ALLANA HIJAB

ALLANA HIJAB
Whatsapp 012-6144924 NOW For Guaranteed Special Free Gift

Saturday, May 29, 2010

KHAIRY JAMALUDIN

Nama yang tidak asing lagi dalam arena politik Malaysia. Nama beliau mula melonjak semenjak Pak Lah menjadi Timbalan Perdana Menteri lagi. Seorang pemuda Melayu berpendidikan barat, malah kebanyakan masa membesar bukan di Malaysia. Imej beliau jatuh merudum apabila di serang dan di kritik oleh Yang Layak Di Hormati, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Semasa beliau memegang jawatan Timbalan Ketua Pemuda UMNO dan anak menantu kepada Perdana Menteri Dato Seri Abdullah Badawi, Khairy Jamaludin dikelilingi spekulasi dan pelbagai cerita yang tidak dapat dipastikan kebenarannya. Khairy sendiri tidak pernah tampil untuk menjelaskan pelbagai tuduhan, fitnah dan tuduhan yang dilemparkan keatas dirinya. Antaranya ada cerita yang mengatakan beliau berdendam dengan Tun Dr Mahathir kerana tidak memilih semula sebagai bapa beliau sebagai Duta. Kemudian ada cerita beliau adalah kekasih dan bakal suami Nurul Izzah Binti Anwar Ibrahim, anak bekas Timbalan Perdana Menteri. Tetapi perkahwinan tersebut tidak menjadi kenyataan kerana Nurul Izzah bukan lagi anak bakal Perdana Menteri. Malah, ada yang mengatakan beliau adalah individu yang bangun mengganggu ucapan Tun Dr Mahathir di London semasa era Reformasi 1999.

Sehinggakan, perkahwinan beliau dengan Nori Abdullah dikaitkan dengan tindakan beliau merancang kemalangan kereta dengan Nori. Kemudian, ada yang mengatakan beliau adalah “loyalist” Dato Seri Anwar Ibrahim. Beliau yang menggerakkan usaha membebaskan idolanya dari hukuman penjara dan menghantar pasport ke kediaman Anwar Ibrahim secara peribadi dan tergesa-gesa pada malam Anwar mahu bertolak ke Luar Negara untuk mendapatkan rawatan. Ketika itu heboh dikatakan Anwar didera, diracun secara perlahan sehingga apabila Anwar bebas ada ketika Harakah cuba memberi persepsi Anwar akan mati tidak lama lagi kesan dari racun yang diberi dalam Penjara.

Sepanjang dibayangi gelaran Menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaludin dikaitkan dengan “budak Tingkat 4”, think thank ekonomi yang terdiri dari rakannya, sekutu Singapura, malah pernah juga mengatakan beliau sudah berkahwin dengan anak atau cucu Lee Kuan Yew. Tun Dr. Mahathir juga secara terbuka menyalahkan beliau mempengaruhi banyak keputusan Bapa Mertua beliau yang juga Perdana Menteri serta mencampuri urusan Kerajaan dan Kementerian.

Cerita tentang Khairy Jamaludin tidak pernah berhenti terutama beliau menjadi amat kaya sehingga mampu membuat pinjaman membeli saham bernilai lebih RM 9 juta. Beberapa urus niaga besar berbilion dollar, beratatus juta dollar, urus niaga kecil seperti lori sayur juga dikaitkan dengan beliau. Pendek cerita, beliau ialah seorang budak hitam yang menoda UMNO sehingga UMNO tidak bermaya.

Apakah benar kesemua dakwaaan ini? Samada banyak yang benar, atau banyak yang salah? Yang jelas, Khairy Jamaludin memilih untuk tidak menjawab kesemua dakwaan terhadap beliau. Samada itu cara beliau berpolitik untuk menaikkan imej beliau adalah tidak jelas kerana dalam masa yang sama Khariy Jamaludin mempunyai mulut yang menyakitkan hati aka celupar selain kebal dari undang-undang. Setiap kali beliau melanggar undang-undang seperti berdemonstrasi dan memandu melebih had laju, beliau tidak akan dikenakan tindakan.

Secara peribadi, saya tidak suka pada Khairy Jamaludin kerana sifat, sikap serta cerita yang mengelilingi beliau. Malahan, Khairy Jamaludin amat dibenci kawan dan lawan. Ramai ahli UMNO juak menceritakan perihal beliau. Namun, beliau adalah seorang pemuda professional, samada beliau berkemampuan atau tidak, Khairy Jamaludin adalah ahli Parlimen Rembau yang dipilih oleh rakyat dan dipilih Bapa Mertua sebagai Calon YB.

Saya percaya, Khairy Jamaludin adalah aset paling bernilai untuk Melayu. Beliau adalah orang paling muda yang mempunyai akses kepada Perdana Menteri sebagai Bapa dan Tingkat 4 sebagai Penasihat Ekonomi, yang penting adakah kemahuan dan aspirasi beliau seiring dengan Perjuangan UMNO memartabatkan Melayu. Adakah Khairy Jamaludin akan berubah untuk mati dan hidup berjuang demi Bangsa Malaysia, Kaum Melayu dan Islam, dan bukan untuk poket sendiri, kemegahan sendiri, atau agenda tertentu yang lain. Semua itu tidak dapat dipastikan.

Yang pasti, beliau bijak berpolitik. Beliau disukai segolongan Tycoon Cina. Terbaru, muncul imej Khairy Jamaludin berserta cerita dalam The Star, yang menampilkan Khairy sebagai patriotik dan rendah diri. Adakah itu “politic setback beliau untuk melakukan comeback di hati rakyat”. Untuk rekod, selepas memenangi jawatan Ketua Pemuda dan kehilangan jawatan Menantu Perdana Menteri, Khairy adalah Ketua Pemuda pertama tidak mempunyai jawatan Menteri berbanding Timbalan Pemuda dan ahli biasa Pemuda, Dato Seri Mukhriz Tun Mahathir. Mungkin ini adalah harga yang perlu dibayar oleh seorang ahli politik yang bongkak, yang gelojoh, yang meredah semua golongan termasuk Yang Layak Di Hormati, Tun Dr Mahathir.

Kesimpulannya, Melayu memerlukan setiap orang yang berkeupayaan, muda, agresif, sensitif, meletakkan “people interest” sebagai agenda perjuangan dan berani. Marilah sama-sama kita doakan Khairy akan menyedari kesilapan beliau dan menginsafi serta bertaubat pada Allah atas segala kerosakan yang telah beliau lakukan semasa menjadi Menantu Perdana Menteri. Semoga beliau berubah menjadi Pahlawan Melayu yang berjuang demi Kaum, Bangsa, Agama dan Negara. Beliau adalah seorang pemimpin muda yang sudah berada di landasan betul. Apa yang perlu, perbetulkan diri, insya-allah impian anda menjadi Perdana Menteri akan tercapai. Dengan izin Allah. Amin.

Salam Perjuangan.
PRO Orang Muda

Saturday, May 15, 2010

BABI DAN JUDI SATU HARAM DAN SATU TIDAK

Adakah tajuk artikel ini mengelirukan pembaca? Benarkah babi tidak haram manakala judi haram? Masih keliru dan mahu jawapan? Hanya ahli PAS yang taksub sahaja boleh menyeleraikan kekeliruan ini.

Sekali lagi, pemimpin dan ahli Pakatan Rakyat benci melihat cermin. Apa yang mereka lihat apabila mereka melihat cermin diri? Dalam Islam cermin diri dipanggil muhasabah diri. Sukar sangatkah untuk orang Islam terutama ahli PAS untuk muhasabah diri, atau mereka memang bertuhankan Pemimpin PAS?

Satu masa dahulu semasa Kerajaan Selangor meluluskan projek kandang Babi di Sepang, PAS menuduh projek kandang babi tersebut sudah mula dirancang dan beberapa usaha telah dilakukan sejak pemerintahan Barisan Nasional sebelum 8 Mac 2008. Cubaan membodohkan orang Islam ini berjaya di peringkat ahli Pakatan Rakyat sahaja kerana rakyat biasa Selangor menolak untuk dibodohkan dengan mendakwa Kerajaan Pakatan Rakyat yang sedang memegang tampuk kuasa berkuasa untuk tidak meneruskan usaha tersebut kerana tiada perjanjian hitam putih ditandatangani oleh Kerajaan Selangor Barisan Nasional.

Disinilah tahap akal manusia yang dikurniakan Allah SWT perlu digunakan dengan sebaiknya. Namun, kerana dendam, dengki, sakit hati, BUSUK hati, keji, hina, hasad dan menjadi sahabat Syaitan, akal tidak digunakan di kepala tetapi di lutut. Pemimpin PAS termasuk Nik Aziz, Haron Din, Hadi Awang, Hassan Ali, Tantawi, Nasharudin, Mat Sabu, Husam Musa dan lain-lain semua memarahi UMNO kerana bersifat menidakkan hak bukan Melayu untuk makan babi. Masih saya ingat kata Nik Aziz yang berbunyi “kita tidak makan babi, yang bela babi orang bukan Islam yang makan babi pun orang bukan Islam, kita terbuka dan tidak menafikan hak orang Bukan Islam, bukan seperti UMNO yang menafikan hak bukan Islam”. Sehubungan fatwa yang dikeluarkan Nik Aziz maka berduyun-duyunlah ahli PAS tanpa merujuk Al-Quran dan Ulama lain menjilat apa sahaja yang dikatakan Tuhan Nik Aziz mereka. Malah blogger dan ahli PAS biasa semuanya bersilat dalam blog dan facebook masing-masing menyokong hujah Nik Aziz.

Hari ini, apabila kerajaan UMNO pimpinan Dato Seri Najib Tun Razak meluluskan lesen judi kepada BERJAYA dengan peraturan yang sama sedia ada seperti 4 Nombor Ekor, Kasino, Arak dan Babi, iaitu peraturan yang boleh dibaca dengan jelas di semua premis judi dan kasino iaitu “Umat Islam dilarang bertaruh dan jika tertangkap akan dikenakan tindakan undang-undang”, maka Dato Seri Najib Tun Razak dan UMNO dikecam dan dihina dengan pelbagai kata nista. Ahli PAS semua berganding bahu berpiket untuk menentang Kelulusan Lesen Judi kepada Bukan Islam.

Pengundi Malaysia masih menunggu Nik Aziz mengeluarkan fatwa yang sama dikeluarkan beliau semasa Kerajaan PR Selangor memberi lesen kelulusan Ladang Babi termoden dan terbesar di Asia yang terletak di Sepang. Jika tidak, maka SAHLAH pada Nik Aziz dan pengikut PAS beliau, babi itu tidak haram, tetapi judi haram.Walhasil dalam Islam dan pada pendapat Ulama Bebas Politik yang berdakwah ikhlas kerana Allah, judi dan babi kedua-duanya haram. Segala perbuatan(walaupun tidak makan dan tidak beli) menghampiri zina, judi dan babi adalah haram juga. Mereka tidak bersifat selektif kerana hukum haram itu tetap haram hukumnya tanpa perlu diputarbelitkan oleh golongan cerdik agama berparti.

Mungkin, satu hari nanti akhbar dan wartawan Amerika yang menulis The Reversal of Anwar Ibrahim mahu menulis artikel The Reversal of Islam Malaysia(PAS).

PS: Katakanlah yang benar walaupun pahit. Nik Aziz bukan Tuhan tetapi dia manusia biasa yang melakukan kesilapan. Nik Aziz dan pemimpin PAS lain adalah golongan ugama yang tidak memerlukan kata gelar Dato dan sebagainya. Nama sudah memadai.

Sunday, May 9, 2010

HARAKAH LANCAR PERANG SARAF TERHADAP MUFTI PERAK

Kalau Pak Lah berharga RM4 juta, berapakah agaknya nilai Mufti Perak untuk PAS? Harakahdaily.net yang berlindung dengan nota di akhir setiap artikel menghentam Dato Seri Harusani Zakaria yang berbunyi“Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan”

Setiap artikel berkenaan yang disiarkan oleh Harakahdaily.net berusaha menampakkan Harakah sebagai berwibawa dan bertamadun. Mereka tidak sanggup dituduh sebagai golongan menentang Ulama, tetapi mengambil pendirian “baling batu, sorok tangan”, atau lebih tepat mereka mengupah orang lain untuk berbuat dosa untuk mereka sepertimana mereka mengupah blogger Kickdefella. Pada firasat Harakah dan PAS, Allah SWT akan melepaskan mereka dari seksaan Neraka kerana mereka tidak menyerang batang tubuh orang, menjatuhkan maruah orang, membuka aib orang, seperti yang dilakukan terhadap Zaid Ibrahim dan Anwar Ibrahim. Mereka tidak melakukan, tetapi mereka mengupah orang lain untuk melakukan. Barangkali mereka fikir Allah SWT terlalu bodoh untuk mengetahui dalang di sebalik Perang Saraf GMC terhadap Pak Lah dan Perang Saraf Harakah terhadap Mufti Perak.

Pada saya yang mengikuti semua akhbar dan saluran media internet, saya pasti golongan yang hanya membaca akhbar dan media internet pro-pembangkang pasti akan terpengaruh dengan gerakan menjatuhkan kewibawaan Mufti Perak secara halus oleh PAS melalui Harakahdaily. Jika mereka berdiri secara “gentleman” menentang Mufti Perak, mereka khuatir anasir sama akan terdidik kepada golongan mereka kelak untuk bangun menentang Murysidul Am mereka iaitu Nik Abdul Aziz. Oleh itu, gerakan memalukan, menjatuhkan wibawa dan mengaibkan reputasi Mufti Perak dilakukan secara halus.

Pendirian PAS yang umpama lalang ini sebenarnya telah dihidu oleh ramai. Satu masa dahulu ketika Jom Heboh masih bergelar Sure Heboh, Mufti Perak dijunjung sebagai Mufti Tulen kerana senada dengan PAS menjatuhkan hukum HARAM terhadap Sure Heboh anjuran TV3. Masa itu, Unit Amal PAS bekerja keras menghadiri Sure Heboh di Ipoh untuk menghalang dan Harakahdaily menyiarkan berita tersebut berhari-hari bahawa sesiapa menentang Mufti bererti menentang pewaris Nabi yang juga bererti menentang hukum Allah. Oleh kerana malu untuk menjilat ludah sendiri, kini mereka melancarkan Perang Saraf untuk menjatuhkan kredabiliti Mufti Perak di kaca mata orang Islam khasnya di Perak.

Jika Bekas Mufti Perlis dahulu dikecam PAS sebagai Uztaz Muda Sekular, Sesat dan Gila kerana begitu lantang “mengemudi bahtera perubahan minda” dalam artikel beliau di Utusan Malaysia termasuk mempersoalkan kewajipan memakai tudung, kini PAS mengangkat Dr. Asri Zainul Abidin kerana beliau masih boleh dimanfaatkan dan diperkudakan PAS. Bukanlah Dr Asri orang bodoh untuk diperkudakan, tetapi beliau kesempitan ruang dan pentas untuk berdakwah. Oleh itu, PAS menawarkan pentas tersebut dengan syarat menyokong PAS membabi buta.

Ramai sangat Ulama di Malaysia ini, malah ada yang bergelar Mursyid, Wali, Mufti, Tok Guru, Kiai, Sheikh dan sebagainya.Persoalannya, siapa yang betul, siapa yang salah? Yakinlah, yang betul ialah Allah SWT dan Al-Quran dan yang salah ialah kita semua. Yang mana kaca, yang mana intan, yang mana asli, yang mana palsu, yang mana ikhlas, yang mana kerana keuntungan dunia? Pilihlah dengan berpandukan Allah dan Al-Quran seluruhnya.

Jangan dipilih mereka yang tinggi pangkatnya, yang ramai hormatnya, yang besar jubahnya, yang belit lilit serbannya, yang jernih mukanya, yang kaca matanya, yang elok sembahyangnya, yang petah bahasnya, yang sedap ceramahnya, yang hebat kuliahnya, yang mulia disisi masyarakatnya, kerana Dajjal Al-Masih mempunyai ciri begitu. Tetapi pilihlah mereka yang tinggi dan mulia darajatnya di sisi Allah SWT. Janganlah dipandang dari mata yang dua ini, jangan dinilai dari mata yang kotor ini, jangan dihukum dari mata yang berserta Syaitan ini, tetapi lihatlah dengan hati yang mencari NUR ALLAH.

Saturday, May 1, 2010

DAULAT TUANKU SULTAN PERAK

Saya sudah meletak logo Daulat Tuanku Sultan Perak sejak kes orang Islam berjubah dan berjanggut baring atas jalan menghalang kenderaan Sultan dan mencerca Raja Muda Dr Nazrin. Walaupun saya orang Selangor, dan DAULAT pada Sultan Selangor lebih dari Sultan lain, namun, pada hemat saya, semua SULTAN berjasa besar dalam mempertahankan orang Melayu dari Zaman Kesultanan Melayu Melaka sehinggalah hari ini. Selain itu, dari sudut penyebaran Islam ke Tanah Melayu, para SULTAN adalah orang yang plaing berjasa kerana membenarkan Islam bertapak malah ada yang tanpa berfikir panjang terus mengucap dua kalimahsyahadah. Jika tiada Sultan, Islam tetap bertapak di bumi Melayu ini, tetapi mungkin tidak sekuat dan segagah ini, malah jika dibandingkan, Indonesia gagal mempertahaankan kesucian dan mengelakkan perpecahan Islam kerana tidak mengekalkan SULTAN sebagai Ketua Agama Islam.

Menjunjung tinggi titah Sultan Selangor yang saya hormati yang bertindak selaku Ketua Agama Islam melarang Masjid dan Surau digunakan sebagai pentas politik, ia amatlah berwibawa. Masih saya ingat pada usia 14 tahun, saya mahu menjinakkan diri ke Surau An-Nur, Kg Melayu Wira Damai Batu Caves, setiap kali antara solat Magrib dan Isyak, jemaah membuat beberapa kumpulan mengikut fahaman politik dan bercerita tentang dunia semata. Malah, ada antaranya umpatan, kejian, fitnah yang jelas. Malah ada masa keadaan menjadi tegang sehingga suara juga menjadi tinggi. Sejak dari kejadian tersebut, saya memilih untuk bersembahyang sahaja di rumah, lebih aman dan selamat.

Namun, dalam Islam, Allah menyuruh kita taat pada pemerintah asalkan ia tidak menyalahi hukum Allah SWT. Saya masih taat pada Sultan kerana pada saya jika tiada Sultan maka Melayu dan Islam bukanlah seperti Melayu dan Islam di Malaysia hari ini. Tetapi, apabila mendengar dakwaan orang maka, semangat ingin tahu akan kebenaran membuak-buak. Benarlah kata Pahlawan Melayu, Raja Adil Raja Disembah, Raja Zalim Raja Disanggah.


Daulat Tuanku Beribu Ampun, Sembah Patik Harap Di Ampun,

Walaupun pahit, dicampur dengan sedikit rasa takut, patik diberitahu yang tidak pasti kebenarannya, bahawa Tuanku Sultan Perak yang tidak berkenan membubarkan DUN Perak dan mengikut lunas Undang-Undang Tubuh Negeri memperkenankan Dato Sri Zambry membentuk Kerajaan kerana telah mendapat majority kepercayaan, bukan berbuat demikian kerana rakyat seperti yang disangka patik. Bukan berbuat demikian kerana Dato Seri Nizar menjadi boneka DAP dan menganugerahkan tanah yang besar kepada bukan Melayu. Tetapi yang Patik dengar dari sumber yang longgar, Tuanku berbuat demikian kerana beberapa bidang perniagaan yang melibatkan anakanda Tuanku diancam. Kata mereka, kepentingan Perniagaan anak Tuanku Sultan gagal kerana PR menjadi Kerajaan dan bukan BN. Apakah benar seperti yang patik dengar? Patik, sebagai rakyat biasa menjunjung jasa dan DAULAT Tuanku hanya ingin Tuanku membersihkan nama Tuanku di mata dan hati rakyat. Ampun Tuanku Beribu Ampun, Sembah Patik Harap Di Ampun.

Mohon Ampun Tuanku.

ANTARA YES TUAN DAN YES TUHAN

Yes Tuan adalah satu sindrom yang telah wujud sekian lama. Ia ada dalam darah daging setiap manusia dengan kadar tertentu mengikut keadaan. Dalam kerjaya, Yes Tuan merujuk kepada garis panduan seorang Pekerja iaitu “Tuan Senantiasa Betul” atau dalam Bahasa Inggeris, “Boss Is Always Right”. Dalam politik pula, Yes Tuan merujuk kepada perlakuan pengikut politik untuk senantiasa bersetuju dengan Tuan Politik tidak kira samada salah atau betul, dosa atau pahala. Malah dalam setengah kes, ia melibatkan kerosakan yang amat besar dan dalam. Sungguhpun begitu, ia perlu dikekalkan dan akan terus kekal begitu kerana tiada manusia yang lahir tidak suka dipuji, apatah lagi tiada yang suka ditentang dan dibantah.

Oleh itu, golongan Yes Tuan atau Yes Sir ini senantiasa mendapat tempat dan dapat mendampingi Tuan mereka. Jika dari segi moral ia dilihat salah, namun, perbuatan tersebut hanya demi niat mencari rezeki sahaja. Walaupun ada Parti Politik yang dikecam teruk satu masa dahulu kerana mengamalkan sikap Yes Sir ini, kini yang mengecam sudah menjadi Kerajaan juga mengamalkan sikap yang sama. Jika ada ADUN atau MP mereka yang tidak mengamalkan sikap Yes Sir ini, mereka akan dihadapkan ke Jawankuasa Disiplin Parti malah ada yang sudah dipecat kerana tidak menjadi Yes Sir. Dalam perkembangan sama, seorang Pemimpin Veteran berpihak kepada Negeri kelahirannya dalam isu tuntutan royalti Gas, beliau membelakangi Tuannya dan tidak mengamalkan konsep Yes Sir, namun, beliau tidak dipecat.
Jika dipecat, maka JELASLAH tiada kebebasan dan hak untuk menyuarakan pendapat yang bermakna kita tidak perlu ada Pemilihan Parti untuk memilih barisan pemimpin dan Calon, pilih sahaja yang mempunyai semangat Yes Sir yang tinggi dan jitu.

Dalam pada itu, kekeliruan senantiasa wujud pada orang Islam sehingga berpecah kepada beratus pendapat, pemahaman dan kepercayaan. Sehinggakan di Malaysia, dari dua kumpulan besar yang tidak dapat disatukan, kini berpecah pula kepada tiga. Orang Islam khususnya di Negeri yang mundur ekonominya(tidak bermaksud mundur agamanya), mempunyai salah tanggap antara Yes Tuan dan Yes Tuhan. Mereka memilih untuk memetik satu ayat dari beribu ayat Al-Quran yang mengatakan taat pada pemimpin, dan jika ditujukan kepada pemimpin bukan kalangan mereka, mereka akan petik pula satu ayat yang mengatakan jangan taat pada pemerintah yang zalim. Sungguhpun selama berpuluh tahun mereka diketuai oleh golongan yang tidak tinggal solat, yang memakai pakaian traditional/kebangsaan Arab Islam dan Kristian iaitu Jubah, yang membela janggut mengikut satu dari berpuluh sunnah Rasulullah, yang isteri dan anak memakai litup kepala, yang senantiasa memulakan dan mengakhiri ceramah dengan ayat Quran tetapi sarat dengan makian, kejian dan fitnah, mereka tetap Yes Tuan kepada Menteri Besar mereka.

Islam adalah agama kebenaran yang juga agama HAK. Tidak kira betapa kuatnya kerajaan dan pemimpin, tiada yang kekal, semua akan runtuh dan mati. Yang tidak MATI ialah HAK iaitu Allah SWT. Kini, dari golongan politik, sehingga pencacai politik, dari golongan Ustaz sehingga kepada Ketua Sekolah Pondok yang masih waras dan tidak keliru dengan Yes Tuan dan Yes Tuhan, semuanya mendedahkan kepada umat akan beza antara taat pada TUAN dan TUHAN. Walaubagaimanapun, racun taat pada Tuan yang didakwa Pewaris Nabi telah meresap kedalam jiwa yang amat dalam. Sehinggakan, mereka tidak lagi mendengar kata orang lain selain dari seorang individu yang dipercayai wali dan mursyid. Kerana ketaksuban inilah pecahnya Islam kepada beberapa puak seperti Syiah, Wahabi, Sunnah, Turki, Muhammadiyah, beratus Tarekat, 4 Imam Utama dan lain-lain lagi pemahaman. Walaupun Tuhan itu saju sahaja pada mereka semua iaitu ALLAH, namun kerana Tuan yang banyak dan berbeza-beza, ditambah dengan KETAKSUBAN Yes Tuhan kepada Tuan oleh Pengikut, maka berpecahlah Islam. Ketaksuban membawa mereka sehingga tiada antara mereka yang dapat berfikir dengan waras yang mana Ketua mereka hanyalah manusia biasa dan bukan maksum.

Kini, Malaysia juga akan berpecah kepada beberapa pemahaman selain dari Tarekat, Sunnah, Wahabi, Syiah. Pemahaman ini pasti akan lahir jika orang Islam masih belum sedar dan jelas tentang taat pada Tuan dan taat pada Tuhan. Antara Yes Tuan dan Yes Tuhan.

Jika diteliti, antara batil dan hak hanya ada satu garisan halus yang memisahkan garisan tersebut.

Apakah mungkin jiwa perpecahan Islam di Malaysia diwarisi dari bumi Arab oleh orang Melayu yang belajar disana? Atau, adakah ia satu perancangan hebat oleh Syaitan dan Iblis untuk terus melekakan umat Islam supaya merasakan hanya mereka sahaja yang betul, orang lain salah? Sehinggakan mereka mampu untuk memberi syurga dan neraka kepada sesiapa yang mereka suka! Bangunlah Saudaraku, tolaklah YES TUHAN dan carilah hidup yang aman damai supaya umat Islam dapat mengerjakan perintah Allah dengan sempurna tanpa sebarang ketakutan dan kebimbangan.