ALLANA HIJAB

ALLANA HIJAB
Whatsapp 012-6144924 NOW For Guaranteed Special Free Gift

Tuesday, February 16, 2010

KES BUANG BAYI: BUNTUKAH KITA

Kes buang bayi bukanlah kes yang mempunyai musim juga bukanlah trend yang menjadi-jadi hanya kebelakangan ini. Sebenarnya kes pembunuhan ini berlaku saban hari, bezanya samada kita mahu mencelik mata atau memejam mata sahaja. Jika kita memeriksa tempat pembuangan sampah di Lembah Klang, hasil penemuan akan benar-benar memeranjatkan kita. Sememangnya sudah terang lagi bersuluh, pelaku membuang bayi ini 99.99% adalah ORANG ISLAM.


Pelbagai pihak melahirkan rasa kecewa, kesal dan marah. Itu sahaja yang mampu dilakukan kerana mereka tidak berupaya menggerakkan usaha jika tiada hukum agama yang jelas, malah jika salah langkah mereka pula akan dituduh Menteri Zina dan sebagainya. Pihak bertanggungjawab pula senantiasa bersedia dengan pelbagai laporan jika ada jari-jari yang menuding. Sebenarnya, semua langkah pencegahan seperti pencegahan maksiat, kempen kesedaran oleh Kementerian dan NGO telah dilakukan dengan baik dan sempurna Pelbagai cadangan dan usaha telah dilakukan, apa yang masih belum dibuat adalah “green light” dari Majlis Fatwa, para Ulama dan Mufti. Walhasil, kita sebagai individu, jika terjadi dalam lingkungan kita, kita juga akan berasa keliru dan resah. Jika dibantu, apakah kita berdosa besar kerana bersubahat dan menggalakkan ia berulang lagi, jika tidak dibantu dan bayi tersebut dibuang, apakah dosa besar kerana kita tidak bertanggungjawab membantu saudara sehingga mengakibatkan kematian?


Mungkin kita terlupa pada lewat 1990-an, sebuah NGO yang dikenali Majlis Aids Malaysia melancarkan kempen seks sihat bagi membendung wabak HIV. Kempen tersebut memberi secara percuma sejumlah kondom dan mengalakkan supaya lelaki A dapat mengamalkan seks sihat apabila pencegahan maksiat tidak lagi berkesan kepadanya. Banyak pihak telah mencerca dan menggelar gelaran Bapa Maksiat terhadap Perdana Menteri Malaysia ketika itu Dato(Tun) Dr Mahathir kerana Majlis Aids dipengerusikan oleh anak beliau Datin Paduka Marina Mahahtir. Sama seperti semua masalah yang membabitkan hukum Islam, pihak agama hanya tahu menentang, membantah dan menghancurkan, tetapi tidak pula cuba membantu golongan yang cuba diperjuangkan iaitu golongan tertindas.


Disinilah datangnya peranan NGO terutama yang memperjuangkan nasib wanita. Sesetengah NGO sepatutnya bukan hanya memfokuskan pada poligami dalam perjuangan mereka. Nasib kaum wanita yang ditipu, yang diperdaya, yang lemah, yang diabaikan sehingga mengakibatkan kes buang bayi ini haruslah menjadi perjuangan utama mereka. Kita beruntung kerana masih ada NGO lain yang memperjuangkan nasib kaum wanita telah berusaha memerah jerih menangani isu kaum wanita seperti Ibu Tunggal, penceraian, gantung tak bertali dan sebagainya Tetapi kerana kekurangan sokongan dari segi kuasa dan wang, usaha mereka hanya umpama anjing menyalak bukit. Jika dibantu golongan ini NGO akan dituduh menggalakkan zina, malah akan dikecam oleh golongan agama pemikiran sempit sebagai kafir. Malah dalam Konvesyen PAS yang lepas ada usul yang mahu kerajaan mengharamkan badan NGO iaitu Sister In Islam iaitu SIS kerana dilihat menentang hukum Allah dalam perjuangan mereka memperjuangkan nasib wanita. Masalahnya, jika tiada SIS atau NGO lain, apakah golongan agama ini akan membantu kaum wanita terbabit. Apakah kita hanya tahu menentang tetapi tidak tahu menyelesaikan masalah? Kewajaran SIS diharamkan atau disokong bukanlah perkara pokok, yang harus menjadi tumpuan adalah bagaimana kita mahu membantu golongan wanita yang ditindas tanpa melanggar hukum Allah. Apakah Islam hanya mampu melindungi dan membantu wanita setakat itu sahaja? Pasti tidak, kerana datangnya Islam antara lain memartabatkan kedudukan dan kehormatan kaum wanita.


Sebenarnya, punca bayi malang ini dtidak dibantu sehingga dibuang adalah kerana isu ini tersepit antara dosa dan kemanusiaan. Sepertimana kita tersepit antara kebaikan teknologi dan keburukan pada agama dan budaya. Sesungguhnya, 99.99% kes buang bayi adalah disebabkan zina dan maksiat, yang juga merupakan dosa besar pada pelaku dan pesubahat. Sehubungan itu, ahli keluarga terdekat juga kurang pengetahuan dan sumber untuk membantu saudara yang terlibat.


Apakah nasib bayi tidak sah taraf ini jika dilahirkan? Apakah Islam mengajar kita menafikan hak bayi tersebut lahir ke dunia? Jika tidak, apakah usaha kita untuk membantu bayi ini selepas lahir supaya mendapat didikan agama yang baik, mendapat perlindungan dan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain. Usaha membantu ibu tidak sah taraf ini tidak harus hanya terhenti selepas bayi tersebut lahir, ia harus berterusan sehingga bayi tersebut dewasa.


Sudah pasti, perkara sesukar ini hanya boleh diperhalusi, diputuskan dan dilakukan dengan kerjasama semua pihak. Jika dibina pusat untuk ibu tidak sah taraf ini, bukankah kita hanya menggalakkan maksiat kerana pelaku maksiat sedar mereka akan dibantu dan mereka bebas melakukannya. Jika diwujudkan badan melindungi bayi tidak sah taraf ini sehingga menyerahkan pada keluarga angkat, apakah tercapai matlamat Islam iaitu berkeluarga dan berzuriat? Apakah dengan ini kita dengan rela melepaskan lelaki durjana yang hanya mahu melepaskan nafsu sahaja dan lari dari tanggungjawab terhadap wanita dan bayi tersebut? Bukankah kita mempunyai teknologi seperti DNA untuk mengesan bapa bayi ini, dan bagaimana harus kita bantu mereka supaya mereka insaf dan mendapat keampunan dari Allah SWT. Bukankah itu yang lebih penting.


Golongan agama harus mengetuai usaha ini dengan memperjelaskan hukum membantu mereka samada harus atau haram!! Mengikut carian internet, ada beberapa pandangan yang dizahirkan golongan agama seluruh dunia, ada yang berpendapat bayi hanya bernyawa selepas 100 hari setelah ditiupkan roh. Itu pandangan mereka, apa yang kita perlukan ialah pandangan golongan agama yang bertanggunjawab di Malaysia kerana ia berkait dengan undang-undang Sivil dan undang-undang Syariah di Malaysia , apatah lagi undang-undang Allah diakhirat. Seterusnya Kerajaan dan NGO boleh menyediakan dana, tempat dan bimbingan untuk mereka.


Apa yang dizahirkan disini hanya sedikit dari banyak cerita malang kaum wanita yang tidak mendapat pembelaan sewajarnya. Semua nasib malang wanita ini adalah disebabkan oleh dosa dan kesalahan kaum lelaki. Benarlah kata orang, “No man no cry”! Sebagai muslimin, Islam mengajar dan menekankan tanggungjawab lelaki terhadap wanita dimana kita akan disoal oleh Allah SWT. Berubahlah Oh Lelaki!!