajaan Malaysia, Parti Pembangkang PAS, Zulkifli Nordin, Dr Fadillah Kamsah, pendakwah seperti Ridhuan Tee Abdullah, Farid Ravi dll, Sultan dan Mufti, sehinggalah kepada Guru-guru sekolah dan ibu bapa.

Tidak dinafikan dukungan agama Islam di Malaysia sebagai yang Utama dan bukan Negara, Bangsa telah mengakibatkan perpecahan teruk di kalangan orang Melayu. Ramai Melayu yang hilang Melayunya, malah ada yang hilang Malaysianya, tetapi tidak seramai Indonesia yang hilang Islamnya. Hilang Islam bukan hanya merujuk kepada murtad tetapi dari segi pelaksanaan termasuk syirik, kahwin campur tanpa menukar agama, perempuan simpanan, Isteri banyak suami, makanan,arak, judi, maksiat, zina, curi, bunuh, rasuah dan banyak lagi.

Hakikat yang pahit untuk ditelan semua agama adalah hampir kesemua perpecahan Bangsa dan Negara dalam dunia adalah disebabkan Agama, malahan di dunia Anbiya, perpecahan masih berlaku antara Sunni dan Syiah sejak wafatnya Baginda Rasullullah SAW.

Tetapi, Allah benci pada persengketaan, perpecahan dengan jelas mengajar manusia, dalam apa jua perbuatan dan perkara, yang terbaik ialah kesederhanaan. Seharusnya diantara Agama, Bangsa dan Negara perlu ada keseimbangan. Janganlah keterlaluan beragama sehingga mengkhianati Bangsa dan Negara sendiri seperti di Malaysia dan jangan pula keterlaluan cintakan Negara dan Bangsa sehingga mengambil mudah melekehkan Agama.

Tiada apa yang sempurna melainkan Allah, tetapi semua manusia berusaha mencari kesempurnaan yang hanya akan dicapai apabila kita berjaya meniti titian Siratul Mustaqim dan diam di Syurga selamanya.

Polemik meletakkan Agama, Bangsa, Kaum, Suku, Keluarga, Kepercayaan dan lain-lain mengikut tertib atau “First thing first” adalah keputusan yang amat mudah kerana Al-Quran adalah kitab pegangan utama pada orang Muslim dan termasuk dalam Rukun Iman. Oleh itu, dalam setiap inci kehidupan seorang Muslim, Agama wajib diletakkan nombor satu kerana Agama yang suci ini, Kitab yang benar ini mengajar pada mereka yang mahu belajar, kesederhanaan, justeru membimbing kita mendekati kesempurnaan.

Rakyat Indonesia terdidik dengan sifat Garuda Angkasa pasti tidak dapat menerima penulisan dari Warganegara Malaysia Harimau Darat. Ini jelas ditunjukkan dengan pelbagai jenis konfrontasi, provokasi, penghinaan,kecaman dan pelbagai lagi. Malah, amat memeranjatkan pada sebuah Kejohanan sukan yang diadakan di Negara Berdaulat, pasukan pelawat perlu dibawa ke stadium menggunakan kenderaan perisai. Agaknya, apa yang akan terjadi jika saya menjadi Perdana Menteri Malaysia dan mengarahkan semua tentera saya bersiap sedia mengacu peluru berpandu kearah Indonesia sebagai langkah berjaga-jaga jika apa-apa terjadi pada pasukan Negara saya?

Sejak dahulu semua provokasi dan sikap keras Indonesia pada Malaysia ditangani dengan lembut oleh Malaysia bukan kerana kepimpinan Malaysia takut, tetapi kerana sebagai orang Islam, kami sayangkan perpaduan dan persaudaraan Islam yang dijalinkan oleh ”Al-Quran”.

Sekian yang bukan terakhir, saya menegur Saudara Islam di Indonesia kerana saya percaya, Malaysia dan Indonesia merupakan antara benteng terakhir Islam di dunia sebelum semua tembok Islam diruntuhkan dan Allah akan menghadiahkan kita fasa akhir zaman. Tembok yang mahu “mereka” runtuhkan bukanlah Tembok Batu, tetapi tembok akidah,tauhid, kepercayaan, ideologi, perpaduan, persaudaraan, budaya, nilai hidup dan kemasyarakatan, kemanusiaan, ibadat, takwa, dan akhir sekali, meruntuhkan keyakinan orang Islam kepada Agama Allah, Rasul Allah, Malaikat Allah, Kitab Allah, Hari Pembalasan Allah, dan Ketentuan Allah.

Selain itu saya menegur kerana nama saya Mustaqim bin Abdul Rahman bin Mohd Nurut bin Fakeh Hayat dan Fakeh Hayat adalah Pewaris Seni Silat Kuantan yang datang merantau ke Tanah Melayu dari Kuantan, Indonesia. Bangsa, Suku, Kaum, adalah pakaian berbeza-beza di dunia yang kita wajar hargai dan hormati, tetapi dalaman kita semua sama, hati yang menyebut nama Allah dan RasulNYA.

Mustaqim Abdul Rahman
Batu Caves, Selangor.